Tuesday, May 12, 2009

MINGGOMINGGO RAMLI-USAHAWAN AIS KRIM

PADA peringkat awal, tiada siapa menyokong hasratnya mahu mengusahakan perniagaan aiskrim. Ada yang menganggapnya gila kerana setiap hari bercerita mengenai aiskrim.

Baik keluarga mahupun sahabat menyangka dia mahu menjual aiskrim dengan membunyikan loceng seperti kebanyakan penjual aiskrim lazimnya. Walaupun menerima reaksi kurang menyenangkan dan kata-kata yang langsung tidak membina semangat, Ramli hanya ketawa.

Namun, selepas beliau berjaya membuktikan impiannya menjadi kenyataan, ramai rakan yang dulu memperlekehkan kini datang kembali kepadanya.

Siapa sangka, syarikat yang menjual aiskrim mampu memberi peluang pekerjaan kepada orang lain.

“Waktu itu tiada siapa percaya perniagaan aiskrim boleh berkembang. Orang selalu fikir, dari kecil mereka makan aiskrim, tiba-tiba saya mahu berniaga aiskrim,” kata Pengarah Urusan Kasturi Klasik (M) Sdn Bhd (KKMSB), Ramli Mazlan, 53.

Menurut anak kelahiran Jasin, Melaka ini, hendak menjadi usahawan tidak semudah dilafaz, malah sukar untuk meyakinkan orang lain supaya mengikut jejak langkahnya.

Pengasas aiskrim lembut Mingomingo ini tidak mengenal erti putus asa, malah itulah resipi yang digunakannya untuk menjadi usahawan berjaya.

“Saya mahu anak bangsa mengikut jejak langkah ini. Sejak kecil kita suka makan aiskrim dan ia digemari tanpa mengenal bangsa, usia dan keturunan. Apapun, tiada satu pun anak Melayu berkecimpung dalam perniagaan aiskrim. Ini yang kita terlepas pandang,” katanya.

Memulakan perniagaan sebagai penjual aiskrim secara kecil-kecilan dengan resipi sendiri, kini beliau menjadi pengilang, pengedar dan penjual aiskrim jenama Mingomingo di seluruh negara. Beliau dibantu rakan kongsi, Malik Mizam yang bertindak sebagai pengurus besar.

Idea mahu mengusahakan perniagaan aiskrim tercetus apabila Ramli melihat orang beratur panjang di sebuah pasar raya di Kuala Lumpur untuk membeli aiskrim. Beliau ikut berbaris untuk membeli dan ketika menikmati aiskrim berkenaan yang dijual dengan harga RM1, Ramli terfikir ini satu peluang perniagaan yang mampu berdaya maju kerana menjual barang murah tetapi digemari ramai.

Beliau membuat penyelidikan dan pembangunan daripada segi mendapatkan bahan dan bekalan mesin pembuat aiskrim lembut selama setahun.

“Saya tidak mampu membeli mesin pembuat aiskrim yang diimport dari Amerika Syarikat kerana harganya terlalu mahal iaitu RM50,000 sebuah. Rakan memberi pandangan supaya saya ke China untuk mendapatkan mesin seumpamanya tetapi dengan harga lebih murah.

“Sekembalinya dari Ghuangzhou, China, saya mengumpul modal perniagaan dan membeli 10 mesin pembuat aiskrim lembut dengan harga RM10,000 setiap satu dengan cadangan awal untuk diletakkan di sekolah,” katanya.

Lokasi pertama aiskrim jenama itu dipasarkan ialah di kiosk yang ditempatkan di pasar raya Mydin berhampiran bangunan Kotaraya, Kuala Lumpur. Seterusnya aiskrim Mingomingo dijual di perkampungan Hadhari di Kota Bharu, ketika konvokesyen Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) dan Universiti Malaya (UM).

Sehingga kini, Mingomingo ada di kebanyakan konvokesyen universiti, malah kenduri kahwin, kenduri untuk mengerjakan haji dan majlis sambutan hari jadi. Beliau belajar membuat aiskrim di Johor Bahru dan menambah pengetahuan dengan melantik konsultan dari Arab Saudi bagi memahirkan membuat bahan berkenaan.

Menyentuh mengenai nama Mingomingo, Ramli berkata, nama berkenaan berasal daripada mangga atau manggo dalam bahasa Inggeris.

