Wednesday, September 15, 2010
Kerang bercampur babi di Pasar Chow Kit?
Perkara itu terbongkar selepas pegawai penguat kuasa dari Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dan Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) melakukan pemeriksaan mengejut di pasar terbabit pukul 5 pagi, Jumaat lalu.
Turut menyertai operasi pemeriksaan tersebut ialah para pegawai Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK).
Semasa serbuan, tiga peniaga bukan beragama Islam sedang sibuk membungkus longgokan kerang dianggarkan seberat 50 kilogram dipercayai untuk dijual kepada orang ramai termasuklah pengguna beragama Islam.
Yang menjijikkan, kerang itu ditabur di atas lantai, iaitu kira-kira dua meter daripada longgokan daging babi yang belum dilapah dan masih berdarah.
Sumber Jakim berkata, daging babi yang sudah dipotong dua itu baru dihantar oleh pembekal ke pasar terbabit dan diletakkan di atas para batu bersama bahagian organ lain seperti hati dan limpa.
"Bagaimanapun, darah haiwan itu didapati mengalir turun di kawasan lantai yang turut digunakan oleh peniaga untuk meletakkan kerang.
"Apabila ditanya, peniaga kerang terbabit memberitahu mereka tidak tahu bahawa perbuatan dilakukan itu salah dan boleh mengundang rasa kurang senang kepada pengguna Islam," katanya di sini, hari ini.
Menurutnya, tiga peniaga berusia 50-an terbabit memaklumkan mereka akan menjual kerang itu kepada pelanggan selepas membersihkannya.
Sumber itu berkata, lokasi memproses kerang dan pusat penyembelihan daging babi yang terletak di tempat sama dianggap tidak strategik.
"Ia boleh menjadi haram dimakan sekiranya berlaku percampuran antara air atau darah babi dengan kerang yang diproses.
" Peniaga bukan Islam seharusnya sensitif terhadap aspek kebersihan dan mengetahui sedikit sebanyak tentang hukum dan kaedah pemprosesan makanan halal," ujar beliau.
Dalam pada itu, Setiausaha Politik Perdana Menteri, Datuk Jailani Ngah yang turut serta melihat lokasi penyembelihan babi di pasar Chow Kit tersebut menyifatkan kawasan berkenaan uzur dan tidak sesuai dijadikan pusat pemprosesan makanan halal.
" Perkara itu seharusnya tidak berlaku memandangkan pasar tersebut menjadi tumpuan umat Islam untuk mendapatkan bekalan makanan.
" Pihak berkuasa tempatan termasuk DBKL perlu memikirkan alternatif lain termasuk memindahkan kedua-dua pusat penyembelihan terbabit ke lokasi lebih sesuai dan bersih," katanya.
Tuesday, August 31, 2010
AKU DAN AYUB...

Selamat menyambut hari raya dan maaf zahir batin sekiranya terdapat salah dan silap saya sepanjang mengenali anda semua. Diam tak diam dah 2 minggu Dr Ayub meninggalkan kita. Lama saya ambil masa nak buat tribute kepada Dr Ayub. Rasanya macam tengiang-ngiang hilai tawa beliau. Dr Ayub dulunya bukan sahaja seorang bos malah lebih kepada seorang sahabat. Saya berhenti dari tempat kerja sebelum ini kerana yakin dengan nasihatnya tentang Hukum Karma...Beliau berkata " kalau takde ujian macam ni Li, ko masih duduk kat ofis sampai malam buat kerja tapi orang fitnah macam-macam. Itu maknanya tuhan suruh ko keluar dari comfort zone ko tu. Apa yang ko sayang sangat nak belah dari sini". Lama saya ambil masa nak faham sehinggalah hari ini, kata-kata itu sebenarnya memberikan saya keyakinan besar untuk lebih berjaya. Saya masih tak papa seperti hajat beberapa kenalan lama, malah makin senang dengan rezeki dari pelbagai sumber yang tak saya jangka, sibuk dengan kerja Perundingan, sibuk dengan ID dan jual hartanah, sibuk dengan jual kereta potong di Internet yang dijalankan oleh Adik lelaki saya...Syukur dengan rezeki yang tuhan beri. Anak yang saya jaga juga sihat dan tidak memberikan masalah malah mampu memberikan ibu bapa saya kemewahan setakat yang saya mampu. Nak masuk hospital swasta juga mampu saya bayarkan tanpa tuntutan insuran. Kalau saya bermula dengan asas yang tidak ikhlas dan haram sekadar memetik kata-kata rakan sekerja ketika itu, pastinya rumah saya dah terbakar dan duit saya tak bertambah. Saya masih terngiang kata-kata org HR pada ketika itu yang akhirnya dah keluar dari Syarikat tersebut kerana rabun duit...katanya kalau gaji saya 12K, hanya 2.5K gaji saya di syarikat tersebut sahaja halal manakala selebihnya adalah haram. Suka hatilah, saya maafkan semuanya. Yang penting saya tak buat seperti yang dikatakan. Saya tak pergi pada Usahawan untuk minta projek tapi Usahawan yang datang minta saya jadi Perunding Syarikat mereka. Salah ke saya terima ??? Siapa yang tak yakin, jangan approach. kalau yakin silakan.
