Friday, July 17, 2009

SME CORP ATASI PERMOHONAN TERTANGGUH


KUALA LUMPUR 10 Julai - SME Corporation Malaysia (SME Corp.) yang dijenamakan semalam dijangka mampu memproses beribu-ribu permohonan bantuan kewangan yang tertangguh dalam tempoh tiga bulan dari sekarang.

Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Mukhriz Mahathir berkata, selain itu, tempoh pemprosesan permohonan bantuan pinjaman yang dikemukakan oleh usahawan kecil dan sederhana juga dijangka lebih singkat selepas ini.

''Permohonan berkenaan tertangguh kerana sebelum ini Perbadanan Pembangunan Industri Kecil dan Sederhana Malaysia (SMIDEC) kekurangan sumber manusia.

''Ada masanya 20 orang pegawai terpaksa memproses 20,000 permohonan. Dan kini SME Corp. sudah mendapat kelulusan daripada Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) untuk menambah pegawai dan kakitangan,'' katanya selepas merasmikan Persidangan Usahawan Muda yang dihadiri lebih 200 usahawan di Hotel Cititel, Midvalley di sini hari ini.

Jelas beliau, selain kekurangan tenaga manusia ada juga permohonan terpaksa ditolak kerana tidak lengkap seperti tidak mengemukakan dokumen yang diperlukan dan sebagainya.

Tambah Mukhriz, SME Corp. akan turut memainkan peranan sebagai penyelaras kepada 14 kementerian dan lebih 60 agensi kerajaan yang mempunyai kaitan secara langsung dan tidak langsung dengan perusahaan kecil dan sederhana.

''SME Corp. akan melihat fungsi-fungsi yang dilaksanakan oleh pelbagai pihak bagi mengelak masalah pertindihan,'' katanya.

Jelas Mukhriz, antara insentif yang ditawarkan oleh MITI melalui SMIDEC sebelum ini ialah

geran padanan untuk membangunkan dan mempromosikan produk halal.

''Sehingga Mei 2009, daripada 384 permohonan, 276 diluluskan dan ini melibatkan sejumlah RM16.47 juta.

''Sementara bagi skim mempromosi perusahaan kecil dan sederhana untuk syarikat sedia ada dan penubuhan syarikat baru sehingga Mei 2009 sejumlah 1,371 permohonan diterima, 750 diluluskan dengan jumlah RM428.29 juta,'' katanya.

Mukhriz berkata, bagi pinjaman mudah untuk penggunaan teknologi maklumat dan komunikasi, (ICT) pula, sehingga pada Mei 2009, daripada 101 permohonan diterima sejumlah 26 permohonan diluluskan dengan pinjaman bernilai RM5.01 juta.

Dipetik Dari Utusan Online 10 Julai 2009

MOFAZ JANGKA PULANGAN LUMAYAN

KUALA LUMPUR 12 Julai - Tindakan Kumpulan Mofaz menceburi kegiatan jualan langsung dalam usahanya memasuki ke pasaran sejagat, dijangka mampu menjana pulangan yang lumayan.

Ketua Pegawai Eksekutif Mofaz Direct, Johari Ismail berkata, usaha itu dijangka membawa kejayaan berikutan sambutan yang diberikan para pelanggan terhadap produk berasaskan kesihatan dan penjagaan diri.

Johari juga berkata, pihaknya tidak mempunyai masalah untuk bersaing dengan produk yang dipasarkan syarikat jualan langsung pelbagai peringkat (MLM) di negara ini.

Pada asasnya, konsep MLM yang diperkenalkan oleh Mofaz Direct, anak syarikat Kumpulan Mofaz bertujuan membantu individu yang hilang pekerjaan atau menghadapi masalah dalam perniagaan.

Beliau berkata, perkongsian dan kerjasama pintar antara Mofaz Direct dan sukan permotoran yang diceburi Mofaz melalui pasukan MofazFortec yang berpusat di United Kingdom akan membantu produknya berkembang ke peringkat dunia.

"Ketika ini, tiga produk telah mendapat tempat di peringkat antarabangsa iaitu Alla Fonte, Macho serta Diva dan beberapa jenama lain seperti LaFamina, Falisha manakala lain-lain akan menyusul kemudian," katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Menurut Johari, Mofaz melalui Mofaz Direct menggunakan sukan bermotor sebagai landasan untuk mengadakan promosi di peringkat antarabangsa.

Mofaz Motorsport adalah satu-satunya pasukan The World Series by Renault yang mempunyai pendedahan di seluruh dunia.

Mengulas lanjut tambah Johari, Mofaz Direct menawarkan peluang perniagaan kepada semua peringkat usahawan jualan langsung dengan barangan yang berkualiti.

"Dengan rekod selama 32 tahun dalam dunia perniagaan, Mofaz berada di landasan kukuh untuk menawarkan barangan bermutu lagi halal yang disambut baik di luar negara termasuk China dan Eropah," katanya.

Dipetik Dari Utusan Online 12 Julai 2009

PS: TERINGAT MASA DIALOG NGAN MENTERI PTG TADI, PAKCIK DALAM ARTIKEL NI LER YANG LAST SEKALI BAGI KOMEN...OK LER

16 Murid SK Duyong Keracunan Makanan



GAN Tian Loo bertanyakan sesuatu kepada murid Sekolah Kebangsaan Duyong yang keracunan makanan di Melaka, semalam.

MELAKA 6 Julai - Seramai 16 murid tahun empat dan lima di Sekolah Kebangsaan (SK) Duyong di sini hari ini dikejarkan ke Hospital Melaka selepas mengalami muntah dan cirit-birit dipercayai akibat keracunan makanan.

Kejadian berlaku pada pukul 10.45 pagi selepas murid terbabit menikmati nasi lemak dan bihun goreng sambal pada waktu rehat di kantin sekolah berkenaan.

Kesemua mereka yang merupakan murid perempuan sekolah tersebut dibawa ke Unit Kecemasan hospital dan klinik kesihatan berdekatan oleh guru sekolah bagi mendapatkan rawatan.

Bagaimanapun, kesemua mereka diberi rawatan pesakit luar dan dibenarkan pulang selepas selesai pemeriksaan doktor serta diberikan ubat.

Menurut Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Duyong, Datuk Gan Tian Loo, kesemua murid terbabit dipercayai mengalami keracunan makanan selepas menikmati sarapan pagi yang disediakan oleh pengusaha kantin sekolah itu.

''Kita mengesyaki mereka mengalami keracunan selepas makan sambal di kantin sekolah, bagaimanapun, pegawai kesihatan sedang menyiasat dengan lebih lanjut punca kejadian ini.

''Kantin sekolah ini akan disita buat sementara waktu bagi membolehkan pemeriksaan kesihatan dijalankan dengan lebih lanjut di premis ini," katanya.

Hasil pemeriksaan awal di kantin sekolah itu, kata Tian Loo, mendapati tahap kebersihan premis berkenaan adalah memuaskan malah pengusaha terbabit telah menunjukkan rekod kebersihan yang agak cemerlang sebelum ini.

Dalam pada itu, beliau mengingatkan pengusaha kantin dan pengurusan sekolah agar lebih berhati-hati dalam memastikan kebersihan makanan yang disediakan untuk murid-murid.

Sementara itu, seorang mangsa, Nurul Azrin Yasri, 11, ketika ditemui Utusan Malaysia mendakwa, hidangan makanan yang disediakan oleh pengusaha kantin terbabit agak mencurigakan kerana pernah melihat 'bahan asing' dalam makanan berkenaan.

''Pagi tadi saya tidak sangka pula sambal itu telah basi.

''Disebabkan terlalu lapar, saya makan saja dan tidak sangka sampai muntah dan sakit perut," katanya.

Dalam pada itu, rakannya, Nurzafira Safri, 11, berkata, pada mulanya dia hanya membeli bihun goreng tanpa hidangan sambal tetapi disebabkan ingin menambah rasa makanan dia mengambil sambal berkenaan.

''Saya nampak warna sambal tersebut sudah kehitaman tetapi disebabkan sudah terlalu lapar, saya terus makan," katanya.

Dipetik Dari Utusan Online 6 Julai 2009

PS: LAN....KENAPA ORG KAMPUNG KO KERACUNAN MAKANAN KIH...KIH

MINUM KOPI AWET MUDA


Biji kopi mengandungi bahan antoksidas yang mampu meneutralkan radikal bebas.


KOPI sememangnya sudah sebati dengan kehidupan rakyat Malaysia. Tidak kira pagi, tengah hari, petang atau malam, secawan kopi panas yang segar beraroma memberi nikmat dan kepuasan yang tidak terhingga kepada penggemarnya.

Mengikut statistik yang dikeluarkan oleh Nestle, orang Melayu adalah peminum terbesar kopi di Malaysia.

Selain memberi nikmat dan kepuasan, ramai yang mungkin tidak menyedari bahawa kopi juga mengandungi bahan antioksidas yang dapat meneutralkan radikal bebas dan melindungi sel-sel tubuh daripada kerosakan.

Presiden Makanan Functional di Fakulti Sains Makanan dan Nutrisi, Universiti Leeds, United Kingdom, Profesor Gary Williamson berkata, tubuh manusia terdedah kepada zarah yang dikenali sebagai radikal bebas.

Radikal bebas terbit daripada beberapa punca seperti asap kenderaan, daripada asap, pancaran matahari (UV), tekanan hidup, tabiat merokok dan sebagainya.

Ia akan membuatkan sel-sel kulit rosak dan kurang keanjalan sehingga kulit nampak berkedut, kusam dan pelbagai masalah.

"Bagaimanapun radikal bebas sebenar boleh diuraikan dengan pengambilan makanan atau minuman yang mengandungi bahan antioksidas atau dalam bahasa saintifiknya dipanggil polyphenols.

"Selain biji kopi, bahan ini juga terkandung dalam tumbuhan seperti buah-buahan, sayuran, bijirin dan kekacang," katanya ketika ditemui di Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Kajian saintifik turut merujuk kepada polyphenols sebagai elemen penambah jangka hayat sebagai sumber kesihatan serta antioksidas yang tinggi.

"Antioksidas ini juga mengurangkan kesan penuaan serta risiko penyakit kronik," jelas beliau.

Akan tetapi persoalan yang sering timbul dalam fikiran ialah kuantiti yang patut diambil untuk mencapai tahap kesihatan optimum.

Justeru Williamson berkata, tidak salah jika seseorang misalnya meminum lima hingga enam cawan kopi dalam sehari.

"Secawan kopi mengandungi dua kali ganda bahan antioksidas yang terdapat di dalam minuman koko, jadi minum kopi adalah cara yang paling mudah bagi seseorang untuk mendapat perlindungan dari bahan radikal bebas, sekali gus melindungi diri dari pelbagai serangan penyakit kronik," tambah beliau.

Tidak kira apa jenis kopi yang diminum, antioksidas tetap diperolehi sama ada dalam kopi campuran mahupun kopi yang telah dinyahkafein.

Pada majlis yang sama, Dr. Elke Gerhard-Rieben dari Nestle Switzerland turut menerangkan tentang inovasi kopi sebagai minuman yang mudah dan berkhasiat.


Dipetik Dari Utusan Online 5 Julai 2009

AIR TIMUN, AIR LIMAU NIPIS

ALOR GAJAH 6 Julai - Bagi masyarakat negara ini, timun dan limau nipis biasanya hanya dibuat ulam serta perencah sambal belacan.

