Pengerusi Jawatankuasa Pertanian dan Industri Asas Tani negeri, Abdul Aziz Kaprawi berkata, Lembaga Perindustrian Nanas Malaysia (LPNM) telah diminta menyediakan kertas kerja mengenai cadangan berkenaan, manakala kerajaan negeri akan menyalurkan peruntukan bagi menjayakan projek tersebut.
Menurutnya, Rengit dipilih kerana ia merupakan antara pengeluar terbesar nanas negeri ini selain memiliki ramai pekebun kecil.
"Oleh kerana kerajaan negeri mempunyai peruntukan RM1.5 juta untuk membangunkan industri kampung berasaskan pertanian, maka ia boleh diagihkan untuk membina kilang tersebut," katanya di sini baru-baru ini.
Abdul Aziz berkata, puri nanas berpotensi dijadikan produk baru untuk melonjakkan lagi industri nanas negara serta boleh dieksport berikutan permintaan terhadapnya yang semakin meningkat di pasaran global.
Menurutnya, puri nanas diperlukan untuk menghasilkan pelbagai produk makanan seperti kuih tat dan jem nanas yang digemari di seluruh dunia.
"Peluang ini harus kita rebut kerana secara tidak langsung akan membantu meningkatkan pendapatan pekebun kecil nanas di negara ini," katanya.
Beliau berharap kilang itu akan dikendalikan oleh koperasi bagi pengurusan yang lebih berkesan.
Dipetik Dari Utusan Online 7 Julai 2009