Monday, June 1, 2009

Motivasi KIMAR~Pendapatan Dutch Lady RM711j

PETALING JAYA 27 Mei - Dutch Lady Milk Industries Bhd., pengeluar produk berasaskan tenusu terbesar negara mencatatkan pendapatan berjumlah RM711.5 juta untuk tahun kewangan berakhir 31 Disember 2008, naik 18 peratus daripada RM604.7 juta tahun sebelumnya.

Keuntungan sebelum cukainya, bagaimanapun merosot kepada RM57.8 juta berbanding RM64.7 juta pada tahun 2007.

Pengarah Urusan Dutch Lady, Hans Laarakker berkata, peningkatan kos bahan mentah utama seperti susu tepung tanpa lemak dan minyak sawit telah mengurangkan keuntungan syarikat tenusu tersebut.

"Bagaimanapun bagi mengatasi masalah kenaikan harga bahan mentah itu, kami melaksanakan pelbagai kaedah dengan pengenalan produk- produk baru yang lebih menarik dan berinovasi serta pelbagai inisiatif lain yang menjimatkan kos," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Mesyuarat Agung Tahunan Dutch Lady di sini hari ini.

Menurut Laarakker, pasaran tenusu tempatan pada tahun lalu juga tidak memberangsangkan di mana ia disifatkan sebagai 'tepu' oleh pemain-pemain industri.

Secara umum jelasnya, pasaran tenusu tempatan tidak berkembang walaupun nilai pasarannya RM4 bilion setahun.

Bagaimanapun pengeluar produk tenusu tersebut masih meneraju pasaran dalam tiga kategori susu utama - susu UHT menikmati 58 peratus penguasaan pasaran, susu steril menguasai 65 peratus pasaran dan susu untuk pembesaran 31 peratus.

"Secara umumnya, Dutch Lady menguasai 20 peratus dari nilai keseluruhan pasaran menerusi pelbagai produk di pasaran," katanya.

Dutch Lady turut melihat kelemahan mata wang Ringgit menjadi penyumbang kepada penurunan penjualan produknya di mana pengguna dilihat cuba menyerap kemungkinan kenaikan harga barang makanan.

Laarakker berkata, bagi menggalakkan penjualan produknya di pasaran, Dutch Lady menyahut seruan kerajaan dengan mengadakan Kempen Penurunan Harga bagi menyokong keperluan pengguna ketika berdepan dengan krisis ekonomi ketika ini.

Dalam pada itu, Dutch Lady juga turut mengumumkan peletakan jawatan pengerusinya Tan Sri Kamarul Ariffin yang mengambil keputusan untuk bersara selepas memegang jawatan tersebut sejak 33 tahun lalu.

Beliau akan digantikan oleh Datuk Zainal Abidin Puteh yang merupakan seorang bekas rakan kongsi terkenal di beberapa firma perakaunan utama.

Dipetik Dari Utusan Online 28 Mei 2009

Test Bed Bantu Usahawan

KOTA KINABALU 28 Mei - Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) negeri Sabah hari ini melancarkan perkhidmatan sokongan terbaru bagi membantu usahawan industri kecil dan sederhana memulakan perniagaan dalam bidang masing-masing.

Perkhidmatan sokongan dikenali sebagai Test Bed itu membolehkan usahawan dilatih di dalam sebuah makmal yang dilengkapi mesin, peralatan dan kemudahan pengeluaran berskala kecil bagi jenis produk makanan terpilih.

Majlis pelancaran perkhidmatan sokongan tersebut disempurnakan oleh Timbalan Ketua Menteri, Datuk Yahya Hussin.

Pengarah Pusat Promosi dan Pembangunan Teknologi MARDI, Datuk Dr. Masri Muhamad berkata, di bawah program Test Bed itu, usahawan akan dilatih secara terus dalam aspek pembangunan produk, sistem pengeluaran, susun atur kilang dan teknologi pemprosesan.

''Selain itu soal kebersihan dan sanitasi serta peningkatan kualiti produk dan kapasiti pengeluaran juga akan ditunjukkan sepanjang tempoh latihan," katanya di sini.

