Tuesday, May 12, 2009

Tahan Panas Sehingga 180 Darjah Celsius



Pinggan ubi kayu berisi makanan tahan empat jam sebelum kembang.

JIKA anda memikirkan nasib dugong, ikan jerung atau penyu yang mati terjerut selepas termakan plastik, selain sampah sarap lambat lupus atau yang tidak boleh dilupuskan, anda pasti mengutuk diri anda sendiri kerana menjadi penyumbang kepada masalah itu.

Oleh itu kehadiran pinggan yang dihasilkan daripada ubi kayu memang dinantikan kerana ia boleh menggantikan pinggan pakai buang yang turut menjadi ejen pencemaran dan penyumbang kepada sampah sarap.

Uniknya pinggan ubi kayu yang dikeluarkan Natures Harmony Industries Sdn Bhd (NHI) boleh dimakan. Ia tiada rasa, tidak mengenyangkan tetapi unik dan istimewa.

Pinggan ubi kayu mesra alam dan dapat mengurangkan penggunaan bekas makanan yang diperbuat daripada plastik dan polistrin.

Walaupun pinggan ubi kayu boleh bertahan selama dua tahun sebelum lupus sendiri, ia boleh dibiourai dengan pantas jika dicampak ke tanah dan lupus dengan mudah jika terendam dalam air manakala sisanya boleh dijadikan bahan makanan binatang ternakan.

Proses penghasilannya juga mudah. Pinggan yang diperbuat daripada 99 peratus tepung ubi kayu ini bermula sebagai tepung yang diformulasikan selama 20 minit, sebelum diuli dalam mesin uli selama 30 minit.

Selepas menjadi doh, ia akan dipotong kecil-kecil menggunakan mesin. Doh dimasukkan ke dalam acuan khas mengikut putaran mesin. Untuk menghasilkan 6,000 biji pinggan, 17 kilogram doh diperlukan. Acuan dibakar antara 220 hingga 240 darjah Celsius dengan anggaran setiap 45 saat sekeping pinggan pakai buang boleh dihasilkan.

Proses untuk menghasilkan mangkuk, bekas makanan dan talam daging juga sama hanya acuannya saja berbeza.

Mampukah pinggan ubi kayu menahan kepanasan makanan atau menyerap cairan? Melalui penyelidikan dan pembangunan, NHI menghasilkan pinggan pakai buang itu dengan formulasi istimewa yang mana ia boleh menahan panas sehingga 180 darjah Celsius atau selama empat jam tanpa menjejaskan bentuk dan ketahanannya.

Untuk makanan sejuk, pinggan ubi kayu boleh bertahan lebih dari sehari. Ini kerana antara proses akhir penghasilannya adalah melindunginya dengan salutan khas bagi menahan kelembapan.

Lapisan salutan ini sama sekali tidak menjejaskan konsep mesra alam yang dipromosikan kerana salutan itu dibuat daripada polimer terpilih yang selamat untuk penggunaannya. Ia juga adalah salutan standard digunakan dalam industri penyediaan makanan yang membantu produk ketahanan produk.

Dalam sebulan, lapan tan metrik tepung ubi kayu digunakan untuk menghasilkan 1.5 juta pinggan, tetapi dengan tempahan yang meningkat, dijangka antara 30 hingga 50 tan metrik ubi kayu diperlukan untuk menghasilkan sekurang-kurangnya 48 juta unit pinggan.

Namun, bukan sebarang ubi kayu boleh diuli untuk dijadikan pinggan pakai buang. Hanya ubi kayu jenis KU 55 boleh diproses menjadi pinggan kerana ia lebih tinggi kandungan seratnya manakala ubi kayu jenis lain kurang serat yang menyukarkan proses pembentukan pinggan.

Berbanding dengan harga pinggan pakai buang lain, pinggan ubi kayu mungkin sedikit mahal di pasaran iaitu RM3.50 untuk 10 keping.