GEORGE TOWN, 29 Ogos (Bernama) -- Jabatan Kesihatan Pulau Pinang
mengarahkan lapan kilang memproses makanan di Pulau Pinang ditutup selama
14 hari selepas tidak mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan.
Timbalan Pengarah Kesihatan (Bahagian Kualiti Makanan) Ku Nafisah Ku
Ariffin berkata kesalahan yang dilakukan pemilik kilang berkenaan dikesan
selepas pihaknya menjalankan operasi pemeriksaan secara serentak terhadap 26
kilang makanan di seluruh negeri ini semalam.
Katanya kesalahan yang dilakukan oleh pemilik-pemilik kilang berkenaan
boleh dianggap serius kerana ia melibatkan tahap kebersihan dan keselamatan
produk yang dihasilkan.
"Dalam pemeriksaan itu, kami mengesan kilang yang terlalu
kotor dan menjijikkan terutama di bahagian lantai dan dapur selain kesalahan
meletakkan bahan mentah terus di atas lantai tanpa pelapik, membiarkan
bahan mentah bertaburan dan meletakkan bahan mentah berhampiran bahan kimia.
"Ada dapur yang kotor, berkarat dan menggunakan
air sama berulang kali untuk merebus selain menjemur makanan di
kawasan terbuka dan terdedah kepada kotoran dan najis haiwan,” katanya pada
sidang akhbar di sini, hari ini.
Ku Nafisah berkata pihaknya akan memantau semua kilang berkenaan dan tempoh
arahan menutup kilang itu mungkin dilanjutkan jika pemiliknya gagal mematuhi
arahan terutama dalam mengubah suai kawasan memproses makanan
di kilang masing-masing.
Dalam operasi itu, yang turut disertai penguatkuasa Majlis Perbandaran
Seberang Perai (MPSP) dan Majlis Perbandaran Pulau Pinang (MPPP), empat
kilang turut diberi notis dan kompaun mengikut Seksyen 32B Akta Makanan
1983 dan diminta menambah baik premis masing-masing.
"Selain notis, setiap pengusaha itu dikenakan kompaun sebanyak RM2,500
mengikut Akta Makanan 1983 yang melibatkan jumlah keseluruhan kompaun RM10,000,"
katanya.
Beliau berkata pihaknya akan menggiatkan operasi pemeriksaan di
kilang-kilang memproses makanan di negeri ini bagi memastikan pemiliknya
mematuhi SOP yang ditetapkan serta makanan yang dikeluarkan dijamin kebersihan
dan keselamatannya.
-- BERNAMA
Dipetik Daripada My Metro Online (29 Ogos 2014)