Saturday, February 7, 2009

AJ Food Industries Sdn Bhd

Produk diterima selepas 8 tahun menanti

KLANG 3 Jun – Seorang pengusaha sos cili, mayonis dan pasta di sini terpaksa menunggu lebih lapan tahun sebelum produknya dapat dijual di pasar raya besar. 

Pengarah Urusan AJ Food Industries (M) Sdn. Bhd., Ainual Azahar Jasmi berkata, syarikatnya diwajibkan mempunyai modal tinggi untuk menjamin perniagaan berjalan lancar selain mematuhi syarat-syarat yang ditetapkan pasar raya besar.

Menurutnya, antara syarat ialah produk itu perlu mempunyai pembungkusan standard, maklumat mengenai nilai zat makanan serta kod bar.

Selain itu, katanya, ia juga perlu mematuhi spesifikasi pembangunan dan penyelidikan (R&D) pasar raya terbabit.

“Memang sukar pada awalnya untuk memasarkan sos cili dan mayonis di pasar raya besar. Ketika itu, kami sekadar menjualnya kepada stokis penjual burger seperti Ramly di Lembah Klang,’’ katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini. 

Syarikat AJ Food Industries (M) Sdn. Bhd. merupakan antara pelopor tempatan dalam pengeluaran sos cili dan mayonis selain jenama produk Lady’s Choice dan Jasma.

Ainual Azahar berkata, kadangkala apabila masalah timbul, sesebuah syarikat itu mungkin disenaraihitamkan sekali gus menutup peluang menyenaraikan produk di pasar raya besar.

Untuk menembusi pasaran di pasar raya besar, beliau menjelaskan, syarikatnya kreatif mengeluarkan produk baru dan unik yang belum berada di pasaran.

‘‘Apabila pasaran menjadi tepu dengan mayonis, terbaru kita mengeluarkan sos pasta dan sos BBQ (barbeque) yang kini dijual di Carrefour, Mydin, Tesco dan Jaya Jusco sejak setahun lalu,’’ tambahnya.

Sementara itu, Ainual Azahar berkata, pihaknya turut melakukan pembaharuan pada botol sos mayonis agar ia boleh dipicit untuk mengeluarkan sos.

Dalam pada itu, beliau berkata, syarikatnya juga telah berjaya memperoleh sijil piawaian Amalan Perkilangan Baik (GMP) pada tahun lalu.

Sijil itu, katanya, diiktiraf dalam industri pembuatan makanan.

Dipetik Dari Utusan Online 4/6/2008