Dr Ayub banyak mengajar saya menghormati ibu bapa. Beliau menceritakan kepada saya, masa kecil dulu, beliau tak pernah tinggikan suara pada emaknya. Biar salah pun, jangan tinggikan suara. Saya selalu bercerita tentang keluarga saya dan beliau juga bercerita tentang keluarga dia. Kami seperti 2 budak kecil yang bila berjumpa akan terus-terusan berborak sehingga penat dan tertidor. Itulah sebabnya kalau Beliau ke mana-mana walaupun saya tidak ada kena mengena dengan occasion itu, saya akan disponsor hotel dll supaya ikut untuk temankan dia. Begitulah akrabnya kami. Satu perjalanan yang saya tak boleh lupakan masa balik dari kursus GHP di Kelantan beberapa tahun yang lalu...kursus habis dalam tengahari. Lepas kursus ada Usahawan ajak lawat kilang. Saya dah kata lain kali jelah sebab maklumlah perjalanan masih jauh. Dr Ayub nak pegi jugak...last-last dalam perjalanan balik, kereta kejap laju kejap perlahan sebab masing-masing mengantuk yang teramat sangat. Rasanya kami berhenti di Raub untuk minum dan lelap sekejap but still kereta terhoyong hayang macam orang mabuk. Sampai ke Serdang dalam pukul 4 pagi bayangkan dari petang hampir 11 jam. Semenjak tu, kalau perjalan ke Kelantan, memang kami akan naik Kapal Terbang sebab trauma.
Kalau bab makan, saya rasa ramai org yang rapat dengan dia tahu sangat. Makan memang tak jaga pakcik ni. Saya rasa antara makanan yang dia betul-betul miss ialah ikan keli goreng dengan budu di Kelantan (dekat dengan Stadium Badminton Kubang Kerian). Kami makan di sini dibawa oleh Nik Aidil (Shuqur Food Industries). Makan banyak tapi murah betul. makan 4-5 orang baru dalam RM 20.00 je. Lagi satu gorang pisang. Masa kami kursus di Kuching, ada orang jual Goreng Pisang kat Waterfront. Dr Ayub biasa duduk di Crown Plaza. Malam tu Wan Alwi MARA Kuching tu ajak makan. Lepas makan sampai ke Bilik, goreng pisang petang tadi yang sejuk tu, beliau masih selera nak makan..jodohnya sah-sah ngan Kopi panas. Itulah Ayub yang saya kenali. Jangan lupa Asam Pedas. Kalau kursus kat Melaka, semua tempat asam pedas kami redah. Food Hunter katanya. Makanan hotel haram kami tak jamah. Katanya banyak-banyak asam pedas, tak lawan asam pedas Arwah Mak Cik yang pernah menjaga dia masa kecil yang dah meninggal beberapa tahun yang lalu. Masa Mak Ciknya meninggal, beliau sangat sedih...Sayalah tempat dia luahkan perasaan.
