Saturday, February 7, 2009

FATIHAH FROZEN FOOD...



Fatihah Frozen Food bangkit daripada kegagalan



IBARAT sudah jatuh ditimpa tangga. Begitulah yang pernah dilalui Fatihah Anis Ibrahim, 44. Sudahlah bergelar ibu tunggal beranak tiga, malah pada masa yang sama perniagaannya juga gagal, seperti kata pepatah `disangka panas hingga ke petang, rupanya hujan di tengah hari’.

Semuanya gara-gara kegawatan ekonomi yang melanda negara lebih lima tahun lalu.

Namun, wanita gigih kelahiran Kota Bahru, Kelantan ini tidak pernah menjadikan status ibu tunggal dan kegagalan dalam perniagaan sebagai titik noktah dalam meneruskan kehidupan apalagi status itu sering dipandang rendah oleh segelintir masyarakat. 

Wartawan ZUARIDA MOHYIN dan jurugambar HAYAT SUEET bertemu dengan pengasas dan selaku Pengarah Urusan, Fatihah Frozen Food Sdn. Bhd. untuk berkongsi rahsia kejayaan beliau sehingga memiliki beberapa gerai di sekitar Lembah Klang dan akan membuka kiosk terbarunya di Pasar raya Mydin, Subang Jaya, Selangor selepas raya ini.

UTUSAN MALAYSIA: Bagaimana Fatihah Frozen Food bermula sebelum anda mengalami kegagalan pertama kali dalam dunia perniagaan?

FATIHAH ANIS: Sebenarnya apa yang saya usahakan ini telah bermula sejak dua dekad yang lalu. Boleh dikatakan saya ini memang tidak pandai memasak langsung pada zaman muda remaja. Namun disebabkan minat dengan pembuatan kuih secara sejuk beku, saya sanggup menerima kemarahan orang tua. 

Apa tidaknya dalam proses mengasah kemahiran itu boleh dikatakan berguni-guni tepung rosak dikerjakan oleh saya. Di samping itu, kesempatan berada di United Kingdom (UK) sewaktu mengikut bekas suami ke sana, saya pelajari lebih mendalam tentang teknik sejuk beku yang lebih dahulu popular di sana. Sekembalinya dari UK, saya mula menerima tempahan dan pesanan sekadar kemampuan diri.

Pun begitu, usaha berterusan itu lama-kelamaan membuahkan hasil. Akhirnya, saya berjaya menghasilkan produk pertama iaitu karipap sejuk beku menggunakan resipi sendiri dan melaluinya juga ia berjaya menambah pendapatan peribadi. 

Usaha ini saya teruskan biarpun sudah mendirikan rumah tangga. Alhamdulillah, perniagaan yang beroperasi dari rumah menampakkan sambutan dan berkembang maju malah hingga satu peringkat tidak menang tangan dibuatnya. Menariknya lagi, sambutan yang di luar jangkaan ini adalah menerusi iklan dari mulut ke mulut. 

Malah saya berkeyakinan pada masa itu, apa yang saya lakukan adalah sesuatu yang baru pada ketika itu. Saya boleh dikatakan orang Melayu yang terawal dalam mengkomersialkan produk sejuk beku kerana sebelum ini bisnes ini memang dimonopoli oleh kaum Cina.

Bagaimana anda berhadapan dengan pelbagai tohmahan dan persepsi negatif segelintir masyarakat terhadap golongan ibu tunggal?

Apa yang pasti, niat saya melakukan semua ini adalah untuk menambah pendapatan keluarga. Pada masa itu tidaklah sehingga bercita-cita bergelar usahawan berjaya. Semuanya bergerak atas platform untuk mencari pendapatan lebih. Alhamdulillah setelah gagal kali pertama, produk atas jenama Fatihah Frozen Food tidak terus berkubur malah ia terus berkembang serta semakin diterima dan dikenali ramai. 

Kalau diikutkan hati sedih dan kecewa mengenangkan nasib diri yang ditinggalkan sendirian, terpaksa memikul beban menyara anak-anak yang masih mentah, tak tahulah apa nasib kami anak-beranak.

Saya bersyukur berkat keyakinan, usaha, kesabaran dan bertawakal, Allah itu Maha Mendengar lagi Maha Mengasihani. Saya bangkit kembali bermula dengan tidak ada apa-apa dan akhirnya berjaya juga. Hendak dikatakan mewah tidak juga tetapi mencukupi. 