Namun, kepelbagaian penggunaannya menyebabkan kerajaan negeri bercadang untuk mengkomersialkan timun dan limau nipis sebagai produk minuman rasmi bagi Melaka.

Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd. Ali Rustam berkata, ketika ini Melaka telah mengeluarkan produk misai kucing, mangga Melaka Delite dan buah melaka sebagai minuman rasmi kerajaan negeri.

''Buah kelapa pandan merupakan produk minuman rasmi terbaru yang telah dikomersialkan kira-kira sebulan lalu.

''Kita bercadang menjadikan timun dan limau nipis pula sebagai minuman rasmi terbaru,'' ujarnya selepas merasmikan sambutan Karnival Buah-buahan Tempatan Peringkat Dewan Undangan Negeri (DUN) Taboh Naning di sini semalam.

Beliau berharap lebih ramai penduduk negeri ini menanam pokok buah-buahan yang dipilih oleh kerajaan negeri sebagai minuman rasmi kerana ia mudah ditanam.

''Pokok limau nipis misalnya tidak sukar untuk ditanam kerana ia boleh tumbuh dalam pasu kecil,'' ujarnya.

Dalam pada itu beliau memberitahu, kerajaan negeri sedang berusaha memasarkan produk air rambutan dalam tin yang dikenali sebagai M Rambutan dalam usaha mempelbagaikan produk buah-buahan tempatan untuk tujuan komersial.

Sehubungan itu, Mohd. Ali menasihatkan rakyat negeri ini yang mempunyai dusun rambutan merebut peluang itu dengan membekalkannya kepada agensi berkaitan bagi merancakkan aktiviti pengeluaran produk M Rambutan.

Pada masa sama, beliau mahu Jabatan Pertanian negeri dan Syarikat Pemasaran Melaka menggerakkan promosi bagi memasarkan produk minuman rasmi kerajaan negeri dengan lebih berkesan untuk menarik minat masyarakat.

Ketua Menteri itu turut meminta agensi kerajaan terbabit memantau tanah-tanah terbiar di seluruh negeri bagi digantikan dengan projek penanaman buah-buahan.

''Usaha mempelbagaikan kegiatan pertanian perlu digerakkan secara aktif memandangkan negara kita terpaksa mengimport bahan makanan dengan perbelanjaan yang agak besar pada setiap tahun," katanya

Oleh itu, beliau meminta penduduk khususnya mereka yang berpendapatan rendah agar bijak menggunakan peluang untuk menceburkan diri dalam bidang pertanian kerana ia menjamin pendapatan lumayan.

Dipetik Dari Utusan Online 6 Julai 2009

PUSAT HALAL SEKADAR IMPIAN ?

PETALING JAYA 7 Julai - Malaysia mengimpikan hasratnya untuk menjadi pusat halal dunia. Peliknya, sehingga kini tiada penguatkuasaan yang khusus wujud dalam menentukan sama ada status halal dipenuhi.

Setakat ini, tiada peraturan mandatori yang meminta mana-mana pihak mendapatkan status kerana tindakan itu berupa sukarela lantas timbul persoalan bagaimana impian yang diharapkan dapat dicapai.

Kegagalan memenuhi status halal di hotel-hotel di Malaysia, misalnya merupakan kerugian yang ketara kepada industri makanan tempatan, memandangkan negara ini majoritinya mempunyai rakyat beragama Islam.

Tindakan itu juga tidak ubah seperti menutup peluang potensi menarik para pelancong Islam daripada negara-negara Arab yang sememangnya menjadi tumpuan kerajaan.

Sehingga 30 Jun tahun ini, hanya 170 atau 8.5 peratus daripada kira-kira 2,000 hotel di Malaysia, mendapat persijilan halal bagi urusan operasi dapurnya.

Ini bermakna kebarangkalian para pengunjung beragama Islam menikmati makanan yang diragui status halal di hotel-hotel adalah besar.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Pembangunan Industri Halal (HDC), Datuk Seri Jamil Bidin, setakat ini, tiada sebarang akta yang meminta premis seperti hotel menyediakan makanan dan minuman memiliki sijil halal.

HDC merupakan entiti yang dipertanggungjawabkan untuk memberikan status halal kepada premis selepas segala peraturan dipatuhi.

Beliau mengakui HDC tidak mengenakan syarat wajib kepada pemain-pemain industri serta hotel untuk mendapatkan sijil halal dan setakat ini mereka yang menerima sijil tersebut memohon atas dasar sukarela.

''Sebelum ini terdapat cadangan untuk meminta kerajaan mewajibkan penyedia makanan dan minuman ini untuk mendapatkan sijil halal, tetapi ia masih lagi di peringkat cadangan,'' kata beliau selepas taklimat media mengenai maklumat terkini mengenai pensijilan halal untuk industri hotel di Malaysia, di sini hari ini.

Katanya, sebanyak 15 hotel bagi hotel lima bintang telah menerima sijil halal, 23 bagi hotel empat bintang, 101 untuk hotel tiga bintang, 14 bagi hotel dua bintang dan selebihnya hotel tidak mempunyai bintang.

Sehingga kini, HDC telah menerima 149 permohonan baru untuk sijil halal bagi dapur-dapur hotel dan 29 hotel telah diluluskan.

Jamil bersetuju penerimaan sijil halal merupakan nilai tambah kepada pemiliknya kerana ia memberi jaminan halal dan bersih kepada pelanggan terutama yang beragama Islam dan bukan Islam.

''HDC sedang bekerja lebih dekat dengan pemain industri untuk menjelaskan prosedur bagi mendapatkan pensijilan halal dalam usaha untuk melindungi pengguna.

''Selain itu, HDC juga sedang mempercepatkan proses untuk mendapatkan sijil halal kepada 30 hari berbanding lima hingga enam bulan sebelum ini, tetapi dengan harapan segala dokumentasi serta permohonan adalah lengkap mengikut syarat ditetapkan,'' jelasnya.

Katanya, sebelum ini antara masalah yang melambatkan proses mendapatkan sijil halal adalah permohonan tidak lengkap, penyerahan dokumen lambat, pembayaran lewat, pelanggaran peraturan dan penyusunan semula audit halal.

Jamil berkata, walaupun HDC akan mempercepatkan proses permohonan tetapi mereka tidak akan melonggarkan sebarang syarat yang ditetapkan.

HDC akan terus komited untuk mengekalkan integriti halal pada setiap masa dengan meningkatkan keyakinan pengguna terhadap kualiti, kebersihan dan keselamatan.

Maklumat lanjut mengenai kriteria halal atau senarai restoran atau dapur hotel yang mendapat sijil halal boleh layari laman web www.hdcglobal.com atau menghubungi talian 1 800 88 555.

Dipetik Dari Utusan Online 7 Julai 2009

KILANG PROSES PURI NANAS DI RENGIT

BATU PAHAT 7 Julai - Sebuah kilang memproses puri nanas akan dibina di Rengit bagi meningkatkan pengeluaran produk berasaskan nanas di negeri ini.

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian dan Industri Asas Tani negeri, Abdul Aziz Kaprawi berkata, Lembaga Perindustrian Nanas Malaysia (LPNM) telah diminta menyediakan kertas kerja mengenai cadangan berkenaan, manakala kerajaan negeri akan menyalurkan peruntukan bagi menjayakan projek tersebut.

Menurutnya, Rengit dipilih kerana ia merupakan antara pengeluar terbesar nanas negeri ini selain memiliki ramai pekebun kecil.

"Oleh kerana kerajaan negeri mempunyai peruntukan RM1.5 juta untuk membangunkan industri kampung berasaskan pertanian, maka ia boleh diagihkan untuk membina kilang tersebut," katanya di sini baru-baru ini.

Abdul Aziz berkata, puri nanas berpotensi dijadikan produk baru untuk melonjakkan lagi industri nanas negara serta boleh dieksport berikutan permintaan terhadapnya yang semakin meningkat di pasaran global.

Menurutnya, puri nanas diperlukan untuk menghasilkan pelbagai produk makanan seperti kuih tat dan jem nanas yang digemari di seluruh dunia.

"Peluang ini harus kita rebut kerana secara tidak langsung akan membantu meningkatkan pendapatan pekebun kecil nanas di negara ini," katanya.

Beliau berharap kilang itu akan dikendalikan oleh koperasi bagi pengurusan yang lebih berkesan.

Dipetik Dari Utusan Online 7 Julai 2009

FELDA GEDUNG MAKANAN NEGARA

SEGAMAT 7 Julai – Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, Felda perlu melalui proses pemodenan dalam usaha transformasi pembangunan tanahnya dengan muncul sebagai Gedung Makanan Negara pada masa akan datang.

Perdana Menteri yang menyifatkan Felda kini mula memasuki fasa kedua pembangunannya berkata, impian menjadi Gedung Makanan Negara dapat direalisasikan dengan menanam pelbagai jenis tanaman seperti sayur-sayuran di kawasan lapang secara berskala besar.

Menurutnya, impian itu merupakan salah satu misi dalam konsep Felda moden bukan sahaja bagi menambah pendapatan peneroka dan ahli keluarga tetapi juga mampu mengurangkan import bahan makanan dari luar negara.

“Pada fasa pertama, Felda membuka tanah untuk dijadikan ladang dan bagi fasa kedua pula, Felda perlu membuka minda kepada segala kejayaan yang tidak pernah difikirkan.

“Setiap peneroka memiliki empat hektar tanah dan kawasan yang lapang atau kosong boleh digunakan untuk menanam tanaman bagi mendatangkan pendapatan tambahan kepada mereka,” katanya semasa melancarkan sambutan Hari Peneroka 2009 di Felda Maokil dekat sini hari ini.

Turut hadir isterinya, Datin Seri Rosmah Mansor; Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin; Menteri Besar Johor, Datuk Abdul Ghani Othman dan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein.

Perdana Menteri berkata, Felda yang berusia 53 tahun itu perlu muncul sebagai Gedung Makanan Negara dan bukan lagi setakat menjadi pengeluar minyak sawit terbesar menerusi keluasan tanah 850,000 hektar.

Najib berkata, antara tanaman yang mempunyai nilai tinggi di pasaran pada masa ini ialah cili, terung, pisang berangan dan bunga kantan hingga membolehkan segelintir peneroka meraih pendapatan tambahan mencecah RM2,000 sebulan.

Katanya, para peneroka tidak perlu bimbang untuk menjual hasil tanaman mereka kerana Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) telah bersetuju membelinya mengikut nilai pasaran semasa.

“Felda perlu memiliki impian besar dan terus bergerak jauh ke depan bagi mencapai kejayaan tinggi di peringkat global,” katanya.

Pada sidang akhbar kemudian, Najib memberitahu, Felda telah memperuntukkan RM10 juta untuk membantu peneroka menanam tanaman makanan di kawasan kediaman mereka.

Dalam pada itu, Najib berkata, kerajaan telah membelanjakan sebanyak RM418 juta bagi menaikkan taraf rumah Felda di seluruh negara.

Katanya, sebagai tambahan, sebanyak RM225 juta diperuntukkan bagi tujuan tersebut sementara RM408 juta bagi 15 projek perumahan Felda untuk generasi kedua.

