Friday, July 17, 2009

JAKIM JANJI TINGKAT KUALITI, INTEGRITI SIJIL HALAL

BANGI 10 Julai - Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) akan meningkatkan kualiti dan integriti sijil halal selepas tanggungjawab pengeluaran sijil berkenaan diserahkan semula kepada jabatan tersebut.

Ketua Pengarahnya, Datuk Wan Mohammad Sheikh Abdul Aziz berkata, usaha itu menjadi keutamaan Jakim bagi memastikan tahap keyakinan pengguna meningkat.

"Jakim menerima amanah ini sebagai satu tanggungjawab untuk membangunkan pusat halal bersama-sama Perbadanan Pembangunan Industri Halal (HDC).

"Tidak menjadi masalah bagi kami untuk menjalankan amanah ini. Jaminan saya, Jakim akan meningkatkan kualiti dan integriti persijilan kita," katanya.

Beliau mengulas kenyataan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Mohd. Jamil Khir Baharom semalam mengenai keputusan Kabinet yang mengarahkan tanggungjawab pengeluaran sijil halal daripada HDC dikembalikan semula kepada Jakim berkuatkuasa serta merta.

Beliau ditemui sempena majlis penutup Kembara Dakwah di Institut Latihan Islam Malaysia (ILIM) di sini hari ini.

Program dakwah yang bermula sejak 3 Julai lalu itu dirasmikan Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr. Mashitah Ibrahim.

Sempena program itu, graduan Universiti Multimedia (MMU), Mohd. Hamdan Mohd. Shafie, 23, serta graduan Universiti Putra Malaysia (UPM), Nurhazwani Abd. Rani, 23, dipilih sebagai pelatih pendakwah lelaki dan wanita terbaik.

Tambah Wan Mohammad, kualiti persijilan halal yang dikeluarkan oleh pihak berkuasa negara ini sebenarnya mendapat pengiktirafan dan diguna pakai negara-negara Pertubuhan Persidangan Islam (OIC).

Namun, jelasnya, dalam usaha untuk menjadikan Malaysia sebagai pusat industri halal, masih terdapat ruang dalam aspek persijilan yang boleh dipertingkatkan.

Kepada soalan kenapa tiada peraturan mandatori, Wan Mohammad memberitahu, ia adalah satu polisi yang diterima pakai oleh kerajaan dan pihak antarabangsa.

Katanya, kerajaan tidak boleh mewajibkan semua pihak industri makanan memiliki sijil halal.

Bagaimanapun, ujar beliau pihak industri kini menyedari kepentingan persijilan halal bagi membolehkan mereka menerokai pasaran antarabangsa.

Dalam pada itu, Ketua Pegawai Eksekutif HDC, Datuk Seri Jamil Bidin ketika dihubungi memberitahu, pihaknya mengalu-alukan langkah kerajaan menyerahkan semula pengeluaran sijil halal kepada Jakim.

"Penyerahan semula tugas ini kepada Jakim membolehkan HDC menumpu sepenuhnya kepada aspek pembangunan industri halal negara secara menyeluruh.

"Saya percaya Jakim mampu melaksanakan tugas ini dengan baik dan akan meneruskan pembaharuan yang telah dilakukan oleh HDC sebelum ini," katanya.

Dipetik Dari Utusan Online 10 Julai 2009