Tuesday, May 12, 2009

Biskut Raya ke Ireland


Tahun ini biskut raya buatan Malaysia bukan sahaja boleh dinikmati di negara ini tetapi juga di Ireland. Justeru itu, masyarakat Malaysia yang berada di negara itu tidak perlulah kerinduan untuk merasai biskut yang dihidangkan apabila menyambut Hari Raya Aidilfitri.

Ini kerana sebanyak lima jenis biskut raya tanpa telur seperti Orange Mousses, London Almond, Tat Nanas, Suji dan Red Pearl akan mula dipasarkan pertama kalinya di Ireland khusus untuk perayaan Hari Raya ini.

Kelima-lima biskut keluaran Ita Produk Sdn. Bhd. ini berjaya menembusi pasaran antarabangsa menjejaki kejayaan produk keluarannya yang lain seperti makanan dalam tin dan botol seperti sardin, seri kaya dan sos lada hitam yang telah memasuki pasaran Tesco United Kingdom, Giant Hong Kong dan Singapura serta Carrefour Dubai dan Paris.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Suriati Rahman berkata, jika tahun-tahun yang lalu, untuk mendapatkan kuih raya Ita Produk, pelanggan perlu pergi ke pasar raya kerana di sanalah syarikat memasarkan produk tersebut.

Katanya, namun begitu, bermula tahun ini, konsep perniagaan telah bertukar kerana syarikat tidak lagi memasarkan kuih raya di pasar raya tetapi hanya mengekalkan barangan dalam tin, botol dan produk harian sahaja.

‘‘Ini kerana kami telah pun menarik balik kontrak untuk membekal kuih raya yang bernilai RM1.6 juta setahun untuk memberi peluang kepada usahawan kecil mencari pendapatan menerusi konsep rantaian usahawan pemasar bermusim.

‘‘Melalui konsep yang diperkenalkan tahun ini, kami akan membekalkan kuih-kuih raya yang bertaraf premium iaitu 100 peratus penggunaan mentega dan bahan yang sihat kepada usahawan kecil untuk dipasarkan di bazar-bazar Ramadan, individu atau syarikat korporat.

‘‘Konsep usahawan bantu usahawan ini bagi membantu peniaga kecil mencari duit tambahan menjelang Hari Raya dengan menjual kuih raya yang bermutu tinggi dan buatan tangan,’’ katanya ketika ditemui di Seksyen U5, Shah Alam baru-baru ini.

Menurut Suriati, kini Ita Produk mengeluarkan 11 jenis biskut raya di mana lima daripadanya tidak menggunakan telur.

‘‘Tahun ini sebanyak tiga biskut raya baru diperkenalkan iaitu Bunga Cinta Lestari, Winter Sonata dan Sesame Beauty, hasil rekaan saya sendiri bagi menambahkan biskut yang ada. Insya-Allah pada tahun depan lagi sembilan biskut baru akan diperkenalkan,’’ jelas nenek kepada lima orang cucu ini.

Menyingkap penglibatan Ita Produk dalam pembuatan biskut raya, ia bermula pada tahun 2004 setelah menerima tempahan daripada pasar raya sebanyak RM1.2 juta setahun.

‘‘Dari situ, melihatkan permintaan yang memberangsangkan kepada biskut raya, maka syarikat turut mengambil peluang dalam memasarkan biskut-biskut untuk hari perayaan seperti Hari Raya Aidilfitri, Hari Raya Aidiladha, Tahun Baru Cina, Deepavali dan Krismas.

‘‘Biskut buatan tangan keluaran kami sememangnya premium kerana kekayaan kandungan dalamnya,’’ ujar ibu kepada empat anak iaitu Bakhtiar Abu Bakar, Sri Rahayu, Shahirul Safri dan Shahirul Syafiq.

Menjelaskan mengenai latar belakangnya dalam bidang perniagaan, Suriati mengaku telah lama terlibat dalam bidang perniagaan berkonsepkan dagangan.

Pengalaman itulah katanya, banyak membantunya kini dalam urus niaga Ita Produk. Berkat usahanya juga, beliau telah membantu usahawan kecil-kecilan memasarkan produk makanan ringan seperti kerepek dan biskut raya.

Wanita yang mendapat sokongan sepenuhnya daripada suami, bekas pesara guru, Hassan Omar memberitahu, walaupun banyak saingan dalam pembuatan biskut raya ini, namun syarikat mencari satu kelainan iaitu mengeluarkan biskut premium.

‘‘Sedangkan syarikat-syarikat lain mengeluarkan biskut kelas pertengahan dan kelas bawahan di mana tidak menggunakan mentega sepenuhnya dan menggunakan mesin serta mempunyai rasa yang sama.

“Tetapi pada Ita Produk, anda boleh merasai kenikmatannya,’’ kata wanita yang merupakan Setiausaha Konsortium Usahawan Makanan dan Industri Asas Tani (Komita).

Ditanya apakah prinsip yang diamalkan, beliau berkata, sentiasa yakin, setia dengan pelanggan, meletakkan mereka di keutamaan pertama, menawarkan produk terbaik dan harga yang kompetitif.

‘‘Kita harus suka dahulu produk kita sebelum memasarkan kepada pelanggan.

‘‘Bagi mereka yang ingin menambah pendapatan serta mendapat pulangan yang tinggi melalui penjualan biskut raya, bolehlah menghubungi 03-78465407,’’ katanya dengan harapan dapat membantu usahawan kecil.

Arkib Utusan Online-5 September 2008