Beliau menambah, melalui Test Bed, usahawan berpeluang menggunakan mesin dan kemudahan pengeluaran lain sehingga dapat menghasilkan produk yang telah dikenal pasti, sebelum diteruskan dengan melakukan ujian pasaran.

Katanya, keputusan ujian pasaran itu akan membantu usahawan membuat keputusan sama ada hendak meneruskan pelaburan dalam pengilangan produk tersebut ataupun sebaliknya.

Menurut beliau lagi, di peringkat awal kemudahan Test Bed di sini hanya untuk pengeluaran produk berasaskan ikan seperti surimi dan keropok.

Dipetik dari Utusan Online 29 Mei 2009

p/s-Kalau Kat Mara NI Macam Konsep INTEM Kepong la ni...Berpeluh saya mengerah otak untuk mengeluarkan idea INTEM Kepong...akhirnya dah siap pun.

Probiotik Bantu Cegah Penyakit

PROBIOTIK merupakan bakteria yang bertindak membantu mengekalkan kesihatan dan ia bukan saja membantu fungsi pencernaan malah mengurangkan kehadiran organisma berbahaya.

Penggunaan probiotik terbukti mampu mencegah atau merawat. Menurut definisi yang diguna pakai oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), probiotik adalah mikro-organisme hidup yang apabila digunakan dalam jumlah mencukupi akan memberi manfaat kesihatan kepada mereka yang menggunakannya.

Kultur bakteria probiotik seperti lactobacillus dan bifidobacterium merupakan dua jenis bakteria baik atau bakteria bermanfaat yang paling dikenali. Kedua-duanya digunakan untuk membantu memantapkan semula flora perut yang dihasilkan secara semula jadi oleh badan.

Penyelidikan mendapati bahawa probiotik juga boleh membantu menguatkan sistem imun badan untuk melawan alahan, pengambilan alkohol berlebihan, tekanan, pendedahan kepada bahan toksik dan penyakit lain.

Probiotik yang berasal daripada perkataan Greek bermaksud 'untuk kehidupan' sudah pun digunakan sejak berabad-abad lamanya sebagai komponen semula jadi dalam makanan berteraskan kesihatan.

Istilah 'probiotik' mula diperkenalkan pada 1965 oleh Lily dan Stillwell apabila ia diperjelaskan sebagai faktor penggalak pertumbuhan yang dihasilkan oleh mikro organisma. Berbeza dengan antibiotik, probiotik didefinisikan sebagai faktor terbitan mikrob yang merangsang pertumbuhan mikro organisma lain.

Secara umumnya, probiotik melekat pada dinding dan menghuni saluran gastrousus. Ia dapat memperbaiki masalah usus seperti kembung, flatulen, cirit-birit dan sembelit yang disebabkan mikroflora usus yang tidak seimbang dengan mengeluarkan anti infektif protein untuk melawan patogen.

Pakar kesihatan juga turut mencadangkan pesakit yang mengambil rawatan antibiotik supaya menambahkan probiotik ke dalam pemakanan mereka. Ini kerana antibiotik menghapuskan semua bakteria, termasuk bakteria yang bermanfaat.

Ini membenarkan bakteria berbahaya dapat membiak secara berlebihan dan membawa kepada masalah gastrousus. Dos probiotik yang sihat dapat menjauhkan patogen berbahaya dan memperbaiki keseimbangan mikroflora usus.

Kehadiran bakteria bermanfaat memastikan toksik dikeluarkan daripada usus dan tidak diserap ke dalam salur darah. Selain itu, probiotik juga berupaya menghalang atau mengawal pertumbuhan patogen usus seperti salmonella, staphylococcus dan Candida albicans. Ianya penting kerana pertumbuhan patogen usus boleh menyebabkan alergi, kembung perut, cirit-birit dan gastritis.

Ada kajian yang menyokong pengambilan probiotik memandangkan ia mungkin membantu mengelak kejadian seperti masalah keradangan usus di kalangan orang dewasa, manakala kanak-kanak juga tidak terlepas daripada mengalami masalah gangguan penghadaman seperti intoleransi laktosa, sembelit, cirit-birit dan juga kembung perut.