“Peringkat awal, seminggu saya tercari-cari nama yang sesuai bagi aiskrim ini. Nama syarikat saya kasturi yang bermaksud buah limau dan ia ada unsur kemelayuan. Jadi saya cuba namakan aiskrim ini papaya dan banana tetapi tidak sesuai. Saya nampak nama mangga, tapi ia tidak sesuai lalu saya ubah kepada Manggo. Apabila nama itu digandakan dan disebut selalu, ia jadi sedap. Monggo-monggo dalam bahasa Jawa pula bermaksud ‘silakan’,” katanya.

Berbekalkan modal kecil, beliau menguruskan perniagaan aiskrim seorang diri daripada mengangkat bahan mentah ke tingkat atas bangunan dan menjual produk. Pada hari minggu, ketika orang lain enak tidur, beliau keluar rumah sejak awal pagi untuk berniaga.

“Rintangan paling kritikal ialah masalah mesin pembuat aiskrim serta ketiadaan lori bagi mengangkut alat perniagaan. Saya akui tiada pengalaman dalam perusahaan aiskrim. Apabila berlaku kerosakan mesin, saya hampir putus asa. Untuk menghasilkan aiskrim lembut memerlukan mesin khusus, tetapi apabila dipam dalam 10 kali, ia jadi cair,” katanya.

Walaupun kecewa dengan situasi itu, Ramli menguatkan semangat dengan menganggap setiap penyakit ada ubatnya. Beliau ke China untuk menukar alat ganti dan akhirnya operasi berjalan lancar. Daripada 10 mesin, kini beliau memiliki 500 mesin yang dianggarkan bernilai RM5 juta.

“Ketika berniaga di ekspo, saya terpaksa menyewa lori. Apabila tamat perniagaan, saya tunggu lori datang jam 1 pagi dan sampai rumah jam 3 pagi. Saya tahu perniagaan ini dari A hingga Z kerana bukan tiba-tiba menjadi bos, sebaliknya bermula dengan segala susah payah,” katanya yang kini mempunyai 200 pekerja.

Kini KKMSB menjalankan perniagaan melalui kiosk statik di pasar raya, kiosk bergerak dan kiosk boleh ubah, di upacara seperti karnival, pasar malam, rumah terbuka, majlis perkahwinan dan kantin sekolah.

Bercerita mengenai latar belakangnya, Ramli berkata, beliau ditanamkan semangat keusahawanan oleh ibunya dengan menjual kuih dan cendol selepas selesai menjalani peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

“Saya pernah menjalankan pelbagai perniagaan seperti membekal perabot, menjual penyembur cili untuk mengelak penjenayah serta berniaga barang kemas. Sehingga kini, memasarkan aiskrim Mingomingo adalah perniagaan paling berjaya dalam hidup saya dan ia adalah kemegahan bangsa,” katanya yang kini mampu memiliki kilang dan bangunan pejabat sendiri.

Ketika ditemui di Wisma Kasturi miliknya, Ramli berkata, beliau bersyukur kerana impian untuk membangunkan empayar perniagaan tercapai, selain melahirkan usahawan muda.

“Sekarang orang mula buka mata. Apapun saya belum berjaya ke tahap maksimum, tetapi boleh membantu anak Melayu dan bersaing dengan bangsa lain. Insya-Allah kami akan berpindah ke kilang baru di Batu Caves,” katanya. KKMSB sebelum ini beroperasi di Taman Keramat Permai, Kuala Lumpur, manakala kilang di Damansara.

Kini ada kira-kira 30 perisa berasaskan makanan aiskrim seperti banana split dan cendol aiskrim manakala perisa utama ialah vanila, coklat, strawberi dan mangga.

KKMSB kini dalam usaha mengetengahkan aiskrim dalam bekas plastik (hard icecream) yang ketika ini dipasarkan di bistro Mingomingo serta aiskrim kayu.

PROFIL

NAMA: Ramli Mazlan

UMUR: 53 tahun

ASAL: Jasin, Melaka

JAWATAN: Pengarah Urusan Kasturi Klasik (M) Sdn Bhd.

ISTERI: Asni Ali

ANAK: Nadia (25); Nornikman (22), Mohammad Zaki (20) dan Norfarahin (13)