Monday, May 4, 2009

KIMAR BARU DI DUNGUN....

KUALA TERENGGANU, 16 April (Bernama) -- Majlis Amanah Rakyat (Mara) merancang untuk membangunkan Kompleks Industri Makanan Mara (Kimar) di Dungun, Terengganu tidak lama lagi.

Pengerusinya Datuk Seri Idris Jusoh berkata Kimar akan dibina di sebuah kawasan perindustrian seluas lapan hektar di Batu Tujuh, Dungun melibatkan peruntukan kira-kira RM30 juta.

"Penubuhan Kimar juga berperanan membantu menyediakan khidmat perundingan yang berkaitan dengan industri makanan bagi memberi khidmat nasihat kepada usahawan yang terlibat dalam usaha mengukuhkan lagi pengetahuan mereka," katanya.

Beliau berkata demikian dalam teks ucapannya pada majlis perasmian Outlet Ziq Bakery and Cake di sini hari ini. Teks ucapannya dibacakan Timbalan Ketua Pengarah Usahawan Mara, Datuk Othman Ahmad.

Sebelum ini, Mara telah membangunkan kompleks yang sama di Mukim Batu, Gombak, antaranya berperanan menyediakan kemudahan ruang kilang dan pejabat yang mempunyai spesifikasi dan kelengkapan yang mencukupi dan disewakan kepada 18 pengusaha bumiputera.

Sementara itu, Othman ketika ditemui pemberita berkata Mara mensasar untuk melahirkan 60,000 usahawan bumiputera dalam Rancangan Malaysia Kesembilan.

"Dalam tempoh dua tahun lepas, kita berjaya melahirkan 3,500 usahawan baru. Matlamat kita dalam Rancangan Malaysia Kesembilan ialah untuk melahirkan 50 jutawan bumiputera," katanya.