“Saya tidak ingin lagi melihat rumah asal Felda sama ada kayu atau batu dan rumah Felda hari ini mesti lebih baik.

“Perjuangan Felda sebenarnya tidak mempunyai noktah dan jangan sesekali hilang semangat asal walaupun sudah berjaya kerana sifat-sifat seperti setia dan sabar perlu terus dikekalkan,” katanya.

Najib turut mengumumkan berita gembira kepada peneroka Felda Maokil apabila meluluskan peruntukan sebanyak RM1.7 juta bagi pembinaan dewan serba guna dan gelanggang sukan bersepadu.


Dipetik Dari Utusan Online 7 Julai 2009

MALAYSIA ADA KELEBIHAN

KUALA LUMPUR 9 Julai - Malaysia mempunyai banyak kelebihan untuk muncul sebagai salah sebuah negara pengeluar industri makanan terkemuka di peringkat antarabangsa.

Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Noh Omar berkata, kelebihan itu terdapat pada kepelbagaian makanan dan minuman serta mempunyai standard halal yang menepati piawaian antarabangsa.

Sehubungan itu, katanya, pihak kerajaan akan menggiatkan usaha memajukan sektor tersebut supaya lebih banyak produk keluaran negara dapat dipasarkan ke peringkat global khususnya bagi memenuhi pasaran makanan halal.

''Kerajaan akan berusaha ke arah itu. Tambahan pula kita dalam usaha memperluaskan penerimaan standard halal di peringkat antarabangsa yang mana ia boleh memberi kesan kepada pasaran produk kita.

''Pasaran makanan halal ketika ini terlalu besar. Oleh itu Malaysia harus mengambil peluang ini untuk meluaskan pasaran produk makanan halal negara bagi menampung permintaan,'' katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Pameran Perdagangan Makanan dan Minuman Antarabangsa Malaysia (MIFB) 2009 di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini hari ini

Pameran selama tiga hari itu dianjurkan oleh Kumpulan Utusan dan Expomal International Sdn. Bhd. dengan kerjasama Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani.

Turut hadir Pengerusi Jawatankuasa MIFB, Tan Sri Mohamed Hashim Ahmad Makaruddin; Ketua Pengarah Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI), Datuk Dr. Abdul Shukor Abdul Rahman; Pengerusi Marditech Corporation Sdn. Bhd, Datuk Dr. Mohd. Noor Ismail;

Selain mereka turut hadir Timbalan Pengerusi Jawatankuasa MIFB, Mohd. Nasir Ali dan Pengarah Bahagian Korporat Expomal, Wee Teck Kee.

Sementara itu Nasir dalam ucapannya berkata, Kumpulan Utusan berbangga dengan perkembangan MIFB dari setahun ke setahun dan buktinya pada pameran kali ini jumlah penyertaan peserta luar negara meningkat.

Beliau yang juga Pengarah Eksekutif Kumpulan Utusan berkata, MIFB 2009 telah mencatatkan penyertaan dari 28 buah negara antaranya Arab Saudi, China, Thailand, Belgium, Korea Selatan, Armenia, Turki dan Vietnam.

''Kumpulan Utusan sejak sekian lama sentiasa menyokong langkah kerajaan memajukan lagi sektor pertanian dan industri asas tani di negara ini. MIFB adalah salah satu daripadanya.

''Melalui MIFB kita dapat memperkenalkan produk-produk pertanian khususnya keluaran tempatan selain membolehkan kita mengadakan kerjasama dengan syarikat-syrikat luar dalam konteks membina jaringan perniagaan,'' tambahnya.

Pada sidang akhbar kemudiannya Mohd. Nasir menjangkakan pameran tersebut akan mencatatkan jumlah dagangan bernilai lebih RM120 juta.

Dipetik Dari Utusan Online 9 Julai 2009

MARI BELAJAR BUAT ROTI



Tiga kakitangan dari D Flowers Cake menunjukkan sebahagian roti dan kek yang bakal diajar kepada peserta Bengkel Eksklusif Bersama Mega - Daisy Marjerin.

SINGGAH di kedai roti atau bakeri menjadi satu kemestian bagi sesetengah wanita apabila berbelanja di pasar raya. Melihat pelbagai jenis roti, pastri dan ban yang enak-enak mungkin ada yang terdetik di hati, alangkah baiknya kalau dapat membuatnya sendiri untuk disajikan kepada keluarga.

Namun idea tersebut biasanya hilang begitu saja apabila buntu mencari kelas masakan yang sesuai. Mahu sekadar berpandukan buku resipi bimbang pula tidak menjadi.

Justeru bagi yang berhajat untuk membuat ban atau roti sendiri mungkin tidak harus melepaskan peluang ini. Selepas kejayaan beberapa bengkel usahawan tani dan jahitan manik sebelum ini, akhbar Utusan Malaysia melalui sisipan Mega memperkenalkan siri Bengkel Eksklusif Bersama Mega - Daisy Marjerin.

Bengkel dianjurkan dengan kerjasama Daisy, jenama margerin yang cukup sinonim dengan rakyat negara ini dan dikendalikan sepenuhnya oleh tenaga pengajar terlatih dari D Flowers Cake yang diketuai sendiri oleh pengasasnya, Zanifah Md. Nor.

Berpengalaman lebih 10 tahun dalam bidang perniagaan makanan, usahawan wanita ini kerap mengadakan bengkel-bengkel masakan termasuk membuat roti di merata tempat.

Dalam pada itu Bengkel Eksklusif Bersama Mega-Daisy Marjerin mengandungi tiga siri dengan setiap satunya menampilkan subjek yang berbeza.

Siri pertama dan kedua dijadual berlangsung di Dewan Bola Tampat Majlis Bandaraya Shah Alam, Selangor pada 25 dan 26 Julai ini.

Untuk siri pertama atau Bengkel Roti dan Kek membabitkan sesi teori, demonstrasi dan praktikal. Sebanyak tiga jenis roti (ban) dan dua jenis kek akan diajar seperti Mexican Bun, Red Bean Bun, Tuna Cheese Mayu Bun, Kek Coklat Hullahu dan Kek Kukus Kamikaze.

Melalui siri ini peserta akan diajar daripada mengadun roti, mencanai, membakar hingga menghiasnya.

Manakala siri kedua Hias Mini Fondant dijangka lebih menarik khususnya kepada peminat kek-kek fondant. Dalam sesi ini seperti peserta akan dibekalkan lima biji mini kek mentega, doh fondant siap berbancuh, papan kek dan kotak.

Sementara itu, siri ketiga Bengkel Biskut Raya akan diadakan di Kompleks Lam Soon Senai, Johor, pada 8 Ogos ini. Bertepatan dengan menjelangnya Ramadan bengkel kali ini akan mengajak para peserta membuat biskut dan tat raya, resipi eksklusif D Flower Cake. Antaranya Tat Coklat Badam, Cheese Tat Mocha, Tatlet (tat buah-buahan), Biskut Mahatma, Biskut Jacko dan Biskut Collata Bombay.

Yuran berpatutan sebanyak RM 190 bagi bengkel pertama, RM280 (bengkel kedua) dan RM 200 (bengkel ketiga) dikenakan ke atas peserta. Ia meliputi tempat, makanan, bahan-bahan mentah dan sijil.

Potongan harga akan diberi pada mereka yang mendaftar untuk menyertai dua bengkel siri pertama dan kedua.

Selain itu potongan harga juga akan diberi bagi yang datang secara berkumpulan sekurang-kurangnya 10 orang dan mewakili mana-mana jabatan kerajaan dan pertubuhan bukan kerajaan seperti persatuan ibu tunggal dan sebagainya.

Keterangan lanjut boleh menghubungi 019-6647068 (Zanifah) atau 03-92877777 samb. 306/348 (Kak Tim/Zura) atau kunjungi laman web dflowerscake.blogspot.com.

Dipetik Dari Utusan Online 10 Julai 2009

JAKIM JANJI TINGKAT KUALITI, INTEGRITI SIJIL HALAL

BANGI 10 Julai - Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) akan meningkatkan kualiti dan integriti sijil halal selepas tanggungjawab pengeluaran sijil berkenaan diserahkan semula kepada jabatan tersebut.

Ketua Pengarahnya, Datuk Wan Mohammad Sheikh Abdul Aziz berkata, usaha itu menjadi keutamaan Jakim bagi memastikan tahap keyakinan pengguna meningkat.

"Jakim menerima amanah ini sebagai satu tanggungjawab untuk membangunkan pusat halal bersama-sama Perbadanan Pembangunan Industri Halal (HDC).

"Tidak menjadi masalah bagi kami untuk menjalankan amanah ini. Jaminan saya, Jakim akan meningkatkan kualiti dan integriti persijilan kita," katanya.

Beliau mengulas kenyataan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Mohd. Jamil Khir Baharom semalam mengenai keputusan Kabinet yang mengarahkan tanggungjawab pengeluaran sijil halal daripada HDC dikembalikan semula kepada Jakim berkuatkuasa serta merta.

Beliau ditemui sempena majlis penutup Kembara Dakwah di Institut Latihan Islam Malaysia (ILIM) di sini hari ini.

Program dakwah yang bermula sejak 3 Julai lalu itu dirasmikan Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr. Mashitah Ibrahim.

Sempena program itu, graduan Universiti Multimedia (MMU), Mohd. Hamdan Mohd. Shafie, 23, serta graduan Universiti Putra Malaysia (UPM), Nurhazwani Abd. Rani, 23, dipilih sebagai pelatih pendakwah lelaki dan wanita terbaik.

Tambah Wan Mohammad, kualiti persijilan halal yang dikeluarkan oleh pihak berkuasa negara ini sebenarnya mendapat pengiktirafan dan diguna pakai negara-negara Pertubuhan Persidangan Islam (OIC).

Namun, jelasnya, dalam usaha untuk menjadikan Malaysia sebagai pusat industri halal, masih terdapat ruang dalam aspek persijilan yang boleh dipertingkatkan.

Kepada soalan kenapa tiada peraturan mandatori, Wan Mohammad memberitahu, ia adalah satu polisi yang diterima pakai oleh kerajaan dan pihak antarabangsa.

Katanya, kerajaan tidak boleh mewajibkan semua pihak industri makanan memiliki sijil halal.

Bagaimanapun, ujar beliau pihak industri kini menyedari kepentingan persijilan halal bagi membolehkan mereka menerokai pasaran antarabangsa.

Dalam pada itu, Ketua Pegawai Eksekutif HDC, Datuk Seri Jamil Bidin ketika dihubungi memberitahu, pihaknya mengalu-alukan langkah kerajaan menyerahkan semula pengeluaran sijil halal kepada Jakim.

"Penyerahan semula tugas ini kepada Jakim membolehkan HDC menumpu sepenuhnya kepada aspek pembangunan industri halal negara secara menyeluruh.

"Saya percaya Jakim mampu melaksanakan tugas ini dengan baik dan akan meneruskan pembaharuan yang telah dilakukan oleh HDC sebelum ini," katanya.

Dipetik Dari Utusan Online 10 Julai 2009

SUP HARUAN KOLAGEN DIPERKENAL

KUALA LUMPUR 10 Julai - Anda mahu kulit muka yang anjal sepanjang masa?

Apa kata anda menambah menu harian dengan mengambil sup ikan haruan kerana ia dikenal pasti mengandungi kolagen yang sangat berguna untuk tujuan tersebut.

