Monday, June 1, 2009

CAP dedah penggunaan asid borik berleluasa


S.M. Mohamed Idris menunjukkan mi kuning dan beberapa jenis makanan harian mengandungi asid borik pada sidang akhbar di Pulau Pinang, semalam.


PULAU PINANG 27 Mei - Sudah lebih 25 tahun pendedahan penggunaan asid borik dalam makanan dibuat oleh Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) namun persatuan itu mendakwa tiada tindakan diambil oleh Kementerian Kesihatan berhubung perkara itu hingga kini.

Presidennya, S.M. Mohamed Idris yang nyata kecewa dengan keadaan tersebut, hari ini sekali lagi menggesa kementerian terbabit supaya mengambil perhatian sekali gus bertindak lebih proaktif.

Katanya, kajian terbaru yang dilakukan pihaknya mendapati, asid borik masih terdapat dalam pelbagai makanan yang dibeli di pasar basah seperti ladu cina, mi kuning dan kuih nyonya.

''Satu sampel ladu cina didapati mengandungi 569 bahagian per sejuta (ppm) asid borik, mi kuning antara 6.51 hingga 296 ppm manakala kuih nyonya pula terdapat 0.78 hingga 13.5 ppm asid borik.

''Pembuat ladu cina menggunakan asid borik bagi mencegah beras pulut melekat pada daun buluh yang dijadikan pembungkus manakala pembuat mi dan kuih pula menjadikannya sebagai bahan pengawet.

''Asid borik adalah bahan yang diharamkan dan tidak boleh digunakan dalam makanan di bawah Peraturan Makanan 1985," katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.

CAP memulakan kajian terhadap penggunaan asid borik sejak 1984, diikuti pada tahun 1985, 1986, 1989, 1992, 1993, 1995, 2000, 2002, 2003, 2004, 2007, 2008 dan tahun ini, semua makanan yang diuji mengandungi bahan tersebut.

Kajian yang dilakukan CAP itu juga menunjukkan, bahan kimia itu amat popular digunakan oleh pengeluar makanan dan penjual ikan untuk menyembunyikan kebusukan dan mengawet kesegaran seperti bagi udang dan daging.

Mengulas lanjut, S.M. Mohamed memberitahu, asid borik itu bukan hanya digunakan untuk menjadikan makanan bertahan lebih lama tetapi ia biasanya turut ditambah untuk memberi daya penarik kepada makanan itu.

''Pihak kementerian juga telah beberapa kali berjanji bahawa mereka tidak akan berkompromi apabila ia melibatkan keselamatan makanan, namun CAP kecewa kerana selepas beberapa gesaan dibuat, keadaan masih tidak berubah.

''Memandangkan toksid dan penggunaan asid borik yang meluas, kami menggesa kementerian supaya menguatkuasakan dengan tegas Akta Makanan 1983 yang melarang penggunaan bahan itu dalam makanan," tegasnya.

Selain itu, jelasnya, penjualan asid borik perlu dilesenkan dan dihadkan dengan mengklasifikasikan ia sebagai racun dan hanya boleh diperoleh oleh pengamal perubatan dan pengguna bahan makanan tertentu sahaja.

Beliau berkata, pihak kementerian turut digesa menjalankan pemeriksaan di seluruh negara dengan segera ke atas pengeluar makanan dan mengambil tindakan ke atas pihak yang menggunakan bahan itu.

Utusan Online 28 Mei 2009