Friday, July 17, 2009

KEROPOK LEKOR BALOK ISTIMEWA


Lebih panjang, banyak ikan dan dihasil secara manual

KUANTAN 13 Julai - Sebut sahaja keropok lekor, pasti kita terbayangkan keenakan rasanya yang digoreng atau direbus, lalu dicecah dengan sos atau perencah.

Malah, pasti ada yang akan meneka adakah keropok tersebut datangnya dari negeri yang cukup sinonim dengan 'penyu menangis' iaitu Terengganu Darul Iman.

Sebenarnya, keropok lekor dari Balok, Pahang juga tidak kurang hebatnya terutama dari segi rasa dan kepuasan menikmatinya.

Ini kerana, selain dihasilkan menggunakan ikan tamban segar, keropok Balok juga lebih panjang daripada kebanyakan keropok lekor biasa yang terdapat di pasaran.

Dengan panjang kira-kira 30 sentimeter, keropok Balok dihasilkan secara manual supaya lebih asli dan pasti akan memuaskan hati sesiapa sahaja yang menikmatinya.

Keropok Balok yang dihasilkan oleh Persatuan Isteri-Isteri Nelayan Balok Pantai, di pusat operasinya di jeti nelayan Perkampungan Balok Pantai di sini hanya dijual 50 sen sebatang.

Antara keistimewaan keropok Balok ini ialah pembeli boleh melihat sendiri bagaimana ia dihasilkan, iaitu bermula daripada proses menyiang, mengasingkan tulang, menjadikannya adunan, sehinggalah ia direbus atau digoreng.

Bagi ketua persatuan itu, Hashima Mat Rani atau lebih dikenali sebagai Kak Yam, dalam usaha menjaga kesegaran dan kualiti rasanya, mereka akan memproses keropok tersebut pada setiap hari.

"Setiap hari kira-kira pukul 10 pagi dengan dibantu oleh ahli-ahli persatuan seperti Zaharah Ali, 59, dan Norehan Yahya, 34, kami akan memproses keropok ini.

"Keropok Balok ini menjadi kesukaan penduduk tempatan selain menjadi pilihan para nelayan yang mendarat di jeti ini pada setiap hari," katanya kepada Utusan Malaysia di sini, hari ini.

Menariknya, di gerai persatuan ini, bukan sahaja keropok Balok yang menjadi tarikan masyarakat setempat tetapi pelbagai makanan tradisional masyarakat Pantai Timur turut disajikan

Antaranya, asam gumpal, sambal nyior, bubur kacang, pulut nyior, mi calong dan mi kari.

''Bagaimanapun, dalam banyak-banyak makanan yang disajikan, keropok Balok juga menjadi pilihan sehingga kadang kala permintaannya tidak dapat dipenuhi," jelasnya.

Menurut Kak Yam, bukannya tidak mahu membuat keropok ini dalam kuantiti yang banyak tetapi kadang kala bahan utama iaitu ikan tamban yang segar sukar diperoleh.

"Keropok Balok ini dihasilkan menggunakan ikan tamban yang segar dan bersih. Dalam sekilo ikan, hanya setengah kilo sahaja boleh digunakan setelah diasingkan tulang dan perutnya," ujarnya.

Dalam pada itu, Kak Yam dan rakan-rakannya tanpa berselindung sudi mendedahkan rahsia resipi keropok Balok ini sehingga menjadikannya begitu sedap seolah-olah meratah ikan segar.

"Dalam adunan, kuantiti isi ikan yang digunakan melebihi bahan-bahan yang lain kira-kira tiga perempat. Sementara bahan lain yang digunakan ialah tepung sagu, gula, garam dan sedikit bahan perasa makanan yang dibenarkan," jelasnya.

Tambahnya, petua utama semasa memproses keropok ini ialah memasukkan sedikit ketulan ais untuk menjadikan adunan kenyal dan mudah diproses.

Dalam pada itu, seorang nelayan yang ditemui, Ali Mohamed, 55, berkata, dia dan rakan-rakan tidak sah kalau sehari tidak menikmati keropok Balok.

"Rasanya lain daripada yang lain. Ini mungkin disebabkan rasa ikannya yang lebih terasa dan manis.

"Sukar nak cari keropok yang rasa ikannya lebih banyak daripada tepung tetapi di sini (keropok Balok) mudah diperoleh hasil inisiatif Persatuan Isteri-Isteri Nelayan," ujarnya.

Seorang penduduk, Wan Hasni Bahiyah Wan Hussain, 36, turut sependapat sambil menyifatkan keropok Balok mempunyai keenakan tersendiri berbanding keropok lekor keluaran tempat lain.

"Rasanya memang sedap kerana rasa ikannya lebih banyak berbanding keropok lekor lain.

"Setiap hari saya pasti akan mengunjungi gerai mereka untuk membeli keropok ini kerana anak-anak saya sangat gemarkannya," ujarnya.

Dipetik Dari Utusan Online 13 Julai 2009