Tuesday, May 12, 2009

Usah Sorok Kes Keracunan Makanan

KOTA BHARU: Semua Pejabat Pelajaran Daerah (PPD) diingatkan supaya tidak menyembunyikan kes keracunan makanan pelajar di sekolah daripada pengetahuan semua pihak bagi membolehkan ia dihebahkan sebagai pengajaran.

Pengarah Jabatan Pelajaran (JPN) Kelantan, Mohd Ghazali Ab Rahman, berkata pihaknya tidak akan bertolak ansur terhadap mana-mana PPD yang cuba berbuat demikian kerana kes terbabit dianggap serius dan perlu diketahui umum.

Katanya, berhubung kes terbaru di Kuala Krai, Rabu lalu, pihaknya masih meneliti dakwaan bahawa ada pegawai pelajaran daerah cuba menghalang wartawan membuat liputan kes keracunan terbabit.

“Kita dapat tahu lelaki terbabit bukan PPD yang dimaksudkan dan ia mungkin pegawai lain yang ada di situ.

“Bagi JPN, kes keracunan makanan pelajar sekolah tidak boleh disorok dan semua PPD diingatkan supaya tidak berbuat demikian.

“Sehingga kini kita tidak dapat mengenal pasti siapa yang dimaksudkan dalam laporan akhbar sehari selepas kejadian itu (Khamis lalu) yang cuba menghalang wartawan membuat liputan kes itu,” katanya ketika dihubungi di sini, semalam.

Dalam kejadian itu, 75 pelajar Sekolah Kebangsaan Yahya Petra 1 mengalami cirit-birit, muntah, pening kepala dan pengsan, dipercayai keracunan makanan selepas menikmati ‘hidangan basi’ di kantin sekolah itu.

Kejadian kira-kira jam 10.30 pagi itu disedari guru sekolah selepas melihat beberapa pelajar mengalami tanda keracunan, termasuk muntah dan pengsan.

Bagaimanapun, usaha wartawan untuk mendapatkan komen pengurusan sekolah berhubung kejadian itu gagal kerana mereka sibuk menguruskan pelajar supaya rawatan boleh diberi secepat mungkin.

Seorang lelaki yang juga Pegawai Pelajaran Daerah (PPD) kemudian menghampiri wartawan dan bertindak kurang sopan apabila cuba menghalang mereka membuat liputan.

Sementara itu, Mohd Ghazali berkata, Jabatan Kesihatan menyita kantin terbabit selama 14 hari selain mengambil sampel makanan.

“Selepas mengambil sampel itu, mereka akan membuat laporan kes. Selain tindakan sita, pengusaha kantin diberi tiga hingga empat hari untuk mengikuti cadangan yang diberi Jabatan Kesihatan,” katanya.

My Metro Ahad -10 Mei 2009