Pengarah Urusan Bio Haruantech (M) Sdn. Bhd., Mohammad Munir Lukman Hakim memberitahu kolagen yang terhasil daripada ekstrak ikan haruan itu jauh lebih baik berbanding kolagen yang diekstrak daripada tulang lembu dan sumber marin lain di pasaran.

Beliau berkata, lebih menarik sup ikan haruan berkolagen itu berjaya dihasilkan tanpa bahan pengawet.

"Selain mampu mengekalkan keanjalan kulit, ia juga membantu memulihkan parut luka dengan lebih cepat selain bagus untuk mereka yang mempunyai masalah gastrik," katanya.

Beliau berkata demikian kepada Utusan Malaysia pada Pameran Perdagangan Makanan dan Minuman Antarabangsa Malaysia (MIFB) Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini hari ini.

MIFB merupakan program kerjasama antara Kumpulan Utusan, Expomal International Sdn. Bhd. (Expomal) dan Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani.

Munir menjelaskan, syarikatnya mengambil khasiat pada cecair lekit (Glycine) ikan haruan sebelum mengekstraknya menjadi kolagen dan dicampur dalam produk sup ikan haruan.

Katanya, Glycine haruan juga sangat mujarab dalam membantu pengeluaran semula molekul protein pada sel kulit manusia sekali gus membantu mempercepatkan proses penyembuhan.

Menurutnya, disebabkan itu, ramai pengguna makan sup tersebut terutama ibu-ibu selepas bersalin dan mereka yang menjalani rawatan pembedahan.

"Lebih menakjubkan kesan penyembuhan boleh dilihat dengan hanya mengambil tiga paket sup segera ini dalam masa tiga hari," katanya.

Katanya, walaupun baru empat bulan di pasaran, sambutan pengguna terhadap produk tersebut sangat memberangsangkan terutama melalui penglibatan syarikat dalam pameran besar seperti MIFB.

Menurut beliau, sup haruan berkolagen itu boleh didapati di semua farmasi dan toko-toko jamu di seluruh negara dengan harga RM16 sekotak.

Dipetik Dari Utusan Online 10 Julai 2009

SNEK RAMBUTAN MELALUI KAEDAH GORENGAN

KUALA LUMPUR 11 Julai - Tentu ramai tidak percaya bahawa selain boleh dimakan begitu saja, rambutan kini dijadikan makanan ringan untuk dinikmati pada bila-bila masa.

Ini terbukti melalui penyelidikan dan pembangunan (R&D) yang dijalankan Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Sik, Kedah dalam menghasilkan snek rambutan melalui kaedah goreng secara vakum menggunakan isi buah tersebut.

Pengurus Besar PPK berkenaan, Mazlan Ahmad berkata, selain masih mengekalkan kandungan nutrien dan rasanya, kaedah itu membolehkan orang ramai menikmati buah- buahan seperti rambutan di luar musim.

''Pelaksanaan kaedah ini juga bagi mengatasi masalah lambakan buah- buahan di Sik yang boleh dilihat apabila tibanya musim buah.

''Bagi mengelak pembaziran, buah- buahan tertentu seperti rambutan dan nangka dieksploitasi melalui kaedah ini untuk dijadikan makanan ringan," katanya.

Beliau berkata demikian kepada Mingguan Malaysia ketika ditemui pada Pameran Perdagangan Makanan dan Minuman Antarabangsa Malaysia (MIFB) di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini hari ini.

MIFB dianjurkan Kumpulan Utusan dengan kerjasama Expomal International Sdn. Bhd. (Expomal) serta Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani.

Menurut Mazlan, hanya rambutan Gred A dari jenis Deli dan Anak Sekolah digunakan bagi menghasilkan makanan ringan ini disebabkan kelebihannya yang tidak mudah lekang selain kurang kandungan air.

Selain rambutan, katanya, pihaknya bercadang mengeksploitasi cempedak dan sayur-sayuran seperti timun, kacang panjang dan lobak merah menggunakan kaedah yang sama bermula tahun depan.

''Sasaran pasaran bagi makanan ringan sayur-sayuran ini tentunya adalah kanak-kanak kerana sebagaimana yang kita tahu golongan ini kurang gemar mengambil sayur-sayuran dalam pemakanan harian.

"Justeru, untuk membantu mengatasi masalah ini, kami akan mengeluarkan snek sayur-sayuran supaya kanak-kanak mahupun golongan dewasa dapat menikmati khasiat yang ada pada timun, kacang panjang dan lobak merah itu," katanya.

Dalam pada itu, menurut beliau, pihaknya bercadang memasarkan makanan ringan buah-buahan ini di sekitar kawasan Lembah Kelang kerana yakin dengan potensi pasaran di situ.

Kata Mazlan, dijual pada harga serendah RM5 hingga RM8 sekotak, produk yang diproses di Bandar Baru Barsi Jaya, Sik ini hanya boleh didapati di semua cawangan PPK di seluruh negara.

Dipetik Dari Utusan Online 11 Julai 2009

ZOO TAIPING LARANG GUNA POLITERIN

IPOH 12 Julai - Zoo Taiping tidak membenarkan rombongan sekolah menggunakan bekas polisterin untuk menyimpan makanan semasa melawat kawasan zoo itu mulai tahun ini.

Pengarahnya, Dr. Kelvin Lazarus berkata, tindakan itu diambil kerana penggunaan bahan tersebut boleh memudaratkan alam sekitar selain memberi kesan negatif kepada kesihatan pengguna.

''Kita tidak akan membenarkan rombongan sekolah membawa bahan makanan dalam polisterin semasa melawat zoo.

''Zoo mahu memastikan kanak-kanak sekolah diberikan pendidikan mengenai alam semula jadi dan tidak menggunakan bahan tersebut di sini," katanya ketika dihubungi di sini baru-baru ini.

Dr. Kelvin berkata, bahan polisterin amat berbahaya kerana ia tidak akan reput dan sekali gus boleh memudaratkan alam semula jadi dalam tempoh yang lama.

Dalam meningkatkan kemudahan kepada pengunjung, beliau berkata, pihaknya dengan kerjasama Kementerian Pelancongan telah melaksanakan projek pemasangan bumbung di kawasan dataran zoo bagi kemudahan pengunjung.

Katanya, projek membabitkan kos sebanyak RM1 juta itu telah siap baru-baru ini bagi membolehkan pengunjung berteduh sewaktu hujan di samping menjalankan aktiviti setempat.

Menurut Dr. Kelvin, sebanyak 730,000 orang telah mengunjungi zoo itu sepanjang tahun lalu dan jumlah itu dijangka meningkat kepada 750,000 orang tahun ini.

Katanya, kadar bayaran masuk ke zoo itu bagi waktu siang ialah RM12 bagi dewasa dan kanak-kanak RM8 manakala bayaran masuk waktu malam ialah dewasa (RM16) dan kanak-kanak (RM10).

Dipetik Dari Utusan Online 12 Julai 2009

KEROPOK LEKOR BALOK ISTIMEWA


Lebih panjang, banyak ikan dan dihasil secara manual

KUANTAN 13 Julai - Sebut sahaja keropok lekor, pasti kita terbayangkan keenakan rasanya yang digoreng atau direbus, lalu dicecah dengan sos atau perencah.

Malah, pasti ada yang akan meneka adakah keropok tersebut datangnya dari negeri yang cukup sinonim dengan 'penyu menangis' iaitu Terengganu Darul Iman.

Sebenarnya, keropok lekor dari Balok, Pahang juga tidak kurang hebatnya terutama dari segi rasa dan kepuasan menikmatinya.

Ini kerana, selain dihasilkan menggunakan ikan tamban segar, keropok Balok juga lebih panjang daripada kebanyakan keropok lekor biasa yang terdapat di pasaran.

Dengan panjang kira-kira 30 sentimeter, keropok Balok dihasilkan secara manual supaya lebih asli dan pasti akan memuaskan hati sesiapa sahaja yang menikmatinya.

Keropok Balok yang dihasilkan oleh Persatuan Isteri-Isteri Nelayan Balok Pantai, di pusat operasinya di jeti nelayan Perkampungan Balok Pantai di sini hanya dijual 50 sen sebatang.

Antara keistimewaan keropok Balok ini ialah pembeli boleh melihat sendiri bagaimana ia dihasilkan, iaitu bermula daripada proses menyiang, mengasingkan tulang, menjadikannya adunan, sehinggalah ia direbus atau digoreng.

Bagi ketua persatuan itu, Hashima Mat Rani atau lebih dikenali sebagai Kak Yam, dalam usaha menjaga kesegaran dan kualiti rasanya, mereka akan memproses keropok tersebut pada setiap hari.

"Setiap hari kira-kira pukul 10 pagi dengan dibantu oleh ahli-ahli persatuan seperti Zaharah Ali, 59, dan Norehan Yahya, 34, kami akan memproses keropok ini.

"Keropok Balok ini menjadi kesukaan penduduk tempatan selain menjadi pilihan para nelayan yang mendarat di jeti ini pada setiap hari," katanya kepada Utusan Malaysia di sini, hari ini.

Menariknya, di gerai persatuan ini, bukan sahaja keropok Balok yang menjadi tarikan masyarakat setempat tetapi pelbagai makanan tradisional masyarakat Pantai Timur turut disajikan

Antaranya, asam gumpal, sambal nyior, bubur kacang, pulut nyior, mi calong dan mi kari.

''Bagaimanapun, dalam banyak-banyak makanan yang disajikan, keropok Balok juga menjadi pilihan sehingga kadang kala permintaannya tidak dapat dipenuhi," jelasnya.

Menurut Kak Yam, bukannya tidak mahu membuat keropok ini dalam kuantiti yang banyak tetapi kadang kala bahan utama iaitu ikan tamban yang segar sukar diperoleh.

"Keropok Balok ini dihasilkan menggunakan ikan tamban yang segar dan bersih. Dalam sekilo ikan, hanya setengah kilo sahaja boleh digunakan setelah diasingkan tulang dan perutnya," ujarnya.

Dalam pada itu, Kak Yam dan rakan-rakannya tanpa berselindung sudi mendedahkan rahsia resipi keropok Balok ini sehingga menjadikannya begitu sedap seolah-olah meratah ikan segar.

"Dalam adunan, kuantiti isi ikan yang digunakan melebihi bahan-bahan yang lain kira-kira tiga perempat. Sementara bahan lain yang digunakan ialah tepung sagu, gula, garam dan sedikit bahan perasa makanan yang dibenarkan," jelasnya.

Tambahnya, petua utama semasa memproses keropok ini ialah memasukkan sedikit ketulan ais untuk menjadikan adunan kenyal dan mudah diproses.

Dalam pada itu, seorang nelayan yang ditemui, Ali Mohamed, 55, berkata, dia dan rakan-rakan tidak sah kalau sehari tidak menikmati keropok Balok.

"Rasanya lain daripada yang lain. Ini mungkin disebabkan rasa ikannya yang lebih terasa dan manis.

"Sukar nak cari keropok yang rasa ikannya lebih banyak daripada tepung tetapi di sini (keropok Balok) mudah diperoleh hasil inisiatif Persatuan Isteri-Isteri Nelayan," ujarnya.

