Monday, June 1, 2009

Test Bed Bantu Usahawan

KOTA KINABALU 28 Mei - Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) negeri Sabah hari ini melancarkan perkhidmatan sokongan terbaru bagi membantu usahawan industri kecil dan sederhana memulakan perniagaan dalam bidang masing-masing.

Perkhidmatan sokongan dikenali sebagai Test Bed itu membolehkan usahawan dilatih di dalam sebuah makmal yang dilengkapi mesin, peralatan dan kemudahan pengeluaran berskala kecil bagi jenis produk makanan terpilih.

Majlis pelancaran perkhidmatan sokongan tersebut disempurnakan oleh Timbalan Ketua Menteri, Datuk Yahya Hussin.

Pengarah Pusat Promosi dan Pembangunan Teknologi MARDI, Datuk Dr. Masri Muhamad berkata, di bawah program Test Bed itu, usahawan akan dilatih secara terus dalam aspek pembangunan produk, sistem pengeluaran, susun atur kilang dan teknologi pemprosesan.

''Selain itu soal kebersihan dan sanitasi serta peningkatan kualiti produk dan kapasiti pengeluaran juga akan ditunjukkan sepanjang tempoh latihan," katanya di sini.

Beliau menambah, melalui Test Bed, usahawan berpeluang menggunakan mesin dan kemudahan pengeluaran lain sehingga dapat menghasilkan produk yang telah dikenal pasti, sebelum diteruskan dengan melakukan ujian pasaran.

Katanya, keputusan ujian pasaran itu akan membantu usahawan membuat keputusan sama ada hendak meneruskan pelaburan dalam pengilangan produk tersebut ataupun sebaliknya.

Menurut beliau lagi, di peringkat awal kemudahan Test Bed di sini hanya untuk pengeluaran produk berasaskan ikan seperti surimi dan keropok.

Dipetik dari Utusan Online 29 Mei 2009

p/s-Kalau Kat Mara NI Macam Konsep INTEM Kepong la ni...Berpeluh saya mengerah otak untuk mengeluarkan idea INTEM Kepong...akhirnya dah siap pun.