Semua kekuatan ini terhasil apabila melihat anak-anak yang tidak mengerti dengan asam garam kehidupan ini, saya cekalkan hati. Acap kali melihat wajah anak-anak semacam ada kekuatan dalaman dan pembakar semangat untuk meneruskan perjuangan walau badai melanda. Saya mula perkukuhkan ilmu perniagaan dengan mengikuti kursus-kursus anjuran Majlis Amanah Rakyat (Mara), Kementerian Pembangunan Usahawan, Universiti Kebangsaan Malaysia dan pihak-pihak yang membantu golongan ibu-ibu tunggal seperti saya. Selain itu, penyertaan mana-mana ekspo dan promosi pelbagai agensi kerajaan dan swasta memperkasakan lagi diri dan syarikat.

Apakah perasaan anda apabila berada pada kedudukan sekarang ini? 

Saya bersyukur dan berterima kasih kepada pihak-pihak yang banyak membantu sama ada secara langsung atau tidak langsung sehingga syarikat Fatihah Frozen Food Sdn. Bhd. muncul sebagai pengusaha pelbagai makanan sejuk beku segera seperti karipap, popia, samosa, cucur badak, murtabak, pau mini, donat, nuget, roti boom, pai ayam, sardin roll dan cakoi. 

Malah pada bulan Ramadan ini, di outlet, kami menyediakan rendang, serunding, ketupat palas dan ketupat nasi. Semua ini saya gunakan resipi sendiri. 

Saya tidak menyangka daripada anak gadis yang langsung tidak tahu memasak pada dahulunya, kini sudah boleh menerima tempahan katering. Disebabkan kekurangan kakitangan, saya menerima tempahan penyediaan makanan bagi jumlah antara 200 hingga 300 orang. 

Sebarang pertanyaan ataupun tempahan boleh menghubungi 03-2694 2944 (outlet Kampung Baru, Kuala Lumpur). Selain itu, mereka yang berminat juga boleh mengunjungi beberapa outlet Fatihah Frozen Food seperti di Warta Bangi, Kompleks PKNS, Shah Alam dan terbaru di Giant, Subang Jaya.

Pastinya dua dekad terlibat dalam dunia perniagaan, anda sudah masak dengan asam garam bidang keusahawan. Apakah cabaran yang dihadapi sepanjang tempoh tersebut?

Naik turun dalam perniagaan adalah lumrah atau adat orang berniaga. Walau dalam apa keadaan sekalipun sama ada untung, rugi, gulung tikar atau bertambah maju. Semuanya ujian dan kita tidak boleh menarik nafas lega atau cepat berpuas hati apabila perniagaan berjalan lancar atau mudah berputus asa apabila berhadapan dengan dugaan.

Kegagalan dalam perniagaan adalah satu pengalaman pahit bergelar seorang usahawan namun semuanya dapat diatasi berkat keyakinan dan sokongan pelanggan yang masih mahukan produk Fatihan Frozen Food.

Sementara itu, kalau hendak katakan cabaran dari segi persaingan, bagi saya ia bukannya halangan kerana di dalam Islam rezeki itu adalah ketentuan Allah. Yang pasti kita berikan produk dan perkhidmatan yang terbaik. Ditambah pula dengan usaha, doa dan bertawakal, insya-Allah ada imbuhannya. 

Saya bersyukur walau apa yang diperoleh itu sedikit malah sepatutnya inilah sewajarnya tertanam dalam diri setiap usahawan muslim. 

Prinsip saya mudah, keuntungan sedikit tidak mengapa asalkan pelanggan berpuas hati. Malah saya berkeyakinan Fatihah Frozen Food boleh bertahan sehingga ke hari ini kerana keenakan produknya. 

Untuk mendapatkan satu-satu resipi itu bukanlah mudah. Saya terpaksa melalui proses try and error dan dilakukan berkali-kali agar kualitinya terjaga. Di samping itu, aspek kreativiti dan mempelbagaikan produk juga penting dalam menjamin kelangsungannya dalam pasaran. Fatihah Frozen food juga sedang dalam usaha meluaskan produk-produknya ke pasaran antarabangsa. 

Sebagai salah seorang daripada ibu tunggal, apakah nasihat dan pesanan anda kepada mereka yang mengalami nasib serupa?

Pesanan saya kepada ibu-ibu tunggal janganlah terlalu meratapi nasib diri. Sudah tiba masanya mereka membuka minda dan berfikiran positif demi meneruskan kelangsungan hidup dan masa depan anak-anak. 

Di mana ada kemahuan, di situ ada jalan. Keyakinan teguh kepada qada dan qadar Tuhan akan menjadikan kita seorang yang tidak terlalu menghukum diri. 

Menyalahkan takdir tetapi bertukar menjadi seorang insan baru yang lebih dinamik dan berhati waja. 

Pokoknya, jangan sekali-kali kita melupakan Allah kerana makin kuat ingatan kita kepada-Nya maka makin hampir dan mendengar Allah kepada umat-Nya yang sentiasa meminta. Insya-Allah.

Dipetik Dari UTUSAN MALAYSIA 20/10/2006