Friday, July 17, 2009

SME CORP ATASI PERMOHONAN TERTANGGUH


KUALA LUMPUR 10 Julai - SME Corporation Malaysia (SME Corp.) yang dijenamakan semalam dijangka mampu memproses beribu-ribu permohonan bantuan kewangan yang tertangguh dalam tempoh tiga bulan dari sekarang.

Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Mukhriz Mahathir berkata, selain itu, tempoh pemprosesan permohonan bantuan pinjaman yang dikemukakan oleh usahawan kecil dan sederhana juga dijangka lebih singkat selepas ini.

''Permohonan berkenaan tertangguh kerana sebelum ini Perbadanan Pembangunan Industri Kecil dan Sederhana Malaysia (SMIDEC) kekurangan sumber manusia.

''Ada masanya 20 orang pegawai terpaksa memproses 20,000 permohonan. Dan kini SME Corp. sudah mendapat kelulusan daripada Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) untuk menambah pegawai dan kakitangan,'' katanya selepas merasmikan Persidangan Usahawan Muda yang dihadiri lebih 200 usahawan di Hotel Cititel, Midvalley di sini hari ini.

Jelas beliau, selain kekurangan tenaga manusia ada juga permohonan terpaksa ditolak kerana tidak lengkap seperti tidak mengemukakan dokumen yang diperlukan dan sebagainya.

Tambah Mukhriz, SME Corp. akan turut memainkan peranan sebagai penyelaras kepada 14 kementerian dan lebih 60 agensi kerajaan yang mempunyai kaitan secara langsung dan tidak langsung dengan perusahaan kecil dan sederhana.

''SME Corp. akan melihat fungsi-fungsi yang dilaksanakan oleh pelbagai pihak bagi mengelak masalah pertindihan,'' katanya.

Jelas Mukhriz, antara insentif yang ditawarkan oleh MITI melalui SMIDEC sebelum ini ialah

geran padanan untuk membangunkan dan mempromosikan produk halal.

''Sehingga Mei 2009, daripada 384 permohonan, 276 diluluskan dan ini melibatkan sejumlah RM16.47 juta.

''Sementara bagi skim mempromosi perusahaan kecil dan sederhana untuk syarikat sedia ada dan penubuhan syarikat baru sehingga Mei 2009 sejumlah 1,371 permohonan diterima, 750 diluluskan dengan jumlah RM428.29 juta,'' katanya.

Mukhriz berkata, bagi pinjaman mudah untuk penggunaan teknologi maklumat dan komunikasi, (ICT) pula, sehingga pada Mei 2009, daripada 101 permohonan diterima sejumlah 26 permohonan diluluskan dengan pinjaman bernilai RM5.01 juta.

Dipetik Dari Utusan Online 10 Julai 2009