Karaoke...banyak orang kata pergi Karaoke buat maksiat. kami pulak berkaraoke sebab bisnes dan release tension. Banyak suara sumbang saya dengar yang bukan-bukan tentang Dr Ayub. Ni saya nak bagi tau. Setakat yang saya tahu, saya dan Dr Ayub karaoke samada kami berdua atau dengan rakan-rakan usahawan. Bukan tak pernah Mak Ayam marah sebab tak ambil Ayam diorang sampai kena halau keluar bilik lagi kat Lahad Datu, but saya punya prinsip senang. nak karaoke, karaoke betul-betul. No perempuan atau parasit. Kami nak nyanyi puas-puas. Ingat lagi masa kat Cherating kursus dengan Felda. kami kat bilik karaoke tu dari pukul 5pm sampai 2pg. Kami berdua je nyanyi sebab bilik kosong. lagu kebangsaan FHS Consultancy yang dipilih oleh Dr Ayub korang jangan gelak pulak...Manja Kau Ilhamku. Dari mana datangnya lagu ni aku pun tak tau. Tapi Dr Ayub memang enjoy kalau nyanyi lagu ni. Lagu apa yang kami tak pernah nyanyi, dari Rhoma Irama ke lagu omputih I don't want to sleep alone, semua kami sebat. Biasanya lagu Alleycat, Spring, Broery Marantika, Rock Kapak memang tak ketinggalan Dr Ayub nyanyikan. Asalkan lagu tinggi sampai keluar tekak, mesti dia akan pilih sebab tau tang menjerit, mic akan disuakan pada saya.Itulah Ayub...Sejak sakit, lama kami tak spend time sama-sama. Satu saja saya nak tegaskan di sini. Saya jarang lawat dia sakit sebab saya tak mahu ingat dia dalam keadaan begitu. Itu saya. Mak saya lepas bedah dan masuk ke ICU pun saya tak masuk sebab saya susah lupa. Saya sampai sekarang masih ingat Dr Ayub mengerang sakit pasal tiub salur kencing salah saiz, masa Dr try kombinasi 3 antibiotik untuk turunkan heartbeat dan masa nurse datang bawak jarum nak inject ubat. Agaknya sebab semua bahagian badan dah takde tempat nak inject, tu yang buat dia serik dan merintih. Serius, sampai sekarang saya tak boleh lupa.
Bila saya akan berjumpa seorang trainer yang natural macam Ayub. Saya tak taulah dalam kehidupan kali ini, akan jumpa dan rapat dengan saya seperti rapatnya saya dengan Dr Ayub. Takde orang lain yang akan percaya saya seperti mana Dr Ayub percaya saya. Takde orang hargai saya seperti Dr Ayub memandang keupayaan saya berkerja. Ayub selalu kata, Azli orangnya output oriented. Jangan tanya macamana saya buat. Tunggu hasilnya saja. Maklumlah saya susah bangun pagi. Ada kerenah dan keras kepala. Kalau saya bagi kerja atau dokumen untuk semak, harus kerja itu, beliau dulukan kalau tak, saya pasti akan bebelkan dia. Dia selalu kata, kalau aku takde takpe Syarikat mesti jalan punya...tapi kalau kau takde, mati siapa yang tau perjalanan syarikat secara keseluruhan. Kami macam aur dengan tebing. Beri apa saja kerja, saya dan dia akan masing-masing tau tugas masing-masing tanpa pertelagahan. Itu resipi kejayaan FHS. Saya suka menulis, Dr Ayub suka bercakap. Itu sebab dia trainer dan saya wazir duduk kat belakang kelas. Dia yang bawa masuk projek, saya yang menguruskannya sebab saya lebih organize dan dia lebih persuasive. Bila saya akan jumpa another Ayub dalam hidup saya...takpelah, biarlah Dr Ayub sahaja sorang tanpa pengganti...kerana saya tak mampu untuk hadapi kehilangan buat kali kedua. Kami banyak berkongsi prinsip hidup, itu sebabnya segalanya sangat mudah bila kami berdua. Sekarang saya perlu harungi seorang diri. Saya dah bersedia, sebab selama ini pun semua kerja saya buat sendiri. Dr Ayub hanya penasihat sahaja. Itu memang kehendak saya sebab saya tak suka orang kacau kerja saya. Dr Ayub pulak tak suka kacau kerja saya...so tak conflick. Terngiang ngiang saya katanya kepada saya " Li, Biar aku sakit tapi kau jaga kesihatan kau ye, nanti terbengkalai Syarikat kalau kau sakit". Ini ayat yang sama yang Lan ucapkan (bestfriend saya) masa kena sengat Pari kat Pangkor.
