PETALING JAYA 27 Mei - Dutch Lady Milk Industries Bhd., pengeluar produk berasaskan tenusu terbesar negara mencatatkan pendapatan berjumlah RM711.5 juta untuk tahun kewangan berakhir 31 Disember 2008, naik 18 peratus daripada RM604.7 juta tahun sebelumnya.
Keuntungan sebelum cukainya, bagaimanapun merosot kepada RM57.8 juta berbanding RM64.7 juta pada tahun 2007.
Pengarah Urusan Dutch Lady, Hans Laarakker berkata, peningkatan kos bahan mentah utama seperti susu tepung tanpa lemak dan minyak sawit telah mengurangkan keuntungan syarikat tenusu tersebut.
"Bagaimanapun bagi mengatasi masalah kenaikan harga bahan mentah itu, kami melaksanakan pelbagai kaedah dengan pengenalan produk- produk baru yang lebih menarik dan berinovasi serta pelbagai inisiatif lain yang menjimatkan kos," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Mesyuarat Agung Tahunan Dutch Lady di sini hari ini.
Menurut Laarakker, pasaran tenusu tempatan pada tahun lalu juga tidak memberangsangkan di mana ia disifatkan sebagai 'tepu' oleh pemain-pemain industri.
Secara umum jelasnya, pasaran tenusu tempatan tidak berkembang walaupun nilai pasarannya RM4 bilion setahun.
Bagaimanapun pengeluar produk tenusu tersebut masih meneraju pasaran dalam tiga kategori susu utama - susu UHT menikmati 58 peratus penguasaan pasaran, susu steril menguasai 65 peratus pasaran dan susu untuk pembesaran 31 peratus.
"Secara umumnya, Dutch Lady menguasai 20 peratus dari nilai keseluruhan pasaran menerusi pelbagai produk di pasaran," katanya.
Dutch Lady turut melihat kelemahan mata wang Ringgit menjadi penyumbang kepada penurunan penjualan produknya di mana pengguna dilihat cuba menyerap kemungkinan kenaikan harga barang makanan.
Laarakker berkata, bagi menggalakkan penjualan produknya di pasaran, Dutch Lady menyahut seruan kerajaan dengan mengadakan Kempen Penurunan Harga bagi menyokong keperluan pengguna ketika berdepan dengan krisis ekonomi ketika ini.
Dalam pada itu, Dutch Lady juga turut mengumumkan peletakan jawatan pengerusinya Tan Sri Kamarul Ariffin yang mengambil keputusan untuk bersara selepas memegang jawatan tersebut sejak 33 tahun lalu.
Beliau akan digantikan oleh Datuk Zainal Abidin Puteh yang merupakan seorang bekas rakan kongsi terkenal di beberapa firma perakaunan utama.
Dipetik Dari Utusan Online 28 Mei 2009