Tuesday, May 12, 2009

Zaliah Pengusaha Kuih-Muih


ZALIAH YASSIN.


TIDAK pernah terlintas dalam hati Zaliah Yassin, 46, untuk bergelar pengusaha kerepek yang berjaya pada hari ini biarpun beliau pernah bercita-cita untuk menjadi seorang peniaga satu ketika dahulu.

Namun usaha yang dibuat secara main-main itu akhirnya membuahkan hasil apabila beliau kini muncul sebagai pengusaha pelbagai jenis kerepek, antaranya pisang, kerepek ubi, pelbagai jenis kacang, kuih-muih tradisional, bahulu dan kuih-muih moden.

Menjadikan kediamannya di No. 9A, Kampung Sri Aman Skendi, Sabak Bernam, Selangor sebagai tapak perniagaan, beliau telah memulakan perusahaan itu sejak tiga tahun lalu melalui syarikat Daily Sun Enterprise.

“Minat untuk berniaga timbul kerana saya sering mendapat tempahan daripada orang ramai, rakan-rakan dan kakitangan pejabat.

“Saya bermula menggoreng kerepek di ‘atas tanah’ sahaja kerana masa itu tempahan tidak begitu banyak dan saya pula masih bekerja sebagai pembersih makanan laut di salah sebuah syarikat di Sekinchan, Selangor,’’ kata ibu kepada empat orang anak yang berusia antara 22 hingga 28 tahun itu.

Ujarnya, memandangkan tempahan yang semakin bertambah, beberapa tahun kemudian beliau nekad berhenti kerja dan menjadi usahawan makanan ringan dan kuih-muih sepenuh masa.

Pada waktu itu, suaminya Adnan Mohamad, 52, mendapat pampasan apabila memilih untuk bersara awal daripada salah sebuah jabatan kerajaan dan ia digunakan sebagai modal untuk memperbesarkan perniagaan.

Anak ketiga daripada tujuh adik-beradik itu turut dibantu oleh ibunya Jaimah Kantan, 67, dan ayahnya Yassin Dahaman, 75.

Adnan bertindak memasarkan makanan ringan yang diusahakan itu di sekitar Kuala Selangor, Puncak Alam dan Puchong, Selangor.

Sebahagian besar kerepek dan kuih-muih keluaran Daily Sun Enterprise dilanggan oleh para pengedar yang akan mengedarkannya ke tempat-tempat lain.

Bagi mendalami ilmu dalam bidang kuih-muih dan masakan, Zaliah rajin mengikuti kursus-kursus yang diadakan sama ada oleh jawatankuasa kampung atau agensi-agensi tertentu.

Menjelang Aidilfitri ini, pastinya Zaliah tidak menang tangan untuk memenuhi permintaan kuih-muih dan kerepek yang dipesan oleh para pengedar dan individu.

Malah, tempahan makanan ringan dan kuih-muih telah bermula beberapa bulan sebelum menjelang hari raya. Katanya, tempahan lazimnya akan bertambah sebanyak 50 peratus berbanding hari-hari biasa.

Apa yang lebih membanggakan, dengan membuka perusahaan makanan itu, Zaliah bukan sahaja dapat berdikari sebagai seorang pengusaha makanan, malah dapat pula memberi punca pendapatan kepada orang lain.

Zaliah telah mengupah empat pekerja yang terdiri daripada ibu-ibu tunggal untuk membantunya memproses makanan ringan dan kuih-muih berkenaan.

Sekurang-kurangnya dengan upah yang didapati, golongan itu akan dapat menambah sedikit pendapatan mereka dalam meneruskan kehidupan.

Contohnya, Salmiah Rahmat, 54, yang merupakan ibu tunggal yang terpaksa menanggung lima orang anak berusia antara 23 hingga 11 tahun serta seorang ibu yang telah tua, Tarsiah Johar, 67. Salmiah telah berpisah dengan suaminya.

Biarpun upah yang didapati tidak seberapa, namun ia memberi pendapatan kepada mereka.

Begitu juga dengan Zaleha Atan, 51 yang mempunyai tujuh orang anak berusia 17 hingga 33 tahun dan Sarimah Mat Piah, 45, yang mempunyai empat orang anak berusia sepuluh hingga 19 tahun yang menaruh harapan sepenuhnya terhadap pengusaha kerepek berkenaan sebagai punca rezeki.

Kepada mereka yang berminat untuk memesan kuih-muih dan makanan ringan daripada Zaliah, sila hubungi talian 03-3224 4464 atau 012-353 2286.

Di Petik Dari Utusan Online 9 Oktober 2006