Selalu jugak Dr Ayub nasihatkan pada saya, jangan kerja kuat sangat nanti mati tinggal semua. kalau ko taknak kawin lagi, ambik anak angkat nanti tak sunyi. Masa saya ambil anak angkat yang pertama, Adi Putra dia selalu usik saya siap buatkan saya skrip katanya kalau orang tanya, jawab jer saya ni Duda anak satu, bukan ditanggalkan isteri tetapi meninggalkan isteri. Katanya ada ker perempuan yang sanggup dengan kerenah saya yang cerewet. Masa ambil anak yang kedua, ramai orang termasuk sedara mara yang tak setuju sebab kata mereka saya sibuk dan tak mudah nak jaga sendiri bayi baru lahir. Saya pulak jenis kalau orang cabar lagi saya buat. Satu manusia sahaja yang yakin seyakin-yakinnya saya boleh buat selain dari parents dan adik beradik adalah Dr Ayub. Saya ingat lagi saya tanya dalam perjalanan ke Rompin untuk kursus BFH. Dia kata "kau nak buat benda baik takkan aku tak setuju. kalau ko ambil anak yatim, murah rezeki, tengok syarikat kita tak putus-putus projek masuk". Saya akan pegang kata-kata ini sampai hujung nyawa. Agaknya sebab setia tak berbelah bagi saya kepada 2 anak yatim dan anak Mohd Yatim, saya sentiasa senang hati. Macam tak kerja, hepi memanjang. Harap ianya berkekalan. Murahkan rezeki saya supaya saya dapat banyak memberi. Kot nak ambik 2-3 orang lagi anak yatim, mana tau. Pasal Dr Ayublah, saya banyak bertemu dengan kengkawan yang setia. Jumpa Lan di Kursus HACCP kat Pearl International Hotel, Jumpa Bro Akim kat Gunung Ledang dan Damai Laut, jumpa Farhan di ALKEM, jumpa Azmir sebab selalu terserempak kat ALKEM dll.
Akhir kata, Dr Ayub dimana sahaja Dr berada sekarang maklumlah dalam bulan Ramadan lagi, saya sentiasa akan doakan Dr dipermudahkan di sana. Banyak jasa Dr kepada Student UKM dan kepada Usahawan yang saya rasa, Allah SWT akan balas dengan balasan yang setimpal. Saya relakan Dr Ayub saya yang nakal itu...pergi dengan tenang...dan melihat saya meneruskan perjuangan dan cita-cita yang selalu kita angankan...AMIN
Wednesday, August 11, 2010
JAKIM patut utama pemilik restoran Muslim
Hari ahad lalu terbaca artikel berkaitan Dato'Khadijah Ibrahim memberi komen terhadap sukarnya beliau untuk mendapatkan pensijilan HALAL bagi restorannya. Saya terpanggil untul meletakkan artikel ini beserta komen dari JAKIM tentang masalah ini.
SUDAH dua tahun penghibur tersohor negara, Datuk Khadijah Ibrahim yang mengusahakan restoran, Khadijah’s Kitchen, menunggu logo halal untuk dipamerkan di premisnya. Namun, hingga hari ini beliau masih belum menerima maklum balas daripada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) mengenai permohonan itu.
Wartawan Edisi Mingguan, ZUBIR MOHD YUNUS menemubual Khadijah mengenai pengalamannya dalam perniagaan makanan serta masalah yang dihadapi untuk mendapatkan sijil halal JAKIM.
Apa pandangan Datuk mengenai perbuatan tidak bertanggungjawab segelintir pengusaha restoran yang tidak menitikberatkan kepentingan logo halal di premis mereka.
Bagi saya, pengusaha restoran atau kedai makan milik orang Islam yang tidak mempamerkan logo halal di premis mereka bukanlah satu kes yang boleh dianggap berat.
Pasti pengusaha yang juga orang Islam akan menyajikan makanan halal kepada pelanggan mereka. Kita sebagai pengusaha sentiasa menanti pihak berwajib seperti JAKIM mengeluarkan sijil atau logo halal untuk dipamerkan di premis masing-masing, namun ia bukan satu proses yang mudah kerana ia mengambil banyak masa.
