Monday, June 1, 2009

24 Premis Makanan Kotor Diarah Tutup

SEREMBAN: Sebanyak 24 premis makanan di kawasan peranginan Port Dickson diarah tutup oleh Jabatan Kesihatan Negeri Sembilan (JKNS) selepas pemeriksaan pada Isnin lalu mendapati tahap kebersihan yang rendah.

Pengarah JKNS, Dr Zainal Ariffin Omar, berkata premis terbabit diarahkan tutup sementara selama 14 hari dan pemiliknya dikehendaki meningkatkan kebersihan mengikut Seksyen 11 Akta Makanan 1983.

"Kualiti makanan yang rendah, pengendali makanan tidak mendapatkan suntikan pencegahan penyakit tifoid dan tidak memakai apron serta penutup kepala adalah antara kesalahan.

"Peralatan dan perkakas yang digunakan juga tidak bersih dan rosak, fizikal bangunan seperti lantai, dinding dan siling tidak memuaskan dan kotor serta tempat pembuangan sampah tidak teratur," katanya.

Dr Zainal berkata, pemeriksaan adalah antara aktiviti bagi memastikan pengusaha mematuhi Akta Makanan 1983 dan Peraturan-Peraturan Makanan 1985.

"Tindakan ini bukan bertujuan menyusahkan peniaga, sebaliknya mereka boleh membuka semula perniagaan selepas kita berpuas hati dengan langkah meningkatkan tahap kebersihan dalam tempoh 14 hari," katanya.

Beliau berkata, selain menguatkuasakan undang-undang kesihatan awam demi kepentingan kesihatan masyarakat, JKNS memberi penerangan mengenai kebersihan premis makanan bagi mencegah penyakit bawaan makanan.

Dipetik Dari Berita Harian Online