Perdana Menteri yang menyifatkan Felda kini mula memasuki fasa kedua pembangunannya berkata, impian menjadi Gedung Makanan Negara dapat direalisasikan dengan menanam pelbagai jenis tanaman seperti sayur-sayuran di kawasan lapang secara berskala besar.
Menurutnya, impian itu merupakan salah satu misi dalam konsep Felda moden bukan sahaja bagi menambah pendapatan peneroka dan ahli keluarga tetapi juga mampu mengurangkan import bahan makanan dari luar negara.
“Pada fasa pertama, Felda membuka tanah untuk dijadikan ladang dan bagi fasa kedua pula, Felda perlu membuka minda kepada segala kejayaan yang tidak pernah difikirkan.
“Setiap peneroka memiliki empat hektar tanah dan kawasan yang lapang atau kosong boleh digunakan untuk menanam tanaman bagi mendatangkan pendapatan tambahan kepada mereka,” katanya semasa melancarkan sambutan Hari Peneroka 2009 di Felda Maokil dekat sini hari ini.
Turut hadir isterinya, Datin Seri Rosmah Mansor; Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin; Menteri Besar Johor, Datuk Abdul Ghani Othman dan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein.
Perdana Menteri berkata, Felda yang berusia 53 tahun itu perlu muncul sebagai Gedung Makanan Negara dan bukan lagi setakat menjadi pengeluar minyak sawit terbesar menerusi keluasan tanah 850,000 hektar.
Najib berkata, antara tanaman yang mempunyai nilai tinggi di pasaran pada masa ini ialah cili, terung, pisang berangan dan bunga kantan hingga membolehkan segelintir peneroka meraih pendapatan tambahan mencecah RM2,000 sebulan.
Katanya, para peneroka tidak perlu bimbang untuk menjual hasil tanaman mereka kerana Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) telah bersetuju membelinya mengikut nilai pasaran semasa.
“Felda perlu memiliki impian besar dan terus bergerak jauh ke depan bagi mencapai kejayaan tinggi di peringkat global,” katanya.
Pada sidang akhbar kemudian, Najib memberitahu, Felda telah memperuntukkan RM10 juta untuk membantu peneroka menanam tanaman makanan di kawasan kediaman mereka.
Dalam pada itu, Najib berkata, kerajaan telah membelanjakan sebanyak RM418 juta bagi menaikkan taraf rumah Felda di seluruh negara.
Katanya, sebagai tambahan, sebanyak RM225 juta diperuntukkan bagi tujuan tersebut sementara RM408 juta bagi 15 projek perumahan Felda untuk generasi kedua.
“Saya tidak ingin lagi melihat rumah asal Felda sama ada kayu atau batu dan rumah Felda hari ini mesti lebih baik.
“Perjuangan Felda sebenarnya tidak mempunyai noktah dan jangan sesekali hilang semangat asal walaupun sudah berjaya kerana sifat-sifat seperti setia dan sabar perlu terus dikekalkan,” katanya.
Najib turut mengumumkan berita gembira kepada peneroka Felda Maokil apabila meluluskan peruntukan sebanyak RM1.7 juta bagi pembinaan dewan serba guna dan gelanggang sukan bersepadu.
Dipetik Dari Utusan Online 7 Julai 2009