Friday, July 17, 2009

ZOO TAIPING LARANG GUNA POLITERIN

IPOH 12 Julai - Zoo Taiping tidak membenarkan rombongan sekolah menggunakan bekas polisterin untuk menyimpan makanan semasa melawat kawasan zoo itu mulai tahun ini.

Pengarahnya, Dr. Kelvin Lazarus berkata, tindakan itu diambil kerana penggunaan bahan tersebut boleh memudaratkan alam sekitar selain memberi kesan negatif kepada kesihatan pengguna.

''Kita tidak akan membenarkan rombongan sekolah membawa bahan makanan dalam polisterin semasa melawat zoo.

''Zoo mahu memastikan kanak-kanak sekolah diberikan pendidikan mengenai alam semula jadi dan tidak menggunakan bahan tersebut di sini," katanya ketika dihubungi di sini baru-baru ini.

Dr. Kelvin berkata, bahan polisterin amat berbahaya kerana ia tidak akan reput dan sekali gus boleh memudaratkan alam semula jadi dalam tempoh yang lama.

Dalam meningkatkan kemudahan kepada pengunjung, beliau berkata, pihaknya dengan kerjasama Kementerian Pelancongan telah melaksanakan projek pemasangan bumbung di kawasan dataran zoo bagi kemudahan pengunjung.

Katanya, projek membabitkan kos sebanyak RM1 juta itu telah siap baru-baru ini bagi membolehkan pengunjung berteduh sewaktu hujan di samping menjalankan aktiviti setempat.

Menurut Dr. Kelvin, sebanyak 730,000 orang telah mengunjungi zoo itu sepanjang tahun lalu dan jumlah itu dijangka meningkat kepada 750,000 orang tahun ini.

Katanya, kadar bayaran masuk ke zoo itu bagi waktu siang ialah RM12 bagi dewasa dan kanak-kanak RM8 manakala bayaran masuk waktu malam ialah dewasa (RM16) dan kanak-kanak (RM10).

Dipetik Dari Utusan Online 12 Julai 2009