Sudah semestinya orang Islam harus mengambil berat aspek halal dan haram dalam soal pemakanan. Sebagai contoh, pada setiap kotak makanan yang kita import atau eksport diharuskan mempunyai logo halal.
Ketika saya masih berada di New Zealand suatu ketika dulu, makanan halal mudah diperoleh. Sebagai pelanggan, kita harus selalu bertanya, adakah makanan yang kita ambil itu halal atau sebaliknya. Sekiranya masih was-was, kita tidak boleh menjamah makanan itu.
Pada pandangan Datuk, apakah punca ramai pengusaha makanan tidak mengambil inisiatif mendapatkan sijil dan logo halal.
Seperti yang saya jelaskan tadi, proses untuk memperoleh sijil atau logo halal, sukar diperoleh kerana ia memakan masa yang panjang. Tidak dinafikan, sekiranya premis makanan milik orang Islam yang masih belum mempamerkan logo halal, mereka berdepan kesukaran untuk meneruskan operasi perniagaan masing-masing.
Ada kes, jika di premis berkenaan turut menjual minuman keras untuk disajikan kepada pelanggan bukan Islam, pengusaha itu tidak akan diberikan sijil atau logo halal untuk dipamerkan di restoran mereka.
Seperkara lagi, takkan setiap kali kita ke pasar basah untuk membeli ayam yang disembelih oleh orang Islam, kita hendak bertanya pengusaha berkenaan, adakah mereka sudah memperoleh sijil halal yang lazimnya dimohon pemilik restoran?
Begitu juga halnya apabila kita membeli daging lembu dari Dubai, takkan pihak JAKIM hendak ke sana mengeluarkan logo halal kepada pengusaha di negara itu? Apabila pelanggan mengunjungi restoran milik orang Islam, mereka harus ada kepercayaan antara satu sama lain, adakah kita sanggup bertanya atau tercari-cari sama ada restoran berkenaan memiliki logo halal, padahal ia sahih milik orang Islam?
Namun, sekiranya kita mengunjungi restoran mamak atau hailam, perlu ada perhatian lebih serius mengenai kesahihan logo halal yang dipamerkan.
Mungkinkah masalah itu disebabkan sikap sambil lewa ramai muslim yang mudah percayakan logo yang dipamerkan.
Siapa yang mengeluarkan sijil atau logo halal berkenaan? Sekiranya logo halal mudah diberikan kepada pengusaha restoran bukan beragama Islam, kita tidak boleh menyalahkan peniaga berkenaan.
Bukankah agama Islam itu sendiri menuntut umatnya menghormati antara satu sama lain? Sekiranya ada pelanggan yang beragama Hindu datang ke restoran saya, saya akan bertanya, bolehkah dia mengambil daging lembu kerana kita menghormati agama yang dianutinya.
Justeru, kepada mana-mana pihak yang bertanggungjawab mengeluarkan logo halal, mereka sewajarnya perlu melakukan penyelidikan, bukan sewenang-wenangnya logo berkenaan dikeluarkan.
Pernahkah Datuk sendiri berdepan masalah restoran yang memaparkan logo halal yang meragukan.
Tak pernah pula. Saya hanya mengunjungi restoran yang saya yakin makanannya halal. Kalau tak yakin, saya tak makan. Sekiranya masih ragu-ragu, makan saja di rumah sendiri, masak nasi, goreng telur dadar tambah kicap dan buat sambal belacan!
Sambil makan boleh menonton TV. Itu sah-sah kita tahu di mana sumbernya dan siapa yang masak. Namun, saya yakin kebanyakan rakyat Malaysia lebih menghormati agama masing-masing. Sekiranya kita mahu orang lain menghormati Islam, kita juga harus menghormati agama lain.
Berdasarkan pengalaman sebagai pengusaha restoran, apakah Datuk berdepan kesukaran mendapatkan logo halal ini.