Dalam pada itu, pengambilan probiotik untuk kanak-kanak didapati memberi manfaat kepada kanak-kanak yang tidak diberikan susu ibu, mempunyai imun sistem yang lemah, kurang selera makan dan sering mendapat alahan termasuk mengurangkan risiko kejadian ekzema.

Bagaimanapun, harus diingat bahawa setiap pemilihan probiotik harus berdasarkan beberapa kriteria untuk memaksimumkan manfaatnya. Begitu juga pemilihan strain yang tepat dan betul. Pakar bersetuju bahawa keputusan kajian bagi sesuatu strain tidak boleh dianggap sama dengan strain yang lain walaupun daripada spesis sama.

Kini, probiotik digunakan oleh berjuta-juta orang di seluruh dunia kerana ia boleh membantu pencernaan yang sihat dan meningkatkan kesejahteraan hidup.

Sesuai dengan peredaran masa, peranan probiotik juga diperluaskan. Bukan sekadar mengekalkan kesihatan malah digunakan dalam aplikasi yang menjurus kepada pelbagai keperluan kesihatan pencegahan. Kini, probiotik yang disahkan secara klinikal menemui aplikasi inovatif dalam makanan tambahan pemakanan, makanan berfungsi dan produk makanan utama.

Lactobacillus reuteri (atau L.reuteri) adalah salah satu jenis probiotik yang biasa ditemui pada tubuh dan ia memberi manfaat dan selamat untuk kanak-kanak. Kajian menunjukkan, bahawa kanak-kanak yang diberi susu formula tambahan bersama L.reuteri dilaporkan mengalami demam dan cirit-birit yang lebih singkat.

Menurut Dr. Andreas Aly, probiotik dapat melindungi si kecil dan mengelakkan sakit daripada berulang serta menguatkan imuniti.

"Sistem pertahanan badan yang lemah akan menyebabkan anak-anak mudah jatuh sakit. Senario begini yang kerap bukan sahaja merisaukan ibu bapa tetapi mungkin menjejaskan tumbesaran dan prestasi kognitif mereka.

Pendedahan kajian klinikal dan penyelidikan mendapati salah satu kunci ke arah kesihatan optima mungkin berada dalam usus iaitu bakteria bermanfaat dalam saluran penghadaman.

Flora usus yang seimbang bukan sahaja memperbaiki kesihatan penghadaman tetapi juga mempengaruhi interaksi usus dengan imun sistem, dengan itu mengurangkan jangkitan dan ini menunjukkan keperluan penggunaan probiotik," katanya ketika taklimat media Bio Life di BiO-LiFE Marketing Sdn Bhd, Blok N-41, Jalan PJU 1A/1.

Taipan Damansara 2, Ara Damansara, Petaling Jaya, Selangor. Dr. Andreas menjelaskan, bukti menunjukkan Lactobacillus reuteri protectis sebagai probiotik yang berpotensi besar untuk kesihatan imun.

"Probiotik ini membantu merangsang pertumbuhan pertumbuhan bakteria baik dalam saluran usus, mengembalikan flora usus yang sihat. Setiap strain probiotik adalah unik dan ianya dapat bertahan dalam hempedu dan asid gastrik serta mengkoloni saluran gastrousus. Ia mampu menghasilkan bahan anti mikrobial, reuterin dan asid organik yang mewujudkan persekitaran yang merencatkan pertumbuhan bakteria berbahaya," jelasnya.

Dalam pada itu, pengambilan probiotik ini mengesahkan terdapatnya pengklonian bakteria ini dalam perut, deodenum dan ileum.

Kajian juga mendapati peningkatan signifikan dalam sel emun selepas pengambilannya membawa perlindungan dan kurang jatuh sakit. Ia didapati berkesan sebagai agen terapeutik untuk rawatan cirit-birit dan kolik di kalangan kanak-kanak.

L.reuteri adalah salah satu jenis probiotik yang biasa ditemui pada tubuh dan ia memberi manfaat dan selamat untuk kanak-kanak. Kajian menunjukkan, bahawa kanak-kanak yang diberi susu formula tambahan bersama L.reuteri dilaporkan mengalami demam dan cirit-birit yang lebih singkat.

Probiotik juga dikenali sebagai serat diet. Ia membantu merangsang tumbesaran kebaikan microflora dalam usus dan pertumbuhan bakteria yang memberi manfaat.

