Tuesday, November 3, 2009

18 Produk Mengandungi Plumbum Tiada di Malaysia

PUTRAJAYA 2 Nov. — Pemeriksaan Kementerian Kesihatan mendapati kesemua 18 produk buah kering yang mengandungi kandungan plumbum yang tinggi oleh Pentadbiran Makanan dan Ubat-ubatan Amerika Syarikat (USFDA) tidak terdapat di pasaran negara ini.

Pengarah Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan kementerian itu, Nooraini Datuk Mohd. Osman berkata, berdasarkan data dari Sistem Maklumat Keselamatan Makanan Malaysia (FoSIM) dan juga melalui operasi khas periksa dan pantau di pintu masuk negara ini mendapati Malaysia tidak mengimport kesemua 18 produk tersebut.

"Kementerian Kesihatan segera bertindak dengan mempertingkatkan pemantauan di pintu masuk dan juga di pasaran tempatan berikutan laporan dalam laman web USFDA iaitu http://www.fda.gov pada 1 Oktober lepas berhubung 18 produk buah kering itu,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Sebagai langkah berjaga-jaga, Kementerian Kesihatan telah mengenakan tindakan pemeriksaan Tahap 5 iaitu tahap Tahan, Uji dan Lepas melalui FoSIM ke atas semua buah kering termasuk plum kering dan prun kering yang disenaraikan USFDA untuk dianalisis kandungan plumbumnya. Pemantauan dan pemeriksaan melalui operasi khas itu juga dijalankan bagi memastikan bahawa produk berkenaan tidak terdapat di pasaran tempatan, katanya. - Bernama