Saya tidak nafikan, Khadijah’s Kitchen memang sukar nak memperoleh logo halal. Siapa yang sembelih ayam, daripada mana sumbernya, semua itu diambil kira. Bukan restoran di Kuala Lumpur saja yang menghadapi kesukaran memperoleh logo halal, sebaliknya premis di luar bandar juga berdepan masalah sama.
Semua permohonan perlu dibuat menerusi online.
Saya sendiri masih menunggu mendapatkan logo halal untuk dipamerkan di Khadijah’s Kitchen. Terus-terang saya katakan, selama dua tahun saya menunggu, namun logo berkenaan masih belum diperoleh untuk dipamerkan di premis saya.
Bagi saya, apalah salahnya kita ketepikan permohonan menerusi online itu, sebaliknya pihak berwajib datang ke restoran melakukan pemeriksaan. Contohnya, restoran yang saya usahakan di New Zealand beroperasi selama 12 tahun, tapi tak pernah pun ada sijil halal kerana undang-undang negara berkenaan tidak memerlukannya.
Namun, setiap dua minggu sekali, ada pihak berwajib datang ke restoran membuat pemeriksaan. Mereka percaya kepada kebersihan dan mutu makanan yang saya sajikan kepada pelanggan. Bagi saya, maksud halal itu sendiri perlu kita fahami sedalam-dalamnya.
Pada pandangan Datuk, apakah punca kesukaran itu.
Seperti yang saya nyatakan tadi, setiap permohonan untuk mendapatkan sijil atau logo halal perlu dibuat secara online. Bayangkan, jika di premis berkenaan ada 30 menu makanan, kita perlu memasukkan setiap data dalam komputer satu persatu.
Tidak semestinya ada logo halal, barulah mereka dibenarkan beroperasi. Bagi saya, yang penting kebersihan dan daripada mana sumber makanan itu kita peroleh. Sekiranya sumber makanan berkenaan kita yakin halal, bersih, orang yang menyembelih daging ayam dan lembu pun orang Islam, tapi yang memasak makanan itu bukan orang Islam, bagi saya ia tetap halal dan boleh dimakan oleh orang Islam.
Mungkin Datuk ada cadangan bagi mengatasi masalah ini.
Bagi saya, pengusaha atau pemilik premis makanan orang Islam, perlu diberi pengecualian daripada memiliki sijil atau logo halal. Kepada pihak yang bertanggungjawab, berilah sedikit kelonggaran.
Sekiranya pemilik restoran terdiri daripada orang bukan Islam, namun menyediakan makanan untuk umat Islam, JAKIM perlu mengunjungi premis berkenaan untuk memberi bantuan dalam bentuk khidmat nasihat.
Saya mengusulkan perkara ini bukan untuk kepentingan diri semata-mata, sebaliknya mewakili peniaga makanan yang lain. Bagaimanapun, setiap apa yang kita makan, kita harus peka dengan kesahihan maksud halal itu.
Disertakan dibawah komen dari JAKIM
"KENYATAAN MEDIA BERKENAAN ARTIKEL “TIDAK PERLU BANYAK BIROKRASI LOGO HALAL, JAKIM PATUT UTAMA PEMILIK RESTORAN MUSLIM”
1. Saya ingin menjelaskan isu yang dibangkitkan oleh pemilik restoran Khadijah’s Kitchen yang mendakwa beliau menunggu selama dua tahun untuk mendapatkan sijil halal dari JAKIM.
2. Secara ringkas dimaklumkan bahawa beliau telah menghantar permohonan melalui sistem online e-Halal kali pertama pada 17 Ogos 2007. Permohonan tersebut tidak dapat diproses kerana tiada sebarang dokumen sokongan dihantar dan permohonan tersebut telah ditolak pada 28 Ogos 2008. Beliau telah membuat permohonan kali kedua pada 2 Julai 2009 melalui sistem online e-Halal. Pihak HDC telah memaklumkan bahawa permohonan tersebut tidak lengkap pada 6 Julai 2009 dan sistem telah menolak permohonan tersebut secara automatik pada 1 Mei 2010 setelah penambahbaikan system e-Halal yang dijalankan oleh JAKIM melalui khidmat kepakaran Pasukan Perunding ICT Sektor Awam (PPICTSA) MAMPU dan Business Re-ingeneering (BPR).
