MENGURUSKAN perniagaan keluarga bukannya tugas yang mudah lebih-lebih lagi dalam usaha memperkenalkan dan mengembangkan syarikat yang masih dalam skala sederhana.
Namun semua itu kecil jika dibandingkan dengan usaha dan jerit perih yang diharungi ibu beliau pada awal penubuhan Perusahaan Seri Tunjung, pengeluar aneka produk berjenama Rempah Giling SERI.
Kerjasama erat penuh keikhlasan pasangan Hanan Mohd. Adham, 30, dan Shukor Ithnin, 32, membuktikan selagi ada usaha, doa dan tawakal apa yang dicita-citakan bakal menjadi kenyataan.
Wartawan ZUARIDA MOHYIN berkesempatan menemu bual anak kedua daripada lima adik-beradik ini menerusi telefon, berkongsi perancangan beliau meneruskan kesinambungan bisnes keluarga itu.
UTUSAN MALAYSIA: Ceritakan bagaimana bisnes Rempah Giling SERI bermula?
HANAN: Rempah Giling SERI bermula kira-kira 12 tahun yang lalu iaitu pada 1994. Pada masa itu, belum ada lagi rempah basah dipasarkan secara komersial. Namun mama saya, Munirah Abdullah adalah antara usahawan yang mengeluarkan hampir 20 jenis rempah basah (giling).
Idea ini tercetus semasa beliau menziarahi kawannya di Thailand dan secara kebetulan pula, temannya itu menghasilkan produk tom yam.
Bermula dari situlah pelbagai inisiatif dilakukan oleh mama terutamanya dalam mencipta resipi tersendiri. Alhamdulillah Perusahaan Seri Tunjung yang beroperasi di Lot 1020, KM 7, Jalan Kuala Krai, Kota Bharu, Kelantan akhirnya berjaya mengeluarkan pelbagai produk makanan tempatan dan ala-Thai yang menepati cita rasa rakyat Malaysia.
Peranan saya dalam membantu bisnes keluarga ini bermula lebih kurang setahun lalu dengan dibantu oleh suami, Shukor Ithnin. Menerusi kursus-kursus yang disediakan oleh pelbagai pihak berkaitan, kami berusaha menimba seberapa banyak ilmu atau selok-belok dunia perniagaan agar lebih memantapkan lagi bisnes yang diusahakan.
Mengapakah bentuk perniagaan sebegini yang menjadi pilihan dan produk apa yang disediakan?
Memandangkan mama saya berdarah Arab ditambah pula minat mendalam beliau dalam bidang masakan di samping beliau sendiri gemar memasak, maka tercetus ilham untuk menghasilkan pes (paste). Resipi yang dihasilkan ini tidak lari daripada rasa asal masakan daripada air tangannya yang sememangnya lazat.
Sehingga kini terdapat sebanyak 18 jenis rempah giling SERI seperti; Beriani, Kuzi, Rendang, Kerutuk, Mi/Kuey Teow Goreng, Nasi Tomato, Gulai Kawah, Perencah Sate/BBQ, Kuah Sate, Tom Yam, Bihun Goreng, Sup, Kari Ikan, Kari Ayam/Daging, Goreng Berempah, Masak Lemak Lengkuas Ikan/Udang, Kurma, Sambal Tumis dan lain-lain.
Apakah keistimewaan produk Perusahaan Seri Tunjung jika dibandingkan dengan kebanyakan syarikat sama berkaitan?
Istimewanya produk kami ini ialah ia mudah dan ringkas serta senang dibawa terutamanya mereka yang bermusafir atau untuk dijadikan buah tangan bagi mereka yang jauh di perantauan. Kaedah memasak menggunakan Rempah Giling SERI amat mudah sekali. Mereka hanya perlu menggunakan pes yang disediakan malah dapat menjimatkan masa penyediaan bahan masakan tersebut.
