Friday, July 17, 2009

PASARAN ROSELLE SEMAKIN BERKEMBANG

BATU PAHAT 15 Julai - Pasaran buah dan produk berasaskan roselle yang kaya dengan vitamin C terus berkembang ekoran permintaan yang semakin meningkat di kalangan pengguna tempatan dan luar negara.

Pegawai Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) Batu Pahat, Jaini Bukhiran berkata, ini terbukti apabila 100 tan metrik roselle berjaya dipasarkan agensi itu sepanjang tahun lalu.

Menurutnya, daripada jumlah tersebut, sebanyak 50 tan roselle segar dieksport ke Australia, manakala selebihnya untuk pasaran tempatan.

"Sebahagian besar roselle itu dihasilkan oleh FAMA menerusi ladang kontraknya di Mersing," katanya ketika ditemui di sini baru-baru ini.

Beliau berkata, pihaknya juga mendapatkan bekalan roselle daripada beberapa pengusaha lain di Mersing, Kluang, Rompin dan Kota Tinggi.

Jaini berkata, pokok roselle sesuai ditanam di atas tanah berpasir dan akan berbuah apabila berumur tiga bulan serta boleh dipetik tiga bulan kemudian.

"Penjagaan pokok roselle juga tidak begitu rumit seperti pokok lain dan tidak memerlukan ramai tenaga kerja," katanya.

Beliau berkata, selain hiasan makanan, buah roselle turut dipelbagaikan penggunaannya dengan dijadikan kordial, jem dan halwa.

"Rasa halwa roselle masam manis dan boleh dimakan secara kerap," katanya.

Ekoran itu, beliau menggalakkan pemilik tanah menanam pokok roselle bagi membantu mengembangkan lagi pasaran terutamanya untuk pasaran tempatan.

Dipetik Dari Utusan Online 15 Julai 2009