Namun, probiotik bukanlah penyelesaian untuk mencegah atau menyembuhkan penyakit tetapi iak menampilkan barisan pertahanan hadapan yang cepat dan mudah di samping diet yang sihat.

Untuk maklumat lanjut mengenai probiotik dan manfaatnya, sila telefon Bio-Life Customer Health Advisory di talian 03-7843 6981 (Isnin hingga Jumaat) atau e-mel health@biolife.com.my.

Dipetik dari Utusan Online 31 Mei 2009

JPN Kelantan Lancar Operasi Pantau Kantin Sekolah

KOTA BHARU 30 Mei - Jabatan Pelajaran Negeri (JPN) telah melancarkan operasi gerak gempur ke kantin dan dewan makan sekolah di seluruh negeri ini sebagai langkah membanteras berulangnya kes keracunan makanan.

Ketua Penolong Pengarah Unit Hal Ehwal Pelajar Sektor Pengurusan Pembangunan Kemanusiaan JPN, Siti Meriam Mohamed berkata, langkah tersebut dilakukan kerana Kelantan antara negeri yang mencatat kes tertinggi.

''Tahun lepas sebanyak 33 kes keracunan dicatatkan sepanjang tahun di negeri ini dan ia antara yang tertinggi selepas Sabah.

''Selepas berlaku banyak kes, JPN dengan kerjasama Jabatan Kesihatan Negeri tidak akan teragak-agak mengambil tindakan tegas terhadap pengusahanya termasuk menyita kantin sebelum kes keracunan berlaku," ujarnya kepada Mingguan Malaysia di sini hari ini.

Tambahnya, sebelum ini tindakan menyita kantin diambil selepas sesuatu kes terjadi, tetapi dalam operasi gerak gempur tersebut, kantin yang didapati kotor akan terus diberi amaran.

''Sejak operasi tersebut dilakukan dalam tempoh lima bulan pertama tahun ini, sebanyak 13 kes dikesan dan JPN kini berusaha mengurangkan jumlah tersebut daripada tahun sebelumnya.

''Semua pegawai yang terlibat akan memantau sebanyak 540 buah sekolah rendah dan menengah di negeri ini dengan mengadakan lawatan mengejut ke kantin-kantin termasuk pengarah JPN dan timbalannya bersetuju untuk turun padang," ujarnya.

Peranti Kesan Halal Dibangun

INTEL Technology Sdn Bhd (Intel) menjalin kerjasama dengan TraceTracker Malaysia Sdn Bhd yang juga anak syarikat TraceTracker Innovation ASA untuk membangunkan peranti mudah alih murah yang boleh mengesan makanan halal.

Ia bakal mendatangkan kebaikan kepada industri Halal di negara ini sejajar dengan hala tujunya menjadi Hab Halal Sedunia dan meyakinkan lebih 1.8 bilion pengguna halal di seluruh dunia.

Pengarah Urusan Intel, Athul Bhargava, berkata pesatnya pasaran halal telah meyakinkan pihaknya betapa pentingnya mewujudkan peranti yang boleh mengesan makanan Halal bagi kegunaan petani, pembekal, pemproses, peruncit dan pengguna keseluruhannya.

"Mereka boleh memindah turun atau naik data-data yang akan dipadankan dengan standard Halal dan kebolehkesanan global."

"Intel akan menyediakan reka bentuk rujukan berasaskan arkitektur Intel yang akan membolehan pengguna untuk berhubung tanpa wayar secara masa nyata ke dalam GTNet(R) dan rumusan kebolehkesanan berasaskan web untuk tujuan mengesan pergerakan produk makanan halal di keseluruhan rantaian pembekalnya," katanya.

TraceTracker akan bertindak sebagai penyedia aplikasi perisian yang akan dipasang ke dalam peranti itu. Ia serasi dengan GTNet(R) untuk kebolehkesanan halal dan menepati standard kebolehkesanan global.

50,000 Sijil Halal Palsu



KUALA LUMPUR: Berhati-hati apabila menjamu selera di restoran milik pengusaha bukan Islam berikutan siasatan pihak berkuasa mendapati ada antara sijil halal yang tertera pada premis perniagaan berkenaan palsu dan dibeli daripada pihak tertentu pada harga mencecah RM5,000 sekeping semata-mata untuk menarik kedatangan orang Islam menjamu selera di premis mereka.

