Wednesday, September 15, 2010

Kerang bercampur babi di Pasar Chow Kit?

KUALA LUMPUR 6 Sept. - Umat Islam yang berhasrat membeli kerang di Pasar Chow Kit di sini, wajar berfikir dua kali berikutan pusat memproses makanan laut itu dikesan terletak bersebelahan dengan tempat penyembelihan daging babi.

Perkara itu terbongkar selepas pegawai penguat kuasa dari Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dan Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) melakukan pemeriksaan mengejut di pasar terbabit pukul 5 pagi, Jumaat lalu.

Turut menyertai operasi pemeriksaan tersebut ialah para pegawai Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK).

Semasa serbuan, tiga peniaga bukan beragama Islam sedang sibuk membungkus longgokan kerang dianggarkan seberat 50 kilogram dipercayai untuk dijual kepada orang ramai termasuklah pengguna beragama Islam.

Yang menjijikkan, kerang itu ditabur di atas lantai, iaitu kira-kira dua meter daripada longgokan daging babi yang belum dilapah dan masih berdarah.

Sumber Jakim berkata, daging babi yang sudah dipotong dua itu baru dihantar oleh pembekal ke pasar terbabit dan diletakkan di atas para batu bersama bahagian organ lain seperti hati dan limpa.

"Bagaimanapun, darah haiwan itu didapati mengalir turun di kawasan lantai yang turut digunakan oleh peniaga untuk meletakkan kerang.

"Apabila ditanya, peniaga kerang terbabit memberitahu mereka tidak tahu bahawa perbuatan dilakukan itu salah dan boleh mengundang rasa kurang senang kepada pengguna Islam," katanya di sini, hari ini.

Menurutnya, tiga peniaga berusia 50-an terbabit memaklumkan mereka akan menjual kerang itu kepada pelanggan selepas membersihkannya.

Sumber itu berkata, lokasi memproses kerang dan pusat penyembelihan daging babi yang terletak di tempat sama dianggap tidak strategik.

"Ia boleh menjadi haram dimakan sekiranya berlaku percampuran antara air atau darah babi dengan kerang yang diproses.

" Peniaga bukan Islam seharusnya sensitif terhadap aspek kebersihan dan mengetahui sedikit sebanyak tentang hukum dan kaedah pemprosesan makanan halal," ujar beliau.

Dalam pada itu, Setiausaha Politik Perdana Menteri, Datuk Jailani Ngah yang turut serta melihat lokasi penyembelihan babi di pasar Chow Kit tersebut menyifatkan kawasan berkenaan uzur dan tidak sesuai dijadikan pusat pemprosesan makanan halal.

" Perkara itu seharusnya tidak berlaku memandangkan pasar tersebut menjadi tumpuan umat Islam untuk mendapatkan bekalan makanan.

" Pihak berkuasa tempatan termasuk DBKL perlu memikirkan alternatif lain termasuk memindahkan kedua-dua pusat penyembelihan terbabit ke lokasi lebih sesuai dan bersih," katanya.