Seorang penduduk, Wan Hasni Bahiyah Wan Hussain, 36, turut sependapat sambil menyifatkan keropok Balok mempunyai keenakan tersendiri berbanding keropok lekor keluaran tempat lain.

"Rasanya memang sedap kerana rasa ikannya lebih banyak berbanding keropok lekor lain.

"Setiap hari saya pasti akan mengunjungi gerai mereka untuk membeli keropok ini kerana anak-anak saya sangat gemarkannya," ujarnya.

Dipetik Dari Utusan Online 13 Julai 2009

SARAH CASANOVA TERAJUI MCDONALD'S MALAYSIA

KUALA LUMPUR 14 Julai - Rangkaian restoran makanan segera terkemuka, McDonald's Corporation (McDonald's) melantik Sarah Casanova sebagai Pengarah Urusan McDonald's Malaysia menggantikan Azmir Jaafar.

McDonald's dalam kenyataannya di sini berkata, Azmir akan menyertai bahagian pembangunan di McDonald's China sebagai Naib Presiden Pembangunan berkuatkuasa September ini.

Casanova yang berasal dari Kanada memulakan kerjayanya di McDonald's Kanada sejak tahun 1991

McDonald's menyediakan peluang latihan, pembelajaran dan pembangunan kerjaya untuk semua kakitangannya di semua peringkat, menurut Presiden McDonald's rantau Asia Pasifik, Timur Tengah dan Afrika (APMEA).

"Kami amat bangga atas kejayaan yang dikecapi oleh setiap pekerja kami di seluruh dunia," katanya dalam kenyataan itu.

Tambahnya, McDonald's menghasilkan pemimpin di dalam dan luar organisasi itu.

"Setiap orang yang memulakan kerjaya mereka di McDonald's akan mempelajari kemahiran hidup seperti semangat kerja berpasukan, nilai kepimpinan, pengurusan masa, fokus dan disiplin.

"Perpindahan Azmir ke China dan pelantikan Casanova membuktikan bahawa McDonald's memberi peluang pembangunan kerjaya kepada kakitangannya di peringkat tempatan dan antarabangsa," ujarnya.

Dipetik Dari Utusan Online 14 Julai 2009

19 MURID KERACUNAN MAKANAN

BANDAR BAHARU 14 Julai - Seramai 19 orang murid di Sekolah Kebangsaan (SK) Sungai Kechil Hilir di sini hari ini terpaksa dikejarkan ke Pusat Kesihatan Serdang selepas mengadu sakit perut dan cirit-birit.

Mereka yang berusia antara 8 dan 12 tahun itu dipercayai mengalami keracunan makanan selepas meminum air berperisa anggur yang dihidangkan pada waktu rehat di kantin sekolah terbabit.

Timbalan Pegawai Pelajaran Daerah Kulim/Bandar Baharu, Harris Abdul Rahim ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan berhubung kejadian itu dan memberitahu, kes tersebut berlaku kira-kira pukul 10.30 pagi.

"Sebahagian daripada murid memakan nasi yang disediakan di kantin terbabit tetapi tidak mengalami masalah.

"Bagaimanapun, seramai 19 murid, masing-masing 16 perempuan dan tiga lelaki meminum minuman berperisa anggur mengadu mengalami simptom keracunan makanan selepas waktu rehat tamat kira-kira pukul 10.30 pagi," katanya.

Beliau berkata, berikutan itu, beberapa guru terpaksa mengejarkan murid berkenaan untuk mendapat rawatan di Pusat Kesihatan Serdang.

Daripada jumlah tersebut, katanya, seramai 15 murid telah dibenarkan pulang selepas keadaan beransur pulih.

Tambahnya, baki empat lagi murid yang kini dalam keadaan lemah dijangka dibenarkan pulang lewat petang ini.

"Pihak sekolah dan Pejabat Pelajaran Daerah telah melaporkan kejadian ini kepada Jabatan Kesihatan untuk melakukan siasatan," katanya.

Harris memberitahu, sepasukan kakitangan Jabatan Kesihatan Daerah Kulim/Bandar Baharu juga telah dikejarkan ke sekolah berkenaan untuk mengambil sampel makanan untuk diuji.

Dipetik Dari Utusan Online 14 Julai 2009

PASARAN ROSELLE SEMAKIN BERKEMBANG

BATU PAHAT 15 Julai - Pasaran buah dan produk berasaskan roselle yang kaya dengan vitamin C terus berkembang ekoran permintaan yang semakin meningkat di kalangan pengguna tempatan dan luar negara.

Pegawai Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) Batu Pahat, Jaini Bukhiran berkata, ini terbukti apabila 100 tan metrik roselle berjaya dipasarkan agensi itu sepanjang tahun lalu.

Menurutnya, daripada jumlah tersebut, sebanyak 50 tan roselle segar dieksport ke Australia, manakala selebihnya untuk pasaran tempatan.

"Sebahagian besar roselle itu dihasilkan oleh FAMA menerusi ladang kontraknya di Mersing," katanya ketika ditemui di sini baru-baru ini.

Beliau berkata, pihaknya juga mendapatkan bekalan roselle daripada beberapa pengusaha lain di Mersing, Kluang, Rompin dan Kota Tinggi.

Jaini berkata, pokok roselle sesuai ditanam di atas tanah berpasir dan akan berbuah apabila berumur tiga bulan serta boleh dipetik tiga bulan kemudian.

"Penjagaan pokok roselle juga tidak begitu rumit seperti pokok lain dan tidak memerlukan ramai tenaga kerja," katanya.

Beliau berkata, selain hiasan makanan, buah roselle turut dipelbagaikan penggunaannya dengan dijadikan kordial, jem dan halwa.

"Rasa halwa roselle masam manis dan boleh dimakan secara kerap," katanya.

Ekoran itu, beliau menggalakkan pemilik tanah menanam pokok roselle bagi membantu mengembangkan lagi pasaran terutamanya untuk pasaran tempatan.

Dipetik Dari Utusan Online 15 Julai 2009

SUSU PERLU SELAMAT


Bakteria berbahaya tumbuh dengan pesat jika suhu susu berada di atas 7 darjah Celsius.

SETIAP pagi Zarina Imran, 35, ibu kepada Zarif Kamal, 11, dan Zahira Kamal, 8, akan memastikan anak-anak kesayangannya meminum segelas susu sebelum pergi ke sekolah.

Menerusi pengetahuannya, Zarina sememangnya yakin susu adalah minuman wajib bagi anak-anaknya yang sedang membesar.

Zarina tahu kebanyakan susu di pasaran tempatan diimport, selain itu adakah susu yang dihidangkan kepada anak-anaknya benar-benar selamat untuk diminum.

Kita juga sebelum ini pernah dikejutkan dengan berita ramai murid-murid sekolah yang dibekalkan dengan susu sekolah mengalami keracunan makanan.

Perkara-perkara seumpama ini yang membimbangkan ibu bapa dan orang ramai.

Bersempena forum kesihatan awam bertajuk Keselamatan dan Jaminan Kualiti Makanan - Membina Kepercayaan dan Meningkatkan Standard yang diadakan di Kuala Lumpur, baru-baru ini, kemusykilan tersebut dijawab.

Salah seorang panel yang terlibat dalam forum tersebut ialah Timbalan Dekan bahagian Pembangunan dan Prasarana di Fakulti Perubatan Universiti Malaya, Profesor Dr. Mustafa Ali Mohd.

Menurutnya, setiap pengguna perlu faham tentang jenis-jenis susu sebelum mengetahui bagaimana cara penyimpanan yang selamat dan menjamin kualitinya.

"Terdapast susu asli yang tidak mempunyai campuran lain dan terdapat juga susu yang telah dicampur pelbagai bahan berkhasiat lain sebagai nilai tambah. Semuanya terpulang kepada pengguna untuk memilih mana yang mereka suka.

"Apa yang penting ialah memastikan susu yang diminum oleh ahli keluarga kita selamat," jelas beliau.

Forum tersebut telah dirasmikan oleh Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Rosnah Abdul Rashid Shirlin dan mendapat sokongan daripada Wyeth Nutrition Malaysia.

Dr. Mustafa juga berkongsi sebab mengapa susu boleh menjadi tidak selamat.

"Pertama sekali kita perlu tahu kenapa susu tidak selamat dan mengapa ia mengandungi bahan tercemar. Antara punca-puncanya ialah kemalangan.

"Contohnya, kawasan penternakan lembu terdedah kepada bahan radioaktif dan lembu meminum air dari kawasan tersebut. Dari situ susu yang dihasilkan sudah mengandungi elemen tidak selamat.

"Kedua, disebabkan kelalaian, ini berlaku apabila tiada penguatkuasaan yang berkesan di sesebuah negara lalu menyebabkan pengendalian susu dibuat dengan lewa.

"Ketiga, apabila penternak lembu melanggar etika. Apa yang dimaksudkan di sini ialah apabila penternak tidak mahu kerugian menyuntik lembu dengan sejenis antibiotik supaya lembu mengeluarkan banyak susu," jelas beliau.

Selain faktor-faktor yang disebut di atas, Dr. Mustafa tidak menafikan susu juga boleh dicemari menerusi kehadiran bahan kimia seperti racun serangga, sisa toksin dan sisa kimia berbahaya lain.

Memang susu ibu amat bagus tetapi ia akan lebih bagus jika si ibu prihatin dengan pemakanan mereka.

"Ada ibu yang menyusukan anak mengambil herba, ubat tradisional yang tidak diketahui dengan jelas bahan di dalamnya, elemen-elemen tersebut akan sampai kepada bayi menerusi susu yang diberi ibunya," kata Dr. Mustafa.

Bercakap tentang susu yang mengandungi melamin, Dr. Mustafa menjelaskan ia memang tidak terjadi di Malaysia namun ia tidak mustahil berlaku.

Menurut beliau, pengguna perlu tahu cara-cara memastikan susu itu selamat dengan beberapa cara seperti:

lPengetahuan tentang suhu. Susu yang dijual di dalam kotak mesti disimpan dalam tempat yang bersuhu 7 darjah Celsius. Dalam peti sejuk, di bahagian kotak simpanan sayur adalah tempat yang paling sesuai untuk menyimpan susu kerana suhunya 7 darjah Celsius atau kurang daripada itu.

lSekiranya susu berada di kawasan lebih 7 darjah Celsius dalam lebih tempoh lebih setengah jam disaran agar buang susu tersebut.

lBakteria berbahaya tumbuh dengan pesat jika suhu susu berada di atas 7 darjah Celsius.

Dr. Mustafa turut mengingatkan bahawa rakyat Malaysia bertuah kerana mempunyai empat pusat pemantauan susu yang diimport.

"Sejak kes melamin dalam susu formula kanak-kanak di China gempar suatu ketika dulu, kerajaan tidak sewenangnya melepaskan produk dengan mudah.

"Kesemua susu yang diimport diperiksa dengan prosedur ketat sebelum kementerian membenarkannya masuk ke dalam pasaran," kata beliau.

Dipetik dari Utusan Online 16 Julai 2009

HALAL : PESERTA BUMIPUTERA MASIH KECIL


NILAI 16 Julai - Penglibatan bumiputera dalam industri halal negara masih rendah meskipun Malaysia dikenali sebagai pusat halal terkemuka dunia.

Naib Presiden Dewan Perniagaan Islam Malaysia (DPIM), Tan Sri Muhammad Ali Hashim berkata, industri itu kini masih dipelopori oleh bukan bumiputera selain syarikat-syarikat asing.