Difahamkan, penyebaran sijil akuan halal itu mendapat permintaan tinggi di kalangan pengusaha restoran milik bukan Islam bermasalah berikutan pemilik tidak perlu mematuhi syarat dan prosedur pensijilan halal yang ditetapkan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) sebelum ini.

Berdasarkan siasatan, sijil akuan halal yang tidak diiktiraf Jakim itu kini dimiliki hampir 50,000 premis makanan terutama pengusaha restoran bukan Islam di seluruh negara.

Jurucakap Halal Industry Development Corporation (HDC) berkata, pemantauan dan siasatan dilakukan di beberapa premis makanan mendapati sijil halal tidak sah berkenaan diedarkan individu tertentu yang menjualnya untuk mendapatkan keuntungan lumayan.


Menurutnya, sijil halal tidak sah laku itu jauh berbeza dengan sijil halal Jakim yang kini dikeluarkan HDC berikutan ia tidak dipantau atau dikawal selia mengikut garis panduan sepatutnya.

“Pihak yang mengedarkan sijil berkenaan hanya memikirkan keuntungan apabila menjual sijil halal itu tanpa memikirkan sama ada pemilik restoran mematuhi syarat piawaian pensijilan yang harus dipatuhi.

“Sebagai contoh, premis makanan yang memiliki sijil halal seharusnya mendapatkan bekalan bahan mentah seperti ayam dan daging daripada syarikat pembekal yang turut memperoleh sijil halal sah dari rumah sembelihan diiktiraf Jakim atau HDC. Selain itu, pihak premis makanan perlu memastikan tiada bahan masakan yang diragui digunakan selain memastikan aspek kebersihan dijaga,” katanya.

Malangnya, pihak yang mengeluarkan sijil halal sama seperti sijil Jakim atau HDC ini lepas tangan dan tidak pernah melakukan pemantauan berkala.

“Akibatnya ada restoran atau premis makanan ini yang memiliki sijil halal palsu menggunakan bahan masakan diragui halal serta pekerja bukan Islam untuk melakukan tugas memasak selain mengabaikan aspek kebersihan,” katanya.

Jurucakap itu berkata, kelulusan memperoleh sijil halal HDC proses penuh teliti berikutan pemeriksaan mengikut prosedur akan dilakukan auditor syariah dan auditor teknikal (teknologi makanan) bagi memastikan premis terbabit benar-benar layak memiliki sijil halal berkenaan.

HDC Gempur Kopitiam



SHAH ALAM: Menyedari kemunculan pelbagai sijil halal aneh dan tiruan, sepasukan Pegawai Penguat Kuasa Halal Industry Development Corporation (HDC) bertindak menggempur beberapa premis termasuk restoran kopitiam milik pengusaha bukan Islam yang disyaki menggunakan sijil halal meragukan.

Dalam operasi bermula jam 11 pagi semalam, sepasukan lima penguat kuasa HDC dibantu tujuh pegawai Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) bertindak menjalankan pemeriksaan di beberapa kopitiam di Cyberjaya yang dikesan mendapatkan sijil halal daripada individu tidak dikenali.

Sumber KPDNHEP berkata, hasil pemeriksaan dilakukan, pihaknya menemui sijil halal didakwa dibeli pengusaha restoran berkenaan pada harga RM60,000 daripada pihak tertentu.

Menurutnya, sijil akuan halal berkenaan yang menyerupai sijil halal Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) didakwa digunakan pengusaha restoran terbabit di beberapa cawangan restoran miliknya di Lembah Klang sebagai modal untuk meyakinkan pengguna Islam mengunjungi restorannya walaupun menyedari ia milik bukan Islam.

“Apa yang jelas, pemilik restoran berkenaan seolah-olah terdesak untuk mendapatkan sijil halal hingga sanggup membayar wang sebanyak itu. Mereka mungkin menyedari kesukaran untuk mematuhi syarat pensijilan halal Jakim yang dikeluarkan pihak HDC menyebabkan mereka mencari alternatif lain.

