Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Noh Omar berkata, kelebihan itu terdapat pada kepelbagaian makanan dan minuman serta mempunyai standard halal yang menepati piawaian antarabangsa.
Sehubungan itu, katanya, pihak kerajaan akan menggiatkan usaha memajukan sektor tersebut supaya lebih banyak produk keluaran negara dapat dipasarkan ke peringkat global khususnya bagi memenuhi pasaran makanan halal.
''Kerajaan akan berusaha ke arah itu. Tambahan pula kita dalam usaha memperluaskan penerimaan standard halal di peringkat antarabangsa yang mana ia boleh memberi kesan kepada pasaran produk kita.
''Pasaran makanan halal ketika ini terlalu besar. Oleh itu Malaysia harus mengambil peluang ini untuk meluaskan pasaran produk makanan halal negara bagi menampung permintaan,'' katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Pameran Perdagangan Makanan dan Minuman Antarabangsa Malaysia (MIFB) 2009 di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini hari ini
Pameran selama tiga hari itu dianjurkan oleh Kumpulan Utusan dan Expomal International Sdn. Bhd. dengan kerjasama Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani.
Turut hadir Pengerusi Jawatankuasa MIFB, Tan Sri Mohamed Hashim Ahmad Makaruddin; Ketua Pengarah Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI), Datuk Dr. Abdul Shukor Abdul Rahman; Pengerusi Marditech Corporation Sdn. Bhd, Datuk Dr. Mohd. Noor Ismail;
Selain mereka turut hadir Timbalan Pengerusi Jawatankuasa MIFB, Mohd. Nasir Ali dan Pengarah Bahagian Korporat Expomal, Wee Teck Kee.
Sementara itu Nasir dalam ucapannya berkata, Kumpulan Utusan berbangga dengan perkembangan MIFB dari setahun ke setahun dan buktinya pada pameran kali ini jumlah penyertaan peserta luar negara meningkat.
Beliau yang juga Pengarah Eksekutif Kumpulan Utusan berkata, MIFB 2009 telah mencatatkan penyertaan dari 28 buah negara antaranya Arab Saudi, China, Thailand, Belgium, Korea Selatan, Armenia, Turki dan Vietnam.
''Kumpulan Utusan sejak sekian lama sentiasa menyokong langkah kerajaan memajukan lagi sektor pertanian dan industri asas tani di negara ini. MIFB adalah salah satu daripadanya.
''Melalui MIFB kita dapat memperkenalkan produk-produk pertanian khususnya keluaran tempatan selain membolehkan kita mengadakan kerjasama dengan syarikat-syrikat luar dalam konteks membina jaringan perniagaan,'' tambahnya.
Pada sidang akhbar kemudiannya Mohd. Nasir menjangkakan pameran tersebut akan mencatatkan jumlah dagangan bernilai lebih RM120 juta.
Dipetik Dari Utusan Online 9 Julai 2009