"Lebih 80 peratus produk halal yang digunakan oleh umat Islam masih dibekalkan oleh bukan bumiputera dan syarikat-syarikat asing.

"Kita perlu fikirkan strategi untuk syarikat-syarikat milik umat Islam di negara ini berperanan menjadi pembekal produk halal. Namun, saya lihat sudah ada minat tinggi syarikat bumiputera dalam industri ini," katanya.

Beliau berkata demikian selepas membentangkan kertas kerja pada Seminar Makanan Halal (HaFoS'09) di Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) dekat sini hari ini.

Muhammad Ali yang juga Pengerusi QSR Brand Bhd. turut mencadangkan perlunya kerjasama pintar antara pihak berwajib dalam memastikan sijil pengeluaran produk dan perkhidmatan halal dapat diselaraskan.

Dipetik Dari Utusan Online

TRACEABILITY






ARE FOOD PLANT AUDITS OVERRATED ?

Monday, June 1, 2009

Motivasi KIMAR~Pendapatan Dutch Lady RM711j

PETALING JAYA 27 Mei - Dutch Lady Milk Industries Bhd., pengeluar produk berasaskan tenusu terbesar negara mencatatkan pendapatan berjumlah RM711.5 juta untuk tahun kewangan berakhir 31 Disember 2008, naik 18 peratus daripada RM604.7 juta tahun sebelumnya.

Keuntungan sebelum cukainya, bagaimanapun merosot kepada RM57.8 juta berbanding RM64.7 juta pada tahun 2007.

Pengarah Urusan Dutch Lady, Hans Laarakker berkata, peningkatan kos bahan mentah utama seperti susu tepung tanpa lemak dan minyak sawit telah mengurangkan keuntungan syarikat tenusu tersebut.

"Bagaimanapun bagi mengatasi masalah kenaikan harga bahan mentah itu, kami melaksanakan pelbagai kaedah dengan pengenalan produk- produk baru yang lebih menarik dan berinovasi serta pelbagai inisiatif lain yang menjimatkan kos," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Mesyuarat Agung Tahunan Dutch Lady di sini hari ini.

Menurut Laarakker, pasaran tenusu tempatan pada tahun lalu juga tidak memberangsangkan di mana ia disifatkan sebagai 'tepu' oleh pemain-pemain industri.

Secara umum jelasnya, pasaran tenusu tempatan tidak berkembang walaupun nilai pasarannya RM4 bilion setahun.

Bagaimanapun pengeluar produk tenusu tersebut masih meneraju pasaran dalam tiga kategori susu utama - susu UHT menikmati 58 peratus penguasaan pasaran, susu steril menguasai 65 peratus pasaran dan susu untuk pembesaran 31 peratus.

"Secara umumnya, Dutch Lady menguasai 20 peratus dari nilai keseluruhan pasaran menerusi pelbagai produk di pasaran," katanya.

Dutch Lady turut melihat kelemahan mata wang Ringgit menjadi penyumbang kepada penurunan penjualan produknya di mana pengguna dilihat cuba menyerap kemungkinan kenaikan harga barang makanan.

Laarakker berkata, bagi menggalakkan penjualan produknya di pasaran, Dutch Lady menyahut seruan kerajaan dengan mengadakan Kempen Penurunan Harga bagi menyokong keperluan pengguna ketika berdepan dengan krisis ekonomi ketika ini.

Dalam pada itu, Dutch Lady juga turut mengumumkan peletakan jawatan pengerusinya Tan Sri Kamarul Ariffin yang mengambil keputusan untuk bersara selepas memegang jawatan tersebut sejak 33 tahun lalu.

Beliau akan digantikan oleh Datuk Zainal Abidin Puteh yang merupakan seorang bekas rakan kongsi terkenal di beberapa firma perakaunan utama.

Dipetik Dari Utusan Online 28 Mei 2009

Test Bed Bantu Usahawan

KOTA KINABALU 28 Mei - Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) negeri Sabah hari ini melancarkan perkhidmatan sokongan terbaru bagi membantu usahawan industri kecil dan sederhana memulakan perniagaan dalam bidang masing-masing.

Perkhidmatan sokongan dikenali sebagai Test Bed itu membolehkan usahawan dilatih di dalam sebuah makmal yang dilengkapi mesin, peralatan dan kemudahan pengeluaran berskala kecil bagi jenis produk makanan terpilih.

Majlis pelancaran perkhidmatan sokongan tersebut disempurnakan oleh Timbalan Ketua Menteri, Datuk Yahya Hussin.

Pengarah Pusat Promosi dan Pembangunan Teknologi MARDI, Datuk Dr. Masri Muhamad berkata, di bawah program Test Bed itu, usahawan akan dilatih secara terus dalam aspek pembangunan produk, sistem pengeluaran, susun atur kilang dan teknologi pemprosesan.

''Selain itu soal kebersihan dan sanitasi serta peningkatan kualiti produk dan kapasiti pengeluaran juga akan ditunjukkan sepanjang tempoh latihan," katanya di sini.

Beliau menambah, melalui Test Bed, usahawan berpeluang menggunakan mesin dan kemudahan pengeluaran lain sehingga dapat menghasilkan produk yang telah dikenal pasti, sebelum diteruskan dengan melakukan ujian pasaran.

Katanya, keputusan ujian pasaran itu akan membantu usahawan membuat keputusan sama ada hendak meneruskan pelaburan dalam pengilangan produk tersebut ataupun sebaliknya.

Menurut beliau lagi, di peringkat awal kemudahan Test Bed di sini hanya untuk pengeluaran produk berasaskan ikan seperti surimi dan keropok.

Dipetik dari Utusan Online 29 Mei 2009

p/s-Kalau Kat Mara NI Macam Konsep INTEM Kepong la ni...Berpeluh saya mengerah otak untuk mengeluarkan idea INTEM Kepong...akhirnya dah siap pun.

Probiotik Bantu Cegah Penyakit

PROBIOTIK merupakan bakteria yang bertindak membantu mengekalkan kesihatan dan ia bukan saja membantu fungsi pencernaan malah mengurangkan kehadiran organisma berbahaya.

Penggunaan probiotik terbukti mampu mencegah atau merawat. Menurut definisi yang diguna pakai oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), probiotik adalah mikro-organisme hidup yang apabila digunakan dalam jumlah mencukupi akan memberi manfaat kesihatan kepada mereka yang menggunakannya.

Kultur bakteria probiotik seperti lactobacillus dan bifidobacterium merupakan dua jenis bakteria baik atau bakteria bermanfaat yang paling dikenali. Kedua-duanya digunakan untuk membantu memantapkan semula flora perut yang dihasilkan secara semula jadi oleh badan.

Penyelidikan mendapati bahawa probiotik juga boleh membantu menguatkan sistem imun badan untuk melawan alahan, pengambilan alkohol berlebihan, tekanan, pendedahan kepada bahan toksik dan penyakit lain.

Probiotik yang berasal daripada perkataan Greek bermaksud 'untuk kehidupan' sudah pun digunakan sejak berabad-abad lamanya sebagai komponen semula jadi dalam makanan berteraskan kesihatan.

Istilah 'probiotik' mula diperkenalkan pada 1965 oleh Lily dan Stillwell apabila ia diperjelaskan sebagai faktor penggalak pertumbuhan yang dihasilkan oleh mikro organisma. Berbeza dengan antibiotik, probiotik didefinisikan sebagai faktor terbitan mikrob yang merangsang pertumbuhan mikro organisma lain.

Secara umumnya, probiotik melekat pada dinding dan menghuni saluran gastrousus. Ia dapat memperbaiki masalah usus seperti kembung, flatulen, cirit-birit dan sembelit yang disebabkan mikroflora usus yang tidak seimbang dengan mengeluarkan anti infektif protein untuk melawan patogen.

Pakar kesihatan juga turut mencadangkan pesakit yang mengambil rawatan antibiotik supaya menambahkan probiotik ke dalam pemakanan mereka. Ini kerana antibiotik menghapuskan semua bakteria, termasuk bakteria yang bermanfaat.

Ini membenarkan bakteria berbahaya dapat membiak secara berlebihan dan membawa kepada masalah gastrousus. Dos probiotik yang sihat dapat menjauhkan patogen berbahaya dan memperbaiki keseimbangan mikroflora usus.

Kehadiran bakteria bermanfaat memastikan toksik dikeluarkan daripada usus dan tidak diserap ke dalam salur darah. Selain itu, probiotik juga berupaya menghalang atau mengawal pertumbuhan patogen usus seperti salmonella, staphylococcus dan Candida albicans. Ianya penting kerana pertumbuhan patogen usus boleh menyebabkan alergi, kembung perut, cirit-birit dan gastritis.

Ada kajian yang menyokong pengambilan probiotik memandangkan ia mungkin membantu mengelak kejadian seperti masalah keradangan usus di kalangan orang dewasa, manakala kanak-kanak juga tidak terlepas daripada mengalami masalah gangguan penghadaman seperti intoleransi laktosa, sembelit, cirit-birit dan juga kembung perut.

Dalam pada itu, pengambilan probiotik untuk kanak-kanak didapati memberi manfaat kepada kanak-kanak yang tidak diberikan susu ibu, mempunyai imun sistem yang lemah, kurang selera makan dan sering mendapat alahan termasuk mengurangkan risiko kejadian ekzema.

Bagaimanapun, harus diingat bahawa setiap pemilihan probiotik harus berdasarkan beberapa kriteria untuk memaksimumkan manfaatnya. Begitu juga pemilihan strain yang tepat dan betul. Pakar bersetuju bahawa keputusan kajian bagi sesuatu strain tidak boleh dianggap sama dengan strain yang lain walaupun daripada spesis sama.

Kini, probiotik digunakan oleh berjuta-juta orang di seluruh dunia kerana ia boleh membantu pencernaan yang sihat dan meningkatkan kesejahteraan hidup.

Sesuai dengan peredaran masa, peranan probiotik juga diperluaskan. Bukan sekadar mengekalkan kesihatan malah digunakan dalam aplikasi yang menjurus kepada pelbagai keperluan kesihatan pencegahan. Kini, probiotik yang disahkan secara klinikal menemui aplikasi inovatif dalam makanan tambahan pemakanan, makanan berfungsi dan produk makanan utama.

Lactobacillus reuteri (atau L.reuteri) adalah salah satu jenis probiotik yang biasa ditemui pada tubuh dan ia memberi manfaat dan selamat untuk kanak-kanak. Kajian menunjukkan, bahawa kanak-kanak yang diberi susu formula tambahan bersama L.reuteri dilaporkan mengalami demam dan cirit-birit yang lebih singkat.

Menurut Dr. Andreas Aly, probiotik dapat melindungi si kecil dan mengelakkan sakit daripada berulang serta menguatkan imuniti.

"Sistem pertahanan badan yang lemah akan menyebabkan anak-anak mudah jatuh sakit. Senario begini yang kerap bukan sahaja merisaukan ibu bapa tetapi mungkin menjejaskan tumbesaran dan prestasi kognitif mereka.

Pendedahan kajian klinikal dan penyelidikan mendapati salah satu kunci ke arah kesihatan optima mungkin berada dalam usus iaitu bakteria bermanfaat dalam saluran penghadaman.