“Pegawai HDC dan KPDNHEP yang menjalankan siasatan susulan turut ragu terhadap makanan disajikan berikutan pemilik gagal menunjukkan sijil halal Jakim milik syarikat yang membekalkan bahan mentah ayam dan daging,” katanya.

Menurutnya, pegawai HDC yang melakukan pemeriksaan di bahagian dapur penyediaan turut menemui bahan untuk membuat air minuman yang diimport dari luar negara.

“Cecair pekat itu yang tidak mempunyai perakuan halal dari negara pengeluar kemudian diambil pegawai HDC untuk diuji sama ada ia mengandungi alkohol atau bahan tidak halal,” katanya.

Menurutnya, tindakan pemeriksaan sama turut dilakukan di sebuah premis makanan di Shah Alam, kira-kira jam 2 petang semalam, selepas pihak HDC mendapat maklumat premis terbabit turut tidak memiliki sijil halal Jakim.

“Hasil pemeriksaan mendapati, premis berkenaan turut tidak pernah memohon sijil halal dari Jakim atau HDC sebelum ini walaupun ramai pengunjungnya adalah pengguna Islam,” katanya.

Difahamkan, operasi pegawai penguat kuasa HDC itu adalah sebahagian daripada operasi dan pemeriksaan di seluruh negara bagi mengesan penyalahgunaan atau pemalsuan sijil halal Jakim.

“Pemeriksaan itu bertujuan memberi kesedaran kepada pemilik premis restoran dan syarikat pengilang makanan supaya mendapatkan sijil halal sah dari Jakim dan pihak HDC sahaja yang diiktiraf.

“Sijil akuan halal selain Jakim adalah diragui berikutan diberi secara bebas kepada peniaga tanpa kawalan selain tidak mematuhi syarat prosedur halal ditetapkan,” katanya.

Menurutnya, dalam operasi sama semalam, pegawai HDC turut menjalankan pemeriksaan terhadap sebuah syarikat di Shah Alam didapati menggunakan sijil halal palsu bagi produk makanan keluarannya.

“Hasil pemeriksaan dilakukan, pegawai HDC mendapati, sijil halal Jakim dimiliki syarikat lelaki Timur Tengah itu dipalsukan pihak tertentu sejak sekian lama,” katanya.

Dipetik dari MyMetro Online

Produk Makanan IKS Dapat Sambutan

SIK: Produk makanan yang dihasilkan oleh peserta industri kecil dan sederhana (IKS) melalui inisiatif Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani di daerah ini sejak dua tahun lalu semakin mendapat sambutan di pasaran.

Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Mohd Johari Baharum, berkata sejak dilancarkan pada 2007, produk hiliran yang dihasilkan oleh usahawan tani di sini semakin menempa nama.

Katanya, ada 40 usahawan IKS menyertai projek berkenaan yang mana mereka menghasilkan pelbagai jenis makanan, termasuk serunding, bebola ikan, bebola ayam, bebola daging dan nuget selain penternakan ikan hiasan, puyuh, lembu dan kambing.

"Produk mereka sudah dapat menembusi pasaran di luar Kedah dan ia membuktikan sektor itu berpotensi jika diusahakan secara tersusun.

"Kementerian memantau rapi projek ini bagi memastikan ia terus berjalan dan dapat dikembangkan.

"Kerajaan akan memberi bantuan sewajarnya, termasuk bimbingan dan khidmat nasihat supaya mutu produk dapat ditingkatkan dan terus meneroka pasaran lebih luas," katanya selepas mengadakan lawatan di sini, kelmarin.

Dalam lawatan itu, Mohd Johari turut dibawa melawat pusat pengeluaran serunding di Perumahan Beris Jaya dan pusat ternakan ikan hiasan Bendang Man.

Hadir sama, Ketua Setiausaha Kementerian Pertanian, Datuk Mohd Mokhtar Ismail.

Mohd Johari berkata, usahawan di situ yang menghadapi masalah akan diberikan bimbingan supaya mereka dapat terus berdikari.

Katanya, kementerian itu juga akan membantu usahawan Bumiputera terbabit mendapatkan sijil halal supaya produk mereka dapat dipasarkan lebih meluas.

