Tuesday, December 1, 2009

Akta Halal digubal giatkan Industri Halal

Salam Semua,

Walaupun artikel di bawah dah lebih kurang sebulan dikeluarkan, rasanya ianya terdapat fakta penting untuk Penghuni Kimar Mukim Batu.

KUALA LUMPUR 23 Okt. – Kerajaan akan menggiatkan lagi pembangunan industri halal dengan melaksanakan empat cadangan termasuk menggubal Akta Halal yang menjadi asas pembangunan, pengawal selia dan penguatkuasa industri berkenaan.

Cadangan itu juga menyaksikan Perbadanan Pembangunan Industri Halal (HDC) diperbadankan sebagai sebuah agensi di bawah Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, HDC akan menyediakan satu pelan tindakan pembangunan industri halal manakala pengubalan Akta Halal akan dilakukan dengan kerjasama Majlis Agama Islam.

Najib berkata, dua cadangan lain adalah mempertingkatkan persijilan halal oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) melalui kerjasama institusi antarabangsa untuk mendapatkan pensijilan piawaian seperti Hazard Analysis and Critical Control Point (HACCP) dan Amalan Pengilangan terbaik (GMP) supaya sijilnya diktiraf antarabangsa.

Cadangan itu juga melibatkan pembangunan sistem anti penyeludupan produk halal di tiga pintu masuk dan tiga pelabuhan utama untuk membantu agensi seperti Kastam Diraja Malaysia, Jabatan Perkhidmatan Veterinar dan Jakim mencegah kegiatan penyeludupan dan mengurangkan risiko wabak penyakit.

“Untuk tujuan ini, sebanyak RM24 juta akan disediakan oleh kerajaan,” katanya.

Najib berkata, umat Islam di seluruh dunia kini melebihi 1.8 bilion orang dan permintaan untuk perkhidmatan dan produk halal semakin meningkat sehingga mencecah AS$2.1 trilion (RM6.93 trilion) setahun.

“Malah, golongan bukan Islam turut berminat terhadap produk halal juga meningkat,” tambah beliau.

Dipetik Dari Utusan Online 24/10/2009