Saturday, May 9, 2009

Produk halal wujud fenomena baru

KUALA LUMPUR 8 Mei - Permintaan terhadap produk dan perkhidmatan halal telah mewujudkan satu fenomena baru di peringkat global.

Isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor berkata, fenomena berkenaan disumbangkan oleh umat Islam yang kini berjumlah 1.8 bilion atau 20 peratus daripada penduduk dunia.

Katanya, ia menjadikan pasaran makanan halal dunia bernilai RM2.4 trilion (AS$693 bilion) setahun dengan anggaran pertumbuhan sebanyak 25 peratus.

"Pengguna Islam sekarang telah dikenali sebagai segmen global yang kukuh dan berkembang.

"Pada masa sama, halal merupakan kuasa pasaran yang sedang berkembang serta menarik perhatian bukan Islam melalui prinsip kebersihan dan keselamatan dalam pengeluaran produk makanan," katanya ketika berucap merasmikan majlis penutupan Sidang Kemuncak Penyelidikan Halal Dunia 2009 di sini hari ini.

Hadir sama ialah Pengerusi Perbadanan Pembangunan Industri Halal (HDC), Tan Sri Dr. Syed Jalaludin Syed Salim; Ketua Pegawai Eksekutif HDC, Datuk Seri Jamil Bidin dan Timbalan Ketua Setiausaha (Sains) Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi, Profesor Datin Dr. Khatijah Mohd. Yusof.

Rosmah berkata, permintaan tinggi terhadap barangan halal wajar dimanfaatkan dengan menjadikan Malaysia sebagai pusat inovasi, pengeluaran dan perniagaan bahan halal serta semulajadi.

Beliau berkata, sesetengah bahan alternatif halal yang digunakan dalam pelbagai produk kosmetik dan farmaseutikal umpamanya boleh diperbuat daripada kelapa sawit.

Dengan cara itu, katanya, industri halal boleh dihubungkan dengan industri peladangan kelapa sawit yang akhirnya akan mewujudkan kesan berganda terhadap ekonomi negara.

"Pada masa ini, kurang satu peratus daripada hasilan gelatin dunia diperbuat daripada bahan yang halal.

"Ini adalah kawasan yang belum diteroka sedangkan ia menawarkan peluang pelaburan, lebih menarik kelapa sawit boleh digunakan sebagai sumber untuk menghasilkan gelatin halal," katanya.

Sementara itu, pada majlis yang sama Rosmah melancarkan Olipro Procine Gene Chip keluaran syarikat negara ini iaitu Olipro Biotechnology Sdn. Bhd. (Olipro).

Alat berkenaan mengesan kehadiran daging ataupun sebarang bahan yang dibuat dari babi hanya dalam tempoh empat hingga enam jam.

Alat pengesanan daging babi tersebut yang menggunakan mikrocip berasaskan kaedah pengesanan asid nukleik babi amat sensitif di mana ia boleh mengesan kehadiran makanan tidak halal itu sekecil 0.01 nano gram.

Olipro Procine Gene Chip bukan sahaja boleh mengesan unsur-unsur babi di dalam makanan tetapi juga dalam kosmetik dan pelbagai lagi keperluan umat Islam yang berada di pasaran.

Utusan Online-9 Mei 2009