Pengguna tidak perlu menghabiskan masa di dapur dengan mengupas bahan basah serta menumis bawang, apa yang perlu dilakukan ialah hanya keluarkan pes atau rempah SERI, masukkan lauk atau beras, santan atau susu cair dan minyak sapi bagi rempah beriani dan kuzi. Rempah Giling SERI juga mengekalkan keaslian rasa resipi tradisional tersebut.
Apakah cabaran anda dalam dunia perniagaan yang berbentuk begini?
Antara cabaran yang kami hadapi adalah seperti turun naik harga bahan mentah sedangkan harga jualan kami tetap.
Aspek persaingan dengan syarikat-syarikat besar juga merupakan salah satu cabaran bagi syarikat kecil seperti kami memandangkan mereka mampu memperuntukan sejumlah besar bayaran untuk tujuan promosi, sama ada menerusi iklan elektronik atau media cetak di samping menggunakan barisan artis popular untuk memperkenalkan produk mereka sedangkan kami hanya usahawan industri kecil dan sederhana (IKS).
Apakah perancangan masa depan anda dalam bidang perniagaan ini?
Perancangan kami banyak di antaranya memperkenalkan produk Rempah Giling SERI ke seluruh negeri-negeri di Malaysia dan melebarkan sayap promosi ke pasaran luar negara.
Buat masa ini kita sudah ada pengedar di Lembah Klang malah produk kami juga boleh didapati di Pasaraya Mydin, Subang Jaya, Selangor.
Selain itu, banyak juga syarikat-syarikat besar sedang dalam proses berunding dengan Perusahaan Seri Tunjung untuk memasarkan produk kami ke luar negara. Ada juga syarikat dari Brunei dan Singapura telah datang sendiri berunding dengan pihak kami untuk tujuan pemasaran di negara masing-masing.
Buat masa ini kami mempromosikan produk menerusi penganjuran ekspo pelbagai pihak kerajaan kerajaan seperti Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA), Jabatan Pertanian, Majlis Amanah Rakyat (Mara), kerajaan negeri dan Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (MECD).
Kami juga melibatkan diri dengan persatuan-persatuan seperti Konsortium Usahawan Makanan dan Industri Asas Tani (Komita) dan Wawasanita.
SERI juga dalam proses penukaran logo dan bungkusan baru yang dibantu oleh SIRIM melalui program GROOMBIG anjuran MECD dan SIRIM. Melalui kerjasama dengan agensi-agensi inilah, kami bergerak memandangkan modal kami yang agak terhad.
Di samping itu, kami turut sedang mencari pengedar di seluruh Malaysia. Mereka yang berminat bolehlah menghubungi talian 012-454 6898 atau 019-994 9968.
Sebagai seorang usahawan Muslim berniaga bukan sahaja bermatlamat untuk diri tetapi dalam rezeki itu ada hak orang lain. Bagaimana saudara melihat akan hal ini?
Matlamat kami sebagai usahawan Muslim ialah berniaga untuk memperoleh keuntungan dan ini adalah hak kami. Kami berniaga pada harga yang berpatutan dan rempah yang bermutu serta produk yang dijamin halal, aspek ini pula adalah hak pengguna.
Apakah kepuasan yang diperoleh dalam melakukan urusan perniagaan dan apakah prinsip yang dipegang dalam bergelar usahawan?
Kepuasan ialah apabila produk kami dapat sambutan orang ramai tidak kira bangsa dan sama ada di dalam dan luar negara.
Prinsip kami berniaga sehingga berjaya dan memberi kepuasan kepada pengguna kerana setiap pujian daripada pengguna menjadi doa untuk kami terus berusaha dan mencapai kejayaan.
Komen sedikit tentang 9/10 punca rezeki adalah menerusi perniagaan.
Seperti yang muslimin dan muslimat tahu hadis saranan Baginda Rasulullah s.a.w. bermaksud: Sembilan per sepuluh sumber rezeki adalah daripada perniagaan merupakan satu hadis yang sahih dan ada kebenarannya. Ini dibuktikan dengan senario sekarang yang mana ramai usahawan yang berjaya dan ada yang bergelar jutawan semuanya hasil daripada perniagaan.
Di Petik Dari Utusan Online 1 Disember 2006