Friday, July 17, 2009

SUSU PERLU SELAMAT


Bakteria berbahaya tumbuh dengan pesat jika suhu susu berada di atas 7 darjah Celsius.

SETIAP pagi Zarina Imran, 35, ibu kepada Zarif Kamal, 11, dan Zahira Kamal, 8, akan memastikan anak-anak kesayangannya meminum segelas susu sebelum pergi ke sekolah.

Menerusi pengetahuannya, Zarina sememangnya yakin susu adalah minuman wajib bagi anak-anaknya yang sedang membesar.

Zarina tahu kebanyakan susu di pasaran tempatan diimport, selain itu adakah susu yang dihidangkan kepada anak-anaknya benar-benar selamat untuk diminum.

Kita juga sebelum ini pernah dikejutkan dengan berita ramai murid-murid sekolah yang dibekalkan dengan susu sekolah mengalami keracunan makanan.

Perkara-perkara seumpama ini yang membimbangkan ibu bapa dan orang ramai.

Bersempena forum kesihatan awam bertajuk Keselamatan dan Jaminan Kualiti Makanan - Membina Kepercayaan dan Meningkatkan Standard yang diadakan di Kuala Lumpur, baru-baru ini, kemusykilan tersebut dijawab.

Salah seorang panel yang terlibat dalam forum tersebut ialah Timbalan Dekan bahagian Pembangunan dan Prasarana di Fakulti Perubatan Universiti Malaya, Profesor Dr. Mustafa Ali Mohd.

Menurutnya, setiap pengguna perlu faham tentang jenis-jenis susu sebelum mengetahui bagaimana cara penyimpanan yang selamat dan menjamin kualitinya.

"Terdapast susu asli yang tidak mempunyai campuran lain dan terdapat juga susu yang telah dicampur pelbagai bahan berkhasiat lain sebagai nilai tambah. Semuanya terpulang kepada pengguna untuk memilih mana yang mereka suka.

"Apa yang penting ialah memastikan susu yang diminum oleh ahli keluarga kita selamat," jelas beliau.

Forum tersebut telah dirasmikan oleh Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Rosnah Abdul Rashid Shirlin dan mendapat sokongan daripada Wyeth Nutrition Malaysia.

Dr. Mustafa juga berkongsi sebab mengapa susu boleh menjadi tidak selamat.

"Pertama sekali kita perlu tahu kenapa susu tidak selamat dan mengapa ia mengandungi bahan tercemar. Antara punca-puncanya ialah kemalangan.

"Contohnya, kawasan penternakan lembu terdedah kepada bahan radioaktif dan lembu meminum air dari kawasan tersebut. Dari situ susu yang dihasilkan sudah mengandungi elemen tidak selamat.

"Kedua, disebabkan kelalaian, ini berlaku apabila tiada penguatkuasaan yang berkesan di sesebuah negara lalu menyebabkan pengendalian susu dibuat dengan lewa.

"Ketiga, apabila penternak lembu melanggar etika. Apa yang dimaksudkan di sini ialah apabila penternak tidak mahu kerugian menyuntik lembu dengan sejenis antibiotik supaya lembu mengeluarkan banyak susu," jelas beliau.

Selain faktor-faktor yang disebut di atas, Dr. Mustafa tidak menafikan susu juga boleh dicemari menerusi kehadiran bahan kimia seperti racun serangga, sisa toksin dan sisa kimia berbahaya lain.

Memang susu ibu amat bagus tetapi ia akan lebih bagus jika si ibu prihatin dengan pemakanan mereka.

"Ada ibu yang menyusukan anak mengambil herba, ubat tradisional yang tidak diketahui dengan jelas bahan di dalamnya, elemen-elemen tersebut akan sampai kepada bayi menerusi susu yang diberi ibunya," kata Dr. Mustafa.

Bercakap tentang susu yang mengandungi melamin, Dr. Mustafa menjelaskan ia memang tidak terjadi di Malaysia namun ia tidak mustahil berlaku.

Menurut beliau, pengguna perlu tahu cara-cara memastikan susu itu selamat dengan beberapa cara seperti:

lPengetahuan tentang suhu. Susu yang dijual di dalam kotak mesti disimpan dalam tempat yang bersuhu 7 darjah Celsius. Dalam peti sejuk, di bahagian kotak simpanan sayur adalah tempat yang paling sesuai untuk menyimpan susu kerana suhunya 7 darjah Celsius atau kurang daripada itu.

lSekiranya susu berada di kawasan lebih 7 darjah Celsius dalam lebih tempoh lebih setengah jam disaran agar buang susu tersebut.

lBakteria berbahaya tumbuh dengan pesat jika suhu susu berada di atas 7 darjah Celsius.

Dr. Mustafa turut mengingatkan bahawa rakyat Malaysia bertuah kerana mempunyai empat pusat pemantauan susu yang diimport.

"Sejak kes melamin dalam susu formula kanak-kanak di China gempar suatu ketika dulu, kerajaan tidak sewenangnya melepaskan produk dengan mudah.

"Kesemua susu yang diimport diperiksa dengan prosedur ketat sebelum kementerian membenarkannya masuk ke dalam pasaran," kata beliau.

Dipetik dari Utusan Online 16 Julai 2009