Saturday, May 9, 2009

HANYA 27 HOTEL ADA SIJIL HALAL HDC


KUALA LUMPUR 7 Mei - Tahap kesedaran pengusaha hotel untuk memohon sijil halal begitu mengecewakan kerana hanya 27 buah hotel di seluruh negara setakat ini memiliki sijil halal yang disahkan oleh Perbadanan Pembangunan Industri Halal (HDC).

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Senator Datuk Jamil Khir Baharom berkata, walaupun pelbagai usaha telah dilakukan oleh kerajaan, namun sambutan diterima tidak memberangsangkan.

''Sepanjang tahun ini, hanya dua buah hotel layak diberi status halal itu dan jumlahnya masih rendah biarpun terdapat peningkatan permohonan untuk mendapatkan sijil halal.

"Tahun lalu, sebanyak 25 hotel memiliki sijil halal yang disahkan," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Persidangan Penyelidikan Dunia Halal di sini hari ini.

Katanya lagi, daripada jumlah itu, majoriti hotel yang memiliki sijil halal yang disahkan adalah terdiri daripada hotel berstatus tiga bintang.

Bagaimanapun, Jamil Khir berkata, kerajaan belum bercadang untuk mewajibkan semua pengusaha hotel memiliki sijil halal, sebaliknya, akan meneruskan dasar menggalakkan pengusaha memohon seperti sedia ada.

Tambah beliau, meskipun terdapat peningkatan permohonan untuk sijil halal, tetapi tidak semua hotel layak memilikinya kerana gagal memenuhi kriteria utama yang ditetapkan oleh pihak HDC.

Jelasnya, kegagalan pengusaha hotel memenuhi prasyarat utama iaitu sekurang-kurangnya dua pekerja Islam tempatan ditugaskan di bahagian dapur hotel selain faktor kebersihan menyebabkan permohonan untuk memiliki sijil halal ditolak.

"Sikap pengusaha hotel yang lebih gemar menggunakan khidmat tukang masak luar dan bukan Islam menyebabkan sijil halal tidak dapat diluluskan.

"Penggunaan bahan-bahan dalam masakan juga antara faktor yang diambil kira dan banyak hotel yang gagal dalam aspek ini," katanya.

Sementara itu, bercakap mengenai Persidangan Penyelidikan Dunia Halal, Jamil Khir menggesa supaya semua pihak industri terutama yang berkait dengan produk makanan menjadikan halal sebagai satu perniagaan.

Beliau memberitahu, halal, bukan lagi sekadar tuntutan agama, tetapi ia turut menyediakan cetusan ekonomi yang berpotensi untuk diteroka.

Sehubungan itu, beliau berharap penyelidikan ke atas produk, proses, perkhidmatan dan standard yang berkaitan dengan industri halal dapat dilaksanakan dengan jitu agar produk halal dapat dikomersialkan.