Tuesday, December 1, 2009

RM15.6 juta naik taraf Arked Mara

SEREMBAN 29 Nov. - Sebanyak RM15.6 juta akan diperuntukkan oleh Majlis Amanah Rakyat (Mara) dalam melaksanakan projek menaik taraf bangunannya di seluruh negeri ini.

Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Pertanian, Industri Asas Tani, Pembangunan Usahawan dan Koperasi negeri, Datuk Yunus Rahmat berkata, usaha itu perlu ke arah peningkatan imej premis perniagaan tersebut.

"Peningkatan imej itu juga membolehkan arked Mara ini bersaing dengan premis pernigaan lain apatah lagi bangunan yang sedia ada sekarang sudah kelihatan uzur," katanya di sini hari ini.

Menurutnya, langkah tersebut juga bertujuan untuk memastikan usahawan-usahawan dapat menjalankan aktiviti perniagaan dalam suasana yang lebih selesa.

Tambah beliau, peningkatan imej itu membabitkan lapan bangunan Mara di seluruh negeri ini.

"Lapan projek itu membabitkan Arked Mara di Kuala Pilah, Jalan Tuanku Munawir dan Ampangan di sini, Batu 3 3/4 Jalan Pantai dan Pasir Panjang di Port Dickson, Mantin, Nilai dan Beranang," katanya.

Sementara itu menurut Yunus, setakat ini sebanyak 516 lot perniagaan disediakan oleh Mara membabitkan 49 projek premis perniagaan di seluruh negeri ini dalam usaha meningkatkan penglibatan usahawan bumiputera.

"Projek terbaru adalah Senawang Smart Auto yang dibina khusus untuk perniagaan berkonsepkan automotif.

"Premis terbaru itu adalah khas untuk perniagaan automotif seperti bengkel servis kereta, kimpalan dan mengecat kereta dengan tujuan untuk meramaikan lagi usahawan bumiputera dalam bidang yang cukup berpotensi itu," katanya.

Sehubungan dengan itu kata beliau, usahawan bumiputera disaran memanfaatkan kemudahan tersebut untuk meningkatkan pendapatan.

"Masih terdapat kekosongan di premis perniagaan yang disediakan oleh Mara itu dan penduduk di negeri ini harus mengambil peluang ini untuk berniaga," katanya.

Dipetik Dari Utusan Online 30/11/2009