"Produk mereka sudah dapat menembusi pasaran di luar Kedah dan ia membuktikan sektor itu berpotensi jika diusahakan secara tersusun.

"Kementerian memantau rapi projek ini bagi memastikan ia terus berjalan dan dapat dikembangkan.

"Kerajaan akan memberi bantuan sewajarnya, termasuk bimbingan dan khidmat nasihat supaya mutu produk dapat ditingkatkan dan terus meneroka pasaran lebih luas," katanya selepas mengadakan lawatan di sini, kelmarin.

Dalam lawatan itu, Mohd Johari turut dibawa melawat pusat pengeluaran serunding di Perumahan Beris Jaya dan pusat ternakan ikan hiasan Bendang Man.

Hadir sama, Ketua Setiausaha Kementerian Pertanian, Datuk Mohd Mokhtar Ismail.

Mohd Johari berkata, usahawan di situ yang menghadapi masalah akan diberikan bimbingan supaya mereka dapat terus berdikari.

Katanya, kementerian itu juga akan membantu usahawan Bumiputera terbabit mendapatkan sijil halal supaya produk mereka dapat dipasarkan lebih meluas.

24 Premis Makanan Kotor Diarah Tutup

SEREMBAN: Sebanyak 24 premis makanan di kawasan peranginan Port Dickson diarah tutup oleh Jabatan Kesihatan Negeri Sembilan (JKNS) selepas pemeriksaan pada Isnin lalu mendapati tahap kebersihan yang rendah.

Pengarah JKNS, Dr Zainal Ariffin Omar, berkata premis terbabit diarahkan tutup sementara selama 14 hari dan pemiliknya dikehendaki meningkatkan kebersihan mengikut Seksyen 11 Akta Makanan 1983.

"Kualiti makanan yang rendah, pengendali makanan tidak mendapatkan suntikan pencegahan penyakit tifoid dan tidak memakai apron serta penutup kepala adalah antara kesalahan.

"Peralatan dan perkakas yang digunakan juga tidak bersih dan rosak, fizikal bangunan seperti lantai, dinding dan siling tidak memuaskan dan kotor serta tempat pembuangan sampah tidak teratur," katanya.

Dr Zainal berkata, pemeriksaan adalah antara aktiviti bagi memastikan pengusaha mematuhi Akta Makanan 1983 dan Peraturan-Peraturan Makanan 1985.

"Tindakan ini bukan bertujuan menyusahkan peniaga, sebaliknya mereka boleh membuka semula perniagaan selepas kita berpuas hati dengan langkah meningkatkan tahap kebersihan dalam tempoh 14 hari," katanya.

Beliau berkata, selain menguatkuasakan undang-undang kesihatan awam demi kepentingan kesihatan masyarakat, JKNS memberi penerangan mengenai kebersihan premis makanan bagi mencegah penyakit bawaan makanan.

Dipetik Dari Berita Harian Online

Cadangan agensi keselamatan makanan ke Kabinet

KUALA LUMPUR: Kementerian Kesihatan akan mengemukakan memorandum kepada Kabinet tidak lama lagi mengenai cadangan untuk mewujudkan sebuah agensi keselamatan makanan negara selewat-lewatnya menjelang hujung tahun ini.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Liow Tiong Lai, berkata kewujudan agensi itu perlu disegerakan untuk mempertingkatkan unit keselamatan makanan negara terutamanya bagi makanan yang diimport.

"Agensi ini akan mempunyai lebih ramai kakitangan dan mempunyai bidang kuasa lebih besar untuk memantau kualiti makanan. Saya amat mengambil berat soal keselamatan makanan terutamanya dari luar negara," katanya di sini, hari ini.

Bercakap kepada pemberita selepas merasmikan mesyuarat agung Persatuan Pemborong Sayur Kuala Lumpur, Liow berkata kini pemantauan terhadap makanan dari luar negara dibuat melalui Sistem Maklumat Keselamatan Makanan (FoSIM).

"Melalui sistem FoSIM kita hanya berpandukan kepada apa yang dilapor oleh pengimport, membuat pemeriksaan rambang, ambil sampel dan hantar ke makmal manakala untuk makanan dalam negara, kilang-kilang makanan mempunyai sistem pemeriksaan tersendiri," katanya.

