Saturday, February 7, 2009

Perusahaan Azan Sdn Bhd

Banyak PKS M'sia Alami Masa Terbaik Mereka


KUALA LUMPUR, 14 Mac (Bernama) -- Perusahaan-perusahaan kecil dan sederhana (PKS) Malaysia, daripada penggiat-penggiat industri makanan konvensional dan pembinaan kepada industri-industri animasi dan bioteknologi, sedang menuai faedah-faedah daripada kemakmuran ekonomi negara yang bertambah baik yang dilihat dalam tahun-tahun kebelakangan ini.

Perusahaan-perusahaan ini sedang mengalami mungkin zaman terbaik mereka, syukur kerana pertumbuhan ekonomi negara yang berterusan dalam beberapa tahun lepas, dan hasil dasar pro-perniagaan kerajaan yang menyediakan untuk mereka peluang-peluang untuk menerokai ke lapangan lebih luas.

"Perniagaan adalah amat baik, terutamanya selama beberapa tahun lepas. Fokus kerajaan ke atas PKS adalah amat tepat masanya," kata pengarah urusan Perusahaan Azan Sdn Bhd, Mohd Ghazali Abu Bakar.

Syarikat beliau, yang terbabit dalam produk-produk makanan, kini sedang berkembang untuk menyediakan bagi pasaran-pasaran tempatan dan eksport yang sedang subur.

Syarikat itu mengeksport terutamanya roti ke Indonesia dan Hong Kong.

"Pelaburan awal kami cuma RM4 juta, sekarang kami sedang dalam proses untuk melabur RM6 juta lagi untuk mengembangkan perniagaan kami," beliau memberitahu Bernama.

Mohd Ghazali berkata kejayaan perniagaan beliau adalah berkat bantuan yang dihulurkan oleh agensi-agensi kerajaan seperti Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE), yang telah membuka pintu bagi beliau untuk menceburi pasaran eksport.

"Mereka (MATRADE) biasanya mengenal pasti bakal rakan-rakan kongsi perniagaan dan mengatur bagi padanan perniagaan semasa misi-misi perdagangan," kata Mohd Ghazali.

Bio Neutraceutical (M) Sdn Bhd, pengeluar makanan berfungsi lengkap di bawah jenama Nufera, juga sedang memanfaatkan penekanan kuat yang diberikan oleh kerajaan ke atas bioteknologi.

Sambil memuji kerajaan kerana menekankan pentingnya biotek sebagai satu daripada tonggak penting bagi ekonomi Malaysia, ketua pegawai eksekutifnya Muhammad Sufi Mahbub, berkata ini telah merangsang minat lebih besar bagi produk-produk berkaitan penjagaan kesihatan bio.

"Rakyat Malaysia kini adalah lebih prihatin, dan daripada sudut pandangan jauh industri kesihatan, kami boleh melihat lebih banyak permintaan bagi produk-produk berkaitan penjagaan kesihatan bio daripada produk-produk berasaskan dadah," katanya.

Produk syarikatnya dihasilkan daripada minyak kelapa dara yang diproses secara bioteknologi (diproses tanpa haba atau kimia) yang boleh digunakan dalam penggunaan harian, rawatan kesihatan dan pengurusan kesihatan am tanpa sebarang kesan sampingan.

Muhammad Sufi berharap agar kerajaan akan memberikan sokongan tambahan kepada syarikat-syarikat biotek tempatan untuk menambah baik lagi aktiviti-aktiviti penyelidikan dan pembangunan (R&D) mereka.

Di bawah Rancangan Malaysia Kesembilan, kerajaan telah memperuntukkan RM2 bilion untuk R&D dan juga pembangunan perindustrian bagi industri-industri bioteknologi dan sains-sains hayat.

"Usaha kami adalah bagi menguasai bioteknologi dalam neutraseutikal, yang sedang berkembang di Malaysia, terutamanya dalam pengeluaran produk-produk berasaskan herba," katanya.

Satu lagi penerima faedah daripada dasar pro-perniagaan kerajaan ialah Centraline Animation Sdn Bhd, yang telah melihat peningkatan peluang-peluang untuk menghasilkan wang.

"Kami memperolehi sokongan yang baik daripada kerajaan, kata pengerusi eksekutifnya, Damien Leong.

Menurut satu anggaran oleh Multimedia Development Corporation (MDeC) pasaran dunia bagi industri animasi berjumlah AS$600 bilion.

Kata Leong, kerajaan mengiktiraf permintaan yang besar bagi industri ini dan pasaran yang besar yang wujud bagi animasi.

Ini, katanya, boleh dilihat daripada sokonan kewangan, termasuk geran-geran yang ditawarkan oleh agensi-agensi kerajaan seperti MDeC dan MATRADE.

"Mereka juga membantu mempromosi industri itu dan produk-produk kami di seberang laut," katanya.

Bagaimanapun, beliau berkata bahawa masih terdapat ruang bagi penambah baikan, terutamanya dalam mewujudkan lebih kesedaran di kalangan pegawai-pergawai perbankan tempatan.

Leong mendakwa bahawa bank-bank tempatan masih tidak terbuka dalam memberi pinjaman untuk syarikat-syarikat animasi kerana mereka lebih tertumpu kepada produk-produk atau industri-industri yang ketara.

"Masih terdapat kekurangan kefahaman terhadap pasaran berkaitan perisian," katanya.

Melihatkan bahawa animator-animator di negara-negara seperti Jepun, Korea Selatan dan India mendapatinya lebih mudah mengumpul modal daripada sektor perbankan, beliau menambah: "Kami tidak mahu bergantung kepada geran-geran kerajaan semata-mata, kami mahu mengembangkan perniagaan ini."

V.M. Samy, pengarah urusan Sri MS Development Sdn Bhd, penggiat baru dalam perniagaan pembinaan, juga merasakan bahawa terdapat pertumbuhan yang baik dalam lapangan pembangunan hartanah tempatan.

"Kami adalah pemaju-pemaju kecil-kecilan tetapi kami melihat permintaan yang baik bagi projek-projek kami," katanya.

MS Development kini menceburi dalam pembangunan hartanah campuran di Karak, Bentong, yang mengandungi 87 unit rumah dan lot-lot kedai.

Di tengah-tengah keyakinan yang meningkat itu, Leong dan juga Ghazali tidak sabar-sabar untuk lebih banyak sokongan bagi usahawan-usahawan Malaysia dalam pasaran tempatan.

Ghazali berkata sungguhpun syarikatnya telah mengembang ke seberang laut, ia juga mahu menjadi lebih kuat di dalam pasaran tempatan.

Bagi Leong pula, katanya hendaklah ada penekanan yang lebih besar dan penguat kuasaan ke atas kandungan tempatan dan stesen-stesen televisyen tempatan patutlah diminta menyiarkan di antara 60 dan 80 peratus program-program animasi tempatan.

"(Dengan cara ini) lebih banyak siri animasi dikeluarkan syarikat-syarikat tempatan akan ditayangkan," tambahnya.


Dipetik dari Bernama 14 Mac 2007