Friday, July 17, 2009

SUP HARUAN KOLAGEN DIPERKENAL

KUALA LUMPUR 10 Julai - Anda mahu kulit muka yang anjal sepanjang masa?

Apa kata anda menambah menu harian dengan mengambil sup ikan haruan kerana ia dikenal pasti mengandungi kolagen yang sangat berguna untuk tujuan tersebut.

Pengarah Urusan Bio Haruantech (M) Sdn. Bhd., Mohammad Munir Lukman Hakim memberitahu kolagen yang terhasil daripada ekstrak ikan haruan itu jauh lebih baik berbanding kolagen yang diekstrak daripada tulang lembu dan sumber marin lain di pasaran.

Beliau berkata, lebih menarik sup ikan haruan berkolagen itu berjaya dihasilkan tanpa bahan pengawet.

"Selain mampu mengekalkan keanjalan kulit, ia juga membantu memulihkan parut luka dengan lebih cepat selain bagus untuk mereka yang mempunyai masalah gastrik," katanya.

Beliau berkata demikian kepada Utusan Malaysia pada Pameran Perdagangan Makanan dan Minuman Antarabangsa Malaysia (MIFB) Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini hari ini.

MIFB merupakan program kerjasama antara Kumpulan Utusan, Expomal International Sdn. Bhd. (Expomal) dan Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani.

Munir menjelaskan, syarikatnya mengambil khasiat pada cecair lekit (Glycine) ikan haruan sebelum mengekstraknya menjadi kolagen dan dicampur dalam produk sup ikan haruan.

Katanya, Glycine haruan juga sangat mujarab dalam membantu pengeluaran semula molekul protein pada sel kulit manusia sekali gus membantu mempercepatkan proses penyembuhan.

Menurutnya, disebabkan itu, ramai pengguna makan sup tersebut terutama ibu-ibu selepas bersalin dan mereka yang menjalani rawatan pembedahan.

"Lebih menakjubkan kesan penyembuhan boleh dilihat dengan hanya mengambil tiga paket sup segera ini dalam masa tiga hari," katanya.

Katanya, walaupun baru empat bulan di pasaran, sambutan pengguna terhadap produk tersebut sangat memberangsangkan terutama melalui penglibatan syarikat dalam pameran besar seperti MIFB.

Menurut beliau, sup haruan berkolagen itu boleh didapati di semua farmasi dan toko-toko jamu di seluruh negara dengan harga RM16 sekotak.

Dipetik Dari Utusan Online 10 Julai 2009