Friday, July 17, 2009

MARI BELAJAR BUAT ROTI



Tiga kakitangan dari D Flowers Cake menunjukkan sebahagian roti dan kek yang bakal diajar kepada peserta Bengkel Eksklusif Bersama Mega - Daisy Marjerin.

SINGGAH di kedai roti atau bakeri menjadi satu kemestian bagi sesetengah wanita apabila berbelanja di pasar raya. Melihat pelbagai jenis roti, pastri dan ban yang enak-enak mungkin ada yang terdetik di hati, alangkah baiknya kalau dapat membuatnya sendiri untuk disajikan kepada keluarga.

Namun idea tersebut biasanya hilang begitu saja apabila buntu mencari kelas masakan yang sesuai. Mahu sekadar berpandukan buku resipi bimbang pula tidak menjadi.

Justeru bagi yang berhajat untuk membuat ban atau roti sendiri mungkin tidak harus melepaskan peluang ini. Selepas kejayaan beberapa bengkel usahawan tani dan jahitan manik sebelum ini, akhbar Utusan Malaysia melalui sisipan Mega memperkenalkan siri Bengkel Eksklusif Bersama Mega - Daisy Marjerin.

Bengkel dianjurkan dengan kerjasama Daisy, jenama margerin yang cukup sinonim dengan rakyat negara ini dan dikendalikan sepenuhnya oleh tenaga pengajar terlatih dari D Flowers Cake yang diketuai sendiri oleh pengasasnya, Zanifah Md. Nor.

Berpengalaman lebih 10 tahun dalam bidang perniagaan makanan, usahawan wanita ini kerap mengadakan bengkel-bengkel masakan termasuk membuat roti di merata tempat.

Dalam pada itu Bengkel Eksklusif Bersama Mega-Daisy Marjerin mengandungi tiga siri dengan setiap satunya menampilkan subjek yang berbeza.

Siri pertama dan kedua dijadual berlangsung di Dewan Bola Tampat Majlis Bandaraya Shah Alam, Selangor pada 25 dan 26 Julai ini.

Untuk siri pertama atau Bengkel Roti dan Kek membabitkan sesi teori, demonstrasi dan praktikal. Sebanyak tiga jenis roti (ban) dan dua jenis kek akan diajar seperti Mexican Bun, Red Bean Bun, Tuna Cheese Mayu Bun, Kek Coklat Hullahu dan Kek Kukus Kamikaze.

Melalui siri ini peserta akan diajar daripada mengadun roti, mencanai, membakar hingga menghiasnya.

Manakala siri kedua Hias Mini Fondant dijangka lebih menarik khususnya kepada peminat kek-kek fondant. Dalam sesi ini seperti peserta akan dibekalkan lima biji mini kek mentega, doh fondant siap berbancuh, papan kek dan kotak.

Sementara itu, siri ketiga Bengkel Biskut Raya akan diadakan di Kompleks Lam Soon Senai, Johor, pada 8 Ogos ini. Bertepatan dengan menjelangnya Ramadan bengkel kali ini akan mengajak para peserta membuat biskut dan tat raya, resipi eksklusif D Flower Cake. Antaranya Tat Coklat Badam, Cheese Tat Mocha, Tatlet (tat buah-buahan), Biskut Mahatma, Biskut Jacko dan Biskut Collata Bombay.

Yuran berpatutan sebanyak RM 190 bagi bengkel pertama, RM280 (bengkel kedua) dan RM 200 (bengkel ketiga) dikenakan ke atas peserta. Ia meliputi tempat, makanan, bahan-bahan mentah dan sijil.

Potongan harga akan diberi pada mereka yang mendaftar untuk menyertai dua bengkel siri pertama dan kedua.

Selain itu potongan harga juga akan diberi bagi yang datang secara berkumpulan sekurang-kurangnya 10 orang dan mewakili mana-mana jabatan kerajaan dan pertubuhan bukan kerajaan seperti persatuan ibu tunggal dan sebagainya.

Keterangan lanjut boleh menghubungi 019-6647068 (Zanifah) atau 03-92877777 samb. 306/348 (Kak Tim/Zura) atau kunjungi laman web dflowerscake.blogspot.com.

Dipetik Dari Utusan Online 10 Julai 2009