Tuesday, November 3, 2009

Kecewa Sikap Peniaga

KUALA LUMPUR 28 Okt. – Setelah melalui pelbagai ‘rintangan dan halangan’ sejak awal tahun, akhirnya aktiviti gotong-royong untuk membersihkan Pasar Pudu berjaya juga dilaksanakan.

Langkah itu diambil kerana Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) sering mendapat rungutan daripada pelanggan yang mendakwa kawasan pasar berkenaan terlalu kotor.

Bau busuk, longkang tersumbat dan bilangan tikus yang meningkat adalah bukti jelas tahap kekotoran di kawasan itu.

Bagi menjayakan aktiviti gotong-royong itu, DBKL dan Alam Flora menyediakan 33 tenaga kerja untuk bersama-sama para peniaga dan penjaja membersihkan kawasan itu.

Malangnya, jumlah tenaga kerja dari DBKL dan Alam Flora itu lebih ramai daripada peniaga. Hanya sebahagian kecil sahaja yang menyahut seruan untuk meningkatkan kebersihan pasar itu.

Ketua Operasi Alam Flora, Jamlos Sanip ternyata orang yang paling kecewa dengan sikap peniaga di pasar itu.

Katanya, banyak pihak yang menyelar DBKL dan Alam Flora tidak menjalankan tanggungjawab tetapi kini beliau mempersoalkan sikap peniaga di pasar itu.

“Saban hari, Alam Flora melakukan kerja-kerja pembersihan khususnya mengutip sampah sarap di kawasan Pasar Pudu ini.

“Oleh itu, dakwaan Alam Flora tidak menjalankan tugas adalah tidak berasas langsung hanya kerana kawasan tersebut kelihatan sentiasa kotor.

“Bukan hendak menuding jari kepada orang lain, tetapi secara peribadi, saya melihat sikap peniaga dan penjaja yang tidak menitikberatkan kebersihan juga merupakan penyebab utama masalah ini.


PETUGAS Alam Flora terpaksa bersusah-payah dan bergelumang dengan kekotoran semata-mata untuk membersihkan longkang di Pasar Pudu semasa program gotong-royong di pasar itu baru-baru ini selepas tidak mendapat kerjasama daripada peniaga di situ untuk mengalihkan barangan mereka yang menutupi longkang.


“Misalnya, mereka meletakkan barang-barang berniaga di tempat yang tak sepatutnya seperti di atas longkang dan tindakan itu menyebabkan kerja-kerja pembersihan terutamanya melibatkan longkang sukar dilakukan,” ujarnya.

Tambah Jamlos lagi, oleh kerana itu, aktiviti pembersihan pasar itu perlu dilakukan secara besar-besaran dan secara berkala.

“Sebelum ini, ada pihak yang menyuarakan pendapat supaya kerja-kerja pembersihan secara besar-besaran dilakukan sebulan sekali.

“Malangnya, cadangan tersebut mendapat bantahan daripada sebahagian peniaga dan penjaja atas alasan, kerja-kerja pembersihan itu akan menyebabkan mereka terpaksa tidak berniaga,” katanya.

Beliau berkata, sikap itu perlu dikikis jika peniaga hendak melihat tahap kekotoran dalam pasar ini berada pada tahap minimum.

Penyelia Alam Flora di Pasar Pudu, Zamri Awang pula berkata, peniaga dan penjaja pasar itu perlu mengubah sikap dalam soal kebersihan.

“Setiap hari, sekitar pukul 2.30 petang, Alam Flora akan memulakan tugas untuk membersihkan kawasan ini.

“Kerja tersebut hanya akan selesai sekitar pukul 5 petang kerana terlalu banyak sampah yang perlu dikumpul dan dibuang.

“Tetapi, Alam Flora tidak dapat membersihkan sebahagian kawasan pasar itu kerana ada peniaga dan penjaja yang meletakkan barang-barang perniagaan mereka di kawasan yang tidak sepatutnya.

“Apabila keadaan itu berlaku, lori penyedut yang hendak membersihkan longkang juga tidak dapat menjalankan tugasnya kerana longkang telah ditutup dengan barang-barang peniaga dan penjaja,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Selain itu, menurut Zamri lagi, sebahagian besar peniaga dan penjaja hanya membiarkan sampah bertaburan tanpa mengumpul atau mengutip sampah tersebut sebelum pulang.


Jamlos Sanip, Zamri Awang


“Keadaan bertambah teruk apabila deretan gerai makanan berhampiran pintu masuk Jalan Tun Razak dibina sehingga menutup longkang yang ada.

“Sepatutnya ia dibina tidak melebihi longkang tersebut.

“Lihatlah, barangan mereka seperti meja dan sebagainya telah menutup laluan longkang. Bagaimana longkang hendak dibersihkan.

“Sikap tidak bertanggungjawab ini perlu dikikis,” katanya yang tidak yakin sikap itu mampu dibuang dalam waktu terdekat kerana ia telah menjadi amalan peniaga sejak tahun 1960-an lagi.

Sehubungan itu, katanya, tindakan penguatkuasaan yang tegas perlu diambil dalam usaha mewujudkan kesedaran terhadap kebersihan.

“DBKL perlu memainkan peranan yang tegas termasuklah mengenakan kompaun dan mungkin juga pembatalan lesen berniaga terhadap mereka yang ingkar arahan.

“Bukan hendak bertindak kejam, tetapi mungkin melalui cara ini, masalah kebersihan di Pasar Pudu atau mana-mana pasar sekitar ibu kota boleh diatasi,” katanya.

Bayangkan jika Pasar Pudu itu semakin hari semakin kotor, pastinya pengunjung akan semakin berkurang dan beralih kepada pasar raya yang lebih bersih.

Lambat laun, perniagaan di pasar itu akan merudum sekali gus menjejaskan pendapatan para peniaga dan penjaja di situ.

Dipetik Dari Utusan Online 29 Okt 2009