Friday, July 17, 2009

PUSAT HALAL SEKADAR IMPIAN ?

PETALING JAYA 7 Julai - Malaysia mengimpikan hasratnya untuk menjadi pusat halal dunia. Peliknya, sehingga kini tiada penguatkuasaan yang khusus wujud dalam menentukan sama ada status halal dipenuhi.

Setakat ini, tiada peraturan mandatori yang meminta mana-mana pihak mendapatkan status kerana tindakan itu berupa sukarela lantas timbul persoalan bagaimana impian yang diharapkan dapat dicapai.

Kegagalan memenuhi status halal di hotel-hotel di Malaysia, misalnya merupakan kerugian yang ketara kepada industri makanan tempatan, memandangkan negara ini majoritinya mempunyai rakyat beragama Islam.

Tindakan itu juga tidak ubah seperti menutup peluang potensi menarik para pelancong Islam daripada negara-negara Arab yang sememangnya menjadi tumpuan kerajaan.

Sehingga 30 Jun tahun ini, hanya 170 atau 8.5 peratus daripada kira-kira 2,000 hotel di Malaysia, mendapat persijilan halal bagi urusan operasi dapurnya.

Ini bermakna kebarangkalian para pengunjung beragama Islam menikmati makanan yang diragui status halal di hotel-hotel adalah besar.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Pembangunan Industri Halal (HDC), Datuk Seri Jamil Bidin, setakat ini, tiada sebarang akta yang meminta premis seperti hotel menyediakan makanan dan minuman memiliki sijil halal.

HDC merupakan entiti yang dipertanggungjawabkan untuk memberikan status halal kepada premis selepas segala peraturan dipatuhi.

Beliau mengakui HDC tidak mengenakan syarat wajib kepada pemain-pemain industri serta hotel untuk mendapatkan sijil halal dan setakat ini mereka yang menerima sijil tersebut memohon atas dasar sukarela.

''Sebelum ini terdapat cadangan untuk meminta kerajaan mewajibkan penyedia makanan dan minuman ini untuk mendapatkan sijil halal, tetapi ia masih lagi di peringkat cadangan,'' kata beliau selepas taklimat media mengenai maklumat terkini mengenai pensijilan halal untuk industri hotel di Malaysia, di sini hari ini.

Katanya, sebanyak 15 hotel bagi hotel lima bintang telah menerima sijil halal, 23 bagi hotel empat bintang, 101 untuk hotel tiga bintang, 14 bagi hotel dua bintang dan selebihnya hotel tidak mempunyai bintang.

Sehingga kini, HDC telah menerima 149 permohonan baru untuk sijil halal bagi dapur-dapur hotel dan 29 hotel telah diluluskan.

Jamil bersetuju penerimaan sijil halal merupakan nilai tambah kepada pemiliknya kerana ia memberi jaminan halal dan bersih kepada pelanggan terutama yang beragama Islam dan bukan Islam.

''HDC sedang bekerja lebih dekat dengan pemain industri untuk menjelaskan prosedur bagi mendapatkan pensijilan halal dalam usaha untuk melindungi pengguna.

''Selain itu, HDC juga sedang mempercepatkan proses untuk mendapatkan sijil halal kepada 30 hari berbanding lima hingga enam bulan sebelum ini, tetapi dengan harapan segala dokumentasi serta permohonan adalah lengkap mengikut syarat ditetapkan,'' jelasnya.

Katanya, sebelum ini antara masalah yang melambatkan proses mendapatkan sijil halal adalah permohonan tidak lengkap, penyerahan dokumen lambat, pembayaran lewat, pelanggaran peraturan dan penyusunan semula audit halal.

Jamil berkata, walaupun HDC akan mempercepatkan proses permohonan tetapi mereka tidak akan melonggarkan sebarang syarat yang ditetapkan.

HDC akan terus komited untuk mengekalkan integriti halal pada setiap masa dengan meningkatkan keyakinan pengguna terhadap kualiti, kebersihan dan keselamatan.

Maklumat lanjut mengenai kriteria halal atau senarai restoran atau dapur hotel yang mendapat sijil halal boleh layari laman web www.hdcglobal.com atau menghubungi talian 1 800 88 555.

Dipetik Dari Utusan Online 7 Julai 2009