Thursday, September 11, 2014

LIMA KILANG MAKANAN KOTOR DIARAH TUTUP

GEORGE TOWN: Jabatan Kesihatan Pulau Pinang mengarahkan lima kilang makanan di negeri ini ditutup mulai semalam kerana kerana gagal mematuhi peraturan kesihatan. Timbalan Pengarah Kesihatan Negeri (Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan) Ku Nafishah Ku Ariffin berkata antara kesalahan menjijikkan dikesan dalam operasi itu ialah najis tikus dibiar melekat pada guni tepung dan stok makanan mentah dilonggok di hadapan tandas.

"Premis terbabit diarah tutup dalam tempoh 14 hari mengikut Seksyen 11 Akta Makanan 1983 dan pemiliknya harus menjalankan kerja pembersihan sebelum diperiksa sekali lagi," katanya di sini hari ini.

Beliau berkata premis terlibat ialah kilang kicap, kilang mi, kilang roti, kilang bawang goreng dan kilang kerepek yang beroperasi di sekitar Jelutong, Kepala Batas dan Bukit Mertajam, dekat sini.

Sebanyak 16 premis diperiksa iaitu Daerah Timur Laut (dua), Barat Daya (tiga), Seberang Perai Utara (dua), Seberang Perai Tengah (lima) dan Seberang Perai Selatan (empat).

Dipetik Daripada My Metro Online (10 September 2014)