Flora usus yang seimbang bukan sahaja memperbaiki kesihatan penghadaman tetapi juga mempengaruhi interaksi usus dengan imun sistem, dengan itu mengurangkan jangkitan dan ini menunjukkan keperluan penggunaan probiotik," katanya ketika taklimat media Bio Life di BiO-LiFE Marketing Sdn Bhd, Blok N-41, Jalan PJU 1A/1.

Taipan Damansara 2, Ara Damansara, Petaling Jaya, Selangor. Dr. Andreas menjelaskan, bukti menunjukkan Lactobacillus reuteri protectis sebagai probiotik yang berpotensi besar untuk kesihatan imun.

"Probiotik ini membantu merangsang pertumbuhan pertumbuhan bakteria baik dalam saluran usus, mengembalikan flora usus yang sihat. Setiap strain probiotik adalah unik dan ianya dapat bertahan dalam hempedu dan asid gastrik serta mengkoloni saluran gastrousus. Ia mampu menghasilkan bahan anti mikrobial, reuterin dan asid organik yang mewujudkan persekitaran yang merencatkan pertumbuhan bakteria berbahaya," jelasnya.

Dalam pada itu, pengambilan probiotik ini mengesahkan terdapatnya pengklonian bakteria ini dalam perut, deodenum dan ileum.

Kajian juga mendapati peningkatan signifikan dalam sel emun selepas pengambilannya membawa perlindungan dan kurang jatuh sakit. Ia didapati berkesan sebagai agen terapeutik untuk rawatan cirit-birit dan kolik di kalangan kanak-kanak.

L.reuteri adalah salah satu jenis probiotik yang biasa ditemui pada tubuh dan ia memberi manfaat dan selamat untuk kanak-kanak. Kajian menunjukkan, bahawa kanak-kanak yang diberi susu formula tambahan bersama L.reuteri dilaporkan mengalami demam dan cirit-birit yang lebih singkat.

Probiotik juga dikenali sebagai serat diet. Ia membantu merangsang tumbesaran kebaikan microflora dalam usus dan pertumbuhan bakteria yang memberi manfaat.

Namun, probiotik bukanlah penyelesaian untuk mencegah atau menyembuhkan penyakit tetapi iak menampilkan barisan pertahanan hadapan yang cepat dan mudah di samping diet yang sihat.

Untuk maklumat lanjut mengenai probiotik dan manfaatnya, sila telefon Bio-Life Customer Health Advisory di talian 03-7843 6981 (Isnin hingga Jumaat) atau e-mel health@biolife.com.my.

Dipetik dari Utusan Online 31 Mei 2009

JPN Kelantan Lancar Operasi Pantau Kantin Sekolah

KOTA BHARU 30 Mei - Jabatan Pelajaran Negeri (JPN) telah melancarkan operasi gerak gempur ke kantin dan dewan makan sekolah di seluruh negeri ini sebagai langkah membanteras berulangnya kes keracunan makanan.

Ketua Penolong Pengarah Unit Hal Ehwal Pelajar Sektor Pengurusan Pembangunan Kemanusiaan JPN, Siti Meriam Mohamed berkata, langkah tersebut dilakukan kerana Kelantan antara negeri yang mencatat kes tertinggi.

''Tahun lepas sebanyak 33 kes keracunan dicatatkan sepanjang tahun di negeri ini dan ia antara yang tertinggi selepas Sabah.

''Selepas berlaku banyak kes, JPN dengan kerjasama Jabatan Kesihatan Negeri tidak akan teragak-agak mengambil tindakan tegas terhadap pengusahanya termasuk menyita kantin sebelum kes keracunan berlaku," ujarnya kepada Mingguan Malaysia di sini hari ini.

Tambahnya, sebelum ini tindakan menyita kantin diambil selepas sesuatu kes terjadi, tetapi dalam operasi gerak gempur tersebut, kantin yang didapati kotor akan terus diberi amaran.

''Sejak operasi tersebut dilakukan dalam tempoh lima bulan pertama tahun ini, sebanyak 13 kes dikesan dan JPN kini berusaha mengurangkan jumlah tersebut daripada tahun sebelumnya.

''Semua pegawai yang terlibat akan memantau sebanyak 540 buah sekolah rendah dan menengah di negeri ini dengan mengadakan lawatan mengejut ke kantin-kantin termasuk pengarah JPN dan timbalannya bersetuju untuk turun padang," ujarnya.

Peranti Kesan Halal Dibangun

INTEL Technology Sdn Bhd (Intel) menjalin kerjasama dengan TraceTracker Malaysia Sdn Bhd yang juga anak syarikat TraceTracker Innovation ASA untuk membangunkan peranti mudah alih murah yang boleh mengesan makanan halal.

Ia bakal mendatangkan kebaikan kepada industri Halal di negara ini sejajar dengan hala tujunya menjadi Hab Halal Sedunia dan meyakinkan lebih 1.8 bilion pengguna halal di seluruh dunia.

Pengarah Urusan Intel, Athul Bhargava, berkata pesatnya pasaran halal telah meyakinkan pihaknya betapa pentingnya mewujudkan peranti yang boleh mengesan makanan Halal bagi kegunaan petani, pembekal, pemproses, peruncit dan pengguna keseluruhannya.

"Mereka boleh memindah turun atau naik data-data yang akan dipadankan dengan standard Halal dan kebolehkesanan global."

"Intel akan menyediakan reka bentuk rujukan berasaskan arkitektur Intel yang akan membolehan pengguna untuk berhubung tanpa wayar secara masa nyata ke dalam GTNet(R) dan rumusan kebolehkesanan berasaskan web untuk tujuan mengesan pergerakan produk makanan halal di keseluruhan rantaian pembekalnya," katanya.

TraceTracker akan bertindak sebagai penyedia aplikasi perisian yang akan dipasang ke dalam peranti itu. Ia serasi dengan GTNet(R) untuk kebolehkesanan halal dan menepati standard kebolehkesanan global.

50,000 Sijil Halal Palsu



KUALA LUMPUR: Berhati-hati apabila menjamu selera di restoran milik pengusaha bukan Islam berikutan siasatan pihak berkuasa mendapati ada antara sijil halal yang tertera pada premis perniagaan berkenaan palsu dan dibeli daripada pihak tertentu pada harga mencecah RM5,000 sekeping semata-mata untuk menarik kedatangan orang Islam menjamu selera di premis mereka.

Difahamkan, penyebaran sijil akuan halal itu mendapat permintaan tinggi di kalangan pengusaha restoran milik bukan Islam bermasalah berikutan pemilik tidak perlu mematuhi syarat dan prosedur pensijilan halal yang ditetapkan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) sebelum ini.

Berdasarkan siasatan, sijil akuan halal yang tidak diiktiraf Jakim itu kini dimiliki hampir 50,000 premis makanan terutama pengusaha restoran bukan Islam di seluruh negara.

Jurucakap Halal Industry Development Corporation (HDC) berkata, pemantauan dan siasatan dilakukan di beberapa premis makanan mendapati sijil halal tidak sah berkenaan diedarkan individu tertentu yang menjualnya untuk mendapatkan keuntungan lumayan.


Menurutnya, sijil halal tidak sah laku itu jauh berbeza dengan sijil halal Jakim yang kini dikeluarkan HDC berikutan ia tidak dipantau atau dikawal selia mengikut garis panduan sepatutnya.

“Pihak yang mengedarkan sijil berkenaan hanya memikirkan keuntungan apabila menjual sijil halal itu tanpa memikirkan sama ada pemilik restoran mematuhi syarat piawaian pensijilan yang harus dipatuhi.

“Sebagai contoh, premis makanan yang memiliki sijil halal seharusnya mendapatkan bekalan bahan mentah seperti ayam dan daging daripada syarikat pembekal yang turut memperoleh sijil halal sah dari rumah sembelihan diiktiraf Jakim atau HDC. Selain itu, pihak premis makanan perlu memastikan tiada bahan masakan yang diragui digunakan selain memastikan aspek kebersihan dijaga,” katanya.

Malangnya, pihak yang mengeluarkan sijil halal sama seperti sijil Jakim atau HDC ini lepas tangan dan tidak pernah melakukan pemantauan berkala.

“Akibatnya ada restoran atau premis makanan ini yang memiliki sijil halal palsu menggunakan bahan masakan diragui halal serta pekerja bukan Islam untuk melakukan tugas memasak selain mengabaikan aspek kebersihan,” katanya.

Jurucakap itu berkata, kelulusan memperoleh sijil halal HDC proses penuh teliti berikutan pemeriksaan mengikut prosedur akan dilakukan auditor syariah dan auditor teknikal (teknologi makanan) bagi memastikan premis terbabit benar-benar layak memiliki sijil halal berkenaan.

HDC Gempur Kopitiam



SHAH ALAM: Menyedari kemunculan pelbagai sijil halal aneh dan tiruan, sepasukan Pegawai Penguat Kuasa Halal Industry Development Corporation (HDC) bertindak menggempur beberapa premis termasuk restoran kopitiam milik pengusaha bukan Islam yang disyaki menggunakan sijil halal meragukan.

Dalam operasi bermula jam 11 pagi semalam, sepasukan lima penguat kuasa HDC dibantu tujuh pegawai Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) bertindak menjalankan pemeriksaan di beberapa kopitiam di Cyberjaya yang dikesan mendapatkan sijil halal daripada individu tidak dikenali.

Sumber KPDNHEP berkata, hasil pemeriksaan dilakukan, pihaknya menemui sijil halal didakwa dibeli pengusaha restoran berkenaan pada harga RM60,000 daripada pihak tertentu.

Menurutnya, sijil akuan halal berkenaan yang menyerupai sijil halal Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) didakwa digunakan pengusaha restoran terbabit di beberapa cawangan restoran miliknya di Lembah Klang sebagai modal untuk meyakinkan pengguna Islam mengunjungi restorannya walaupun menyedari ia milik bukan Islam.

“Apa yang jelas, pemilik restoran berkenaan seolah-olah terdesak untuk mendapatkan sijil halal hingga sanggup membayar wang sebanyak itu. Mereka mungkin menyedari kesukaran untuk mematuhi syarat pensijilan halal Jakim yang dikeluarkan pihak HDC menyebabkan mereka mencari alternatif lain.

“Pegawai HDC dan KPDNHEP yang menjalankan siasatan susulan turut ragu terhadap makanan disajikan berikutan pemilik gagal menunjukkan sijil halal Jakim milik syarikat yang membekalkan bahan mentah ayam dan daging,” katanya.

Menurutnya, pegawai HDC yang melakukan pemeriksaan di bahagian dapur penyediaan turut menemui bahan untuk membuat air minuman yang diimport dari luar negara.

“Cecair pekat itu yang tidak mempunyai perakuan halal dari negara pengeluar kemudian diambil pegawai HDC untuk diuji sama ada ia mengandungi alkohol atau bahan tidak halal,” katanya.

Menurutnya, tindakan pemeriksaan sama turut dilakukan di sebuah premis makanan di Shah Alam, kira-kira jam 2 petang semalam, selepas pihak HDC mendapat maklumat premis terbabit turut tidak memiliki sijil halal Jakim.

“Hasil pemeriksaan mendapati, premis berkenaan turut tidak pernah memohon sijil halal dari Jakim atau HDC sebelum ini walaupun ramai pengunjungnya adalah pengguna Islam,” katanya.

