Monday, June 1, 2009

Cadangan agensi keselamatan makanan ke Kabinet

KUALA LUMPUR: Kementerian Kesihatan akan mengemukakan memorandum kepada Kabinet tidak lama lagi mengenai cadangan untuk mewujudkan sebuah agensi keselamatan makanan negara selewat-lewatnya menjelang hujung tahun ini.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Liow Tiong Lai, berkata kewujudan agensi itu perlu disegerakan untuk mempertingkatkan unit keselamatan makanan negara terutamanya bagi makanan yang diimport.

"Agensi ini akan mempunyai lebih ramai kakitangan dan mempunyai bidang kuasa lebih besar untuk memantau kualiti makanan. Saya amat mengambil berat soal keselamatan makanan terutamanya dari luar negara," katanya di sini, hari ini.

Bercakap kepada pemberita selepas merasmikan mesyuarat agung Persatuan Pemborong Sayur Kuala Lumpur, Liow berkata kini pemantauan terhadap makanan dari luar negara dibuat melalui Sistem Maklumat Keselamatan Makanan (FoSIM).

"Melalui sistem FoSIM kita hanya berpandukan kepada apa yang dilapor oleh pengimport, membuat pemeriksaan rambang, ambil sampel dan hantar ke makmal manakala untuk makanan dalam negara, kilang-kilang makanan mempunyai sistem pemeriksaan tersendiri," katanya.

Mengenai perjumpaannya dengan Persatuan Pemborong Sayur Kuala Lumpur, Liow berkata Sistem Pengesanan Makanan akan dilaksanakan segera bagi memastikan sayur-sayuran itu diketahui sumbernya.

"Kita hendak tahu sayur itu datang dari ladang mana untuk memastikan sama ada kandungan racun serangganya (kandungan) tinggi atau sebaliknya dan mengambil tindakan (menyaman) terhadap tuan punya ladang dan bukan bertindak terhadap penjaja," katanya.

Dalam perkembangan lain, beliau berkata arahan kuarantin di rumah terhadap tujuh orang kerana disyaki mempunyai tanda-tanda menghidapi influenza A (H1N1) ditarik balik hari ini setelah mereka didapati tidak mempunyai simptom yang membimbangkan.