Mengenai perjumpaannya dengan Persatuan Pemborong Sayur Kuala Lumpur, Liow berkata Sistem Pengesanan Makanan akan dilaksanakan segera bagi memastikan sayur-sayuran itu diketahui sumbernya.

"Kita hendak tahu sayur itu datang dari ladang mana untuk memastikan sama ada kandungan racun serangganya (kandungan) tinggi atau sebaliknya dan mengambil tindakan (menyaman) terhadap tuan punya ladang dan bukan bertindak terhadap penjaja," katanya.

Dalam perkembangan lain, beliau berkata arahan kuarantin di rumah terhadap tujuh orang kerana disyaki mempunyai tanda-tanda menghidapi influenza A (H1N1) ditarik balik hari ini setelah mereka didapati tidak mempunyai simptom yang membimbangkan.

CAP dedah penggunaan asid borik berleluasa


S.M. Mohamed Idris menunjukkan mi kuning dan beberapa jenis makanan harian mengandungi asid borik pada sidang akhbar di Pulau Pinang, semalam.


PULAU PINANG 27 Mei - Sudah lebih 25 tahun pendedahan penggunaan asid borik dalam makanan dibuat oleh Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) namun persatuan itu mendakwa tiada tindakan diambil oleh Kementerian Kesihatan berhubung perkara itu hingga kini.

Presidennya, S.M. Mohamed Idris yang nyata kecewa dengan keadaan tersebut, hari ini sekali lagi menggesa kementerian terbabit supaya mengambil perhatian sekali gus bertindak lebih proaktif.

Katanya, kajian terbaru yang dilakukan pihaknya mendapati, asid borik masih terdapat dalam pelbagai makanan yang dibeli di pasar basah seperti ladu cina, mi kuning dan kuih nyonya.

''Satu sampel ladu cina didapati mengandungi 569 bahagian per sejuta (ppm) asid borik, mi kuning antara 6.51 hingga 296 ppm manakala kuih nyonya pula terdapat 0.78 hingga 13.5 ppm asid borik.

''Pembuat ladu cina menggunakan asid borik bagi mencegah beras pulut melekat pada daun buluh yang dijadikan pembungkus manakala pembuat mi dan kuih pula menjadikannya sebagai bahan pengawet.

''Asid borik adalah bahan yang diharamkan dan tidak boleh digunakan dalam makanan di bawah Peraturan Makanan 1985," katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.

CAP memulakan kajian terhadap penggunaan asid borik sejak 1984, diikuti pada tahun 1985, 1986, 1989, 1992, 1993, 1995, 2000, 2002, 2003, 2004, 2007, 2008 dan tahun ini, semua makanan yang diuji mengandungi bahan tersebut.

Kajian yang dilakukan CAP itu juga menunjukkan, bahan kimia itu amat popular digunakan oleh pengeluar makanan dan penjual ikan untuk menyembunyikan kebusukan dan mengawet kesegaran seperti bagi udang dan daging.

Mengulas lanjut, S.M. Mohamed memberitahu, asid borik itu bukan hanya digunakan untuk menjadikan makanan bertahan lebih lama tetapi ia biasanya turut ditambah untuk memberi daya penarik kepada makanan itu.

''Pihak kementerian juga telah beberapa kali berjanji bahawa mereka tidak akan berkompromi apabila ia melibatkan keselamatan makanan, namun CAP kecewa kerana selepas beberapa gesaan dibuat, keadaan masih tidak berubah.

''Memandangkan toksid dan penggunaan asid borik yang meluas, kami menggesa kementerian supaya menguatkuasakan dengan tegas Akta Makanan 1983 yang melarang penggunaan bahan itu dalam makanan," tegasnya.

Selain itu, jelasnya, penjualan asid borik perlu dilesenkan dan dihadkan dengan mengklasifikasikan ia sebagai racun dan hanya boleh diperoleh oleh pengamal perubatan dan pengguna bahan makanan tertentu sahaja.

Beliau berkata, pihak kementerian turut digesa menjalankan pemeriksaan di seluruh negara dengan segera ke atas pengeluar makanan dan mengambil tindakan ke atas pihak yang menggunakan bahan itu.

Utusan Online 28 Mei 2009