Difahamkan, operasi pegawai penguat kuasa HDC itu adalah sebahagian daripada operasi dan pemeriksaan di seluruh negara bagi mengesan penyalahgunaan atau pemalsuan sijil halal Jakim.

“Pemeriksaan itu bertujuan memberi kesedaran kepada pemilik premis restoran dan syarikat pengilang makanan supaya mendapatkan sijil halal sah dari Jakim dan pihak HDC sahaja yang diiktiraf.

“Sijil akuan halal selain Jakim adalah diragui berikutan diberi secara bebas kepada peniaga tanpa kawalan selain tidak mematuhi syarat prosedur halal ditetapkan,” katanya.

Menurutnya, dalam operasi sama semalam, pegawai HDC turut menjalankan pemeriksaan terhadap sebuah syarikat di Shah Alam didapati menggunakan sijil halal palsu bagi produk makanan keluarannya.

“Hasil pemeriksaan dilakukan, pegawai HDC mendapati, sijil halal Jakim dimiliki syarikat lelaki Timur Tengah itu dipalsukan pihak tertentu sejak sekian lama,” katanya.

Dipetik dari MyMetro Online

Produk Makanan IKS Dapat Sambutan

SIK: Produk makanan yang dihasilkan oleh peserta industri kecil dan sederhana (IKS) melalui inisiatif Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani di daerah ini sejak dua tahun lalu semakin mendapat sambutan di pasaran.

Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Mohd Johari Baharum, berkata sejak dilancarkan pada 2007, produk hiliran yang dihasilkan oleh usahawan tani di sini semakin menempa nama.

Katanya, ada 40 usahawan IKS menyertai projek berkenaan yang mana mereka menghasilkan pelbagai jenis makanan, termasuk serunding, bebola ikan, bebola ayam, bebola daging dan nuget selain penternakan ikan hiasan, puyuh, lembu dan kambing.

"Produk mereka sudah dapat menembusi pasaran di luar Kedah dan ia membuktikan sektor itu berpotensi jika diusahakan secara tersusun.

"Kementerian memantau rapi projek ini bagi memastikan ia terus berjalan dan dapat dikembangkan.

"Kerajaan akan memberi bantuan sewajarnya, termasuk bimbingan dan khidmat nasihat supaya mutu produk dapat ditingkatkan dan terus meneroka pasaran lebih luas," katanya selepas mengadakan lawatan di sini, kelmarin.

Dalam lawatan itu, Mohd Johari turut dibawa melawat pusat pengeluaran serunding di Perumahan Beris Jaya dan pusat ternakan ikan hiasan Bendang Man.

Hadir sama, Ketua Setiausaha Kementerian Pertanian, Datuk Mohd Mokhtar Ismail.

Mohd Johari berkata, usahawan di situ yang menghadapi masalah akan diberikan bimbingan supaya mereka dapat terus berdikari.

Katanya, kementerian itu juga akan membantu usahawan Bumiputera terbabit mendapatkan sijil halal supaya produk mereka dapat dipasarkan lebih meluas.

"Produk mereka sudah dapat menembusi pasaran di luar Kedah dan ia membuktikan sektor itu berpotensi jika diusahakan secara tersusun.

"Kementerian memantau rapi projek ini bagi memastikan ia terus berjalan dan dapat dikembangkan.

"Kerajaan akan memberi bantuan sewajarnya, termasuk bimbingan dan khidmat nasihat supaya mutu produk dapat ditingkatkan dan terus meneroka pasaran lebih luas," katanya selepas mengadakan lawatan di sini, kelmarin.

Dalam lawatan itu, Mohd Johari turut dibawa melawat pusat pengeluaran serunding di Perumahan Beris Jaya dan pusat ternakan ikan hiasan Bendang Man.

Hadir sama, Ketua Setiausaha Kementerian Pertanian, Datuk Mohd Mokhtar Ismail.

Mohd Johari berkata, usahawan di situ yang menghadapi masalah akan diberikan bimbingan supaya mereka dapat terus berdikari.

Katanya, kementerian itu juga akan membantu usahawan Bumiputera terbabit mendapatkan sijil halal supaya produk mereka dapat dipasarkan lebih meluas.

24 Premis Makanan Kotor Diarah Tutup

SEREMBAN: Sebanyak 24 premis makanan di kawasan peranginan Port Dickson diarah tutup oleh Jabatan Kesihatan Negeri Sembilan (JKNS) selepas pemeriksaan pada Isnin lalu mendapati tahap kebersihan yang rendah.

Pengarah JKNS, Dr Zainal Ariffin Omar, berkata premis terbabit diarahkan tutup sementara selama 14 hari dan pemiliknya dikehendaki meningkatkan kebersihan mengikut Seksyen 11 Akta Makanan 1983.

"Kualiti makanan yang rendah, pengendali makanan tidak mendapatkan suntikan pencegahan penyakit tifoid dan tidak memakai apron serta penutup kepala adalah antara kesalahan.

"Peralatan dan perkakas yang digunakan juga tidak bersih dan rosak, fizikal bangunan seperti lantai, dinding dan siling tidak memuaskan dan kotor serta tempat pembuangan sampah tidak teratur," katanya.

Dr Zainal berkata, pemeriksaan adalah antara aktiviti bagi memastikan pengusaha mematuhi Akta Makanan 1983 dan Peraturan-Peraturan Makanan 1985.

"Tindakan ini bukan bertujuan menyusahkan peniaga, sebaliknya mereka boleh membuka semula perniagaan selepas kita berpuas hati dengan langkah meningkatkan tahap kebersihan dalam tempoh 14 hari," katanya.

Beliau berkata, selain menguatkuasakan undang-undang kesihatan awam demi kepentingan kesihatan masyarakat, JKNS memberi penerangan mengenai kebersihan premis makanan bagi mencegah penyakit bawaan makanan.

Dipetik Dari Berita Harian Online

Cadangan agensi keselamatan makanan ke Kabinet

KUALA LUMPUR: Kementerian Kesihatan akan mengemukakan memorandum kepada Kabinet tidak lama lagi mengenai cadangan untuk mewujudkan sebuah agensi keselamatan makanan negara selewat-lewatnya menjelang hujung tahun ini.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Liow Tiong Lai, berkata kewujudan agensi itu perlu disegerakan untuk mempertingkatkan unit keselamatan makanan negara terutamanya bagi makanan yang diimport.

"Agensi ini akan mempunyai lebih ramai kakitangan dan mempunyai bidang kuasa lebih besar untuk memantau kualiti makanan. Saya amat mengambil berat soal keselamatan makanan terutamanya dari luar negara," katanya di sini, hari ini.

Bercakap kepada pemberita selepas merasmikan mesyuarat agung Persatuan Pemborong Sayur Kuala Lumpur, Liow berkata kini pemantauan terhadap makanan dari luar negara dibuat melalui Sistem Maklumat Keselamatan Makanan (FoSIM).

"Melalui sistem FoSIM kita hanya berpandukan kepada apa yang dilapor oleh pengimport, membuat pemeriksaan rambang, ambil sampel dan hantar ke makmal manakala untuk makanan dalam negara, kilang-kilang makanan mempunyai sistem pemeriksaan tersendiri," katanya.

Mengenai perjumpaannya dengan Persatuan Pemborong Sayur Kuala Lumpur, Liow berkata Sistem Pengesanan Makanan akan dilaksanakan segera bagi memastikan sayur-sayuran itu diketahui sumbernya.

"Kita hendak tahu sayur itu datang dari ladang mana untuk memastikan sama ada kandungan racun serangganya (kandungan) tinggi atau sebaliknya dan mengambil tindakan (menyaman) terhadap tuan punya ladang dan bukan bertindak terhadap penjaja," katanya.

Dalam perkembangan lain, beliau berkata arahan kuarantin di rumah terhadap tujuh orang kerana disyaki mempunyai tanda-tanda menghidapi influenza A (H1N1) ditarik balik hari ini setelah mereka didapati tidak mempunyai simptom yang membimbangkan.

CAP dedah penggunaan asid borik berleluasa


S.M. Mohamed Idris menunjukkan mi kuning dan beberapa jenis makanan harian mengandungi asid borik pada sidang akhbar di Pulau Pinang, semalam.


PULAU PINANG 27 Mei - Sudah lebih 25 tahun pendedahan penggunaan asid borik dalam makanan dibuat oleh Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) namun persatuan itu mendakwa tiada tindakan diambil oleh Kementerian Kesihatan berhubung perkara itu hingga kini.

Presidennya, S.M. Mohamed Idris yang nyata kecewa dengan keadaan tersebut, hari ini sekali lagi menggesa kementerian terbabit supaya mengambil perhatian sekali gus bertindak lebih proaktif.

Katanya, kajian terbaru yang dilakukan pihaknya mendapati, asid borik masih terdapat dalam pelbagai makanan yang dibeli di pasar basah seperti ladu cina, mi kuning dan kuih nyonya.

''Satu sampel ladu cina didapati mengandungi 569 bahagian per sejuta (ppm) asid borik, mi kuning antara 6.51 hingga 296 ppm manakala kuih nyonya pula terdapat 0.78 hingga 13.5 ppm asid borik.

''Pembuat ladu cina menggunakan asid borik bagi mencegah beras pulut melekat pada daun buluh yang dijadikan pembungkus manakala pembuat mi dan kuih pula menjadikannya sebagai bahan pengawet.

''Asid borik adalah bahan yang diharamkan dan tidak boleh digunakan dalam makanan di bawah Peraturan Makanan 1985," katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.

CAP memulakan kajian terhadap penggunaan asid borik sejak 1984, diikuti pada tahun 1985, 1986, 1989, 1992, 1993, 1995, 2000, 2002, 2003, 2004, 2007, 2008 dan tahun ini, semua makanan yang diuji mengandungi bahan tersebut.

Kajian yang dilakukan CAP itu juga menunjukkan, bahan kimia itu amat popular digunakan oleh pengeluar makanan dan penjual ikan untuk menyembunyikan kebusukan dan mengawet kesegaran seperti bagi udang dan daging.

Mengulas lanjut, S.M. Mohamed memberitahu, asid borik itu bukan hanya digunakan untuk menjadikan makanan bertahan lebih lama tetapi ia biasanya turut ditambah untuk memberi daya penarik kepada makanan itu.

''Pihak kementerian juga telah beberapa kali berjanji bahawa mereka tidak akan berkompromi apabila ia melibatkan keselamatan makanan, namun CAP kecewa kerana selepas beberapa gesaan dibuat, keadaan masih tidak berubah.

''Memandangkan toksid dan penggunaan asid borik yang meluas, kami menggesa kementerian supaya menguatkuasakan dengan tegas Akta Makanan 1983 yang melarang penggunaan bahan itu dalam makanan," tegasnya.

Selain itu, jelasnya, penjualan asid borik perlu dilesenkan dan dihadkan dengan mengklasifikasikan ia sebagai racun dan hanya boleh diperoleh oleh pengamal perubatan dan pengguna bahan makanan tertentu sahaja.

Beliau berkata, pihak kementerian turut digesa menjalankan pemeriksaan di seluruh negara dengan segera ke atas pengeluar makanan dan mengambil tindakan ke atas pihak yang menggunakan bahan itu.

Utusan Online 28 Mei 2009