Thursday, May 27, 2010
Enak Tapi Tak Sah
KUALA LUMPUR: Nasi ayam dihidangkan enak bukan kepalang, namun berpuluh-puluh pelanggan yang sedang menjamu selera di sebuah kedai nasi ayam terkenal di Bukit Bintang, di sini, semalam tersentak apabila premis terbabit tiba-tiba diserbu pegawai penguat kuasa agama kerana didapati menggunakan logo halal palsu Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim).
Tindakan tidak bertanggungjawab pemilik kedai nasi ayam terkenal itu bagaimanapun berakhir apabila sepasukan pegawai Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) Putrajaya dan pegawai Jakim melakukan pemeriksaan mengejut sekitar jam 11 pagi semalam.
Sumber KPDNKK berkata, pemeriksaan dilakukan selepas pihaknya menerima aduan awam yang ragu terhadap status halal dan logo Jakim yang dipamerkan secara berlebih-lebihan di premis menjual nasi ayam berkenaan.
Menurutnya, pegawai KPDNKK dan Jakim yang melakukan pemeriksaan mendapati pemilik kedai nasi ayam terbabit menggunakan logo halal Jakim tanpa kebenaran.
“Pemeriksaan mendapati pemiliknya sengaja memasang logo halal Jakim bersaiz besar di hadapan dan sisi tepi restoran terbabit bagi menarik perhatian orang ramai. Siasatan lanjut mendapati kedai nasi ayam terbabit sebelum ini pernah diberikan pentauliahan sijil halal Jakim beberapa tahun lalu.
“Malangnya pemilik kedai terbabit gagal mematuhi syarat pensijilan halal Jakim menyebabkan sijil halal Jakim yang diberikan itu ditarik semula pada Oktober tahun lalu,” katanya.
Menurutnya, pemilik premis terbabit pernah diberikan notis supaya menurunkan logo halal terbabit, namun dia didapati ingkar dan masih menggunakan logo halal Jakim semata-mata untuk meraih keuntungan daripada pelanggan Islam.
“Tindakan menarik semula sijil halal diberikan sebelum ini berpunca sikap pemilik premis tidak menggunakan pekerja beragama Islam seperti disyaratkan sebalik menggunakan pekerja Myanmar serta Nepal untuk memasak dan menyajikan makanan.
“Malah, ketika serbuan dilakukan hari ini (semalam), pemilik kedai menjual nasi ayam itu masih enggan akur dengan nasihat Jakim apabila terus menggunakan khidmat lebih 10 pekerja warga asing bukan Islam di restoran berkenaan,” katanya.
Operasi terbabit yang diketuai Penolong Pengarah Bahagian Penguat Kuasa KPDNKK Putrajaya, Ismail Hamzah dan dibantu Penolong Pengarah Cawangan Pemantauan dan Penguatkuasaan Bahagian Hab Halal Jakim, Amri Abdullah kemudian bertindak tegas mengarahkan semua logo halal Jakim palsu itu ditanggalkan serta-merta.
Menurutnya, arahan tanpa kompromi itu dilakukan bagi memastikan logo halal Jakim terbabit tidak terus dimanipulasi bagi tujuan keuntungan perniagaan pihak tertentu. “Operasi yang berakhir sekitar jam 1.30 tengah hari itu dianggap berhasil apabila dua logo halal Jakim yang dipasang secara kekal berjaya dicabut. Malah, pemilik premis bersetuju memanggil kontraktor bagi melakukan kerja menanggalkan logo halal Jakim yang dipasang terlalu hampir dengan kabel elektrik.
“Pemilik premis terbabit yang berusia 50-an akur dengan kesalahan dilakukan itu dan berjanji untuk memohon semula sijil halal Jakim serta mematuhi syarat ditetapkan mengikut perbahasan halal,” katanya.
Dipetik Dari Harian Metro 27 Mei 2010