3. Adalah menjadi tanggungjawab pemohon untuk menyemak dan mengemaskini maklumat serta status permohonan dari semasa ke semasa melalui system e-Halal.
4. Atas kerjasama pihak media dalam mewar-warkan perkara ini kepada orang awam diucapkan ribuan terima kasih.
JAKIM hanya mengiktiraf pensijilan HACCP yang dikeluarkan oleh Pihak Berautoriti
Pada PJ, menarik juga artikel ini...kalau boleh senaraikan nama pemberi sijil yang diiktiraf lagi baik dan jelas. Kalau tak silap saya yang diiktiraf hanya 3 sahaja iaitu MOH, SGS dan satu lagi antara MOODY dan SIRIM. nampaknya masih banyak yang keliru kaitan halal dengan keselamatan makanan. pada saya mudah sahaja bagi "layman" nak faham.
1) Kalau ada HACCP atau at least GMP, maka pensijilan HALAL ada sikit mudah sebab banyak hal-hal berkaitan kebersihan dan keselamatan makanan telah diambilkira dan ditangani. Sebahagian dari bahagian teknikal HALAL berkait rapat dengan elemen GMP cuma perlu intensify bab kehalalal bahan mentah/aditif makanan punya sumber dll.
2) Kalau ada HALAL, tidak semestinya senang dapat GMP dan HACCP sebab banyak elemen-elemen GMP dan prinsip-prinsip HACCP yang jauh dari pendekatan dokumentasi HALAL
PENGUMUMAM RASMI DARI JAKIM
1. Sehingga kini Pensijilan Halal Malaysia tidak mewajibkan mana-mana industri yang ingin mendapat Sijil Halal perlu terlebih dahulu mendapat pensijilan HACCP, namun pensijilan HACCP yang dimiliki oleh industri merupakan bonus dan keperluan tambahan serta diberi penilaian dalam pensijilan halal. Sama seperti Pengesahan Halal, terdapat pihak swasta yang turut memberi pensijilan HACCP kepada industri yang memohon.
2. Baru–baru ini syarikat WINNER FOOD INDUSTRIES telah menghantar aduan kepada MAMPU yang tidak berpuas hati permohonanya ditolak sedangkan produknya dijamin bersih kerana telah mendapat pensijilan HACCP. Untuk makluman semua kegagalan pemohon bukan sahaja disebabkan oleh masalah kebersihan dan keselamatan makanan tetapi perkara yang paling asas ialah kegagalan pemohon mengisytiharkan apakah harada 41 dan sumber perolehannya yang digunakan dalam pemprosesan kuew tiau.
3. Kepada para pengguna terutama warga JAKIM sila beri perhatian terhadap label HACCP yang terdapat pada produk kerana bukan semua pensijilan HACCP dikeluarkan oleh Pihak Berautoriti dan dijamin keselamatannya. Terdapat industri yang mendapat pensijilan HACCP tetapi dijumpai puntung rokok di kawasan pemprosesan makanan seperti yang berlaku kepada WINNER FOOD INDUSTRIES.
Sekian terima kasih.
Saya yang menurut perintah
( SAIMAH BINTI MUKHTAR )
Lagi Kopitiam Diragui Status Kehalalannya
Dalam operasi ini juga, pihak JAKIM, JAWI dan KPDNKK telah mendapati bahawa premis makanan tersebut telah menggunakan sjil halal swasta yang tidak diiktiraf (Islamic Food Research Centre & Asia Region) oleh kerajaan Malaysia serta menggunakan bahan makanan mentah iaitu ayam yang disyaki dibekalkan dari rumah sembelihan ayam yang tidak mendapat pengesahan halal. Berikutan dari itu, tindakan susulan telah dilakukan oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri,Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) ke atas syarikat tersebut.
“Hasil dari pemeriksaan yang telah dijalankan, didapati premis berkenaan telah mempamerkan sijil halal swasta yang tidak mendapat pengiktirafan dari kerajaan Malaysia. Oleh yang demikian, syarikat didapati telah menyalahi Prosedur Pensijilan Halal Malaysia, di bawah Klausa 6.6.6 Penyediaan, pengendalian, pemerosesan, pembungkusan atau pemindahan produk hendaklah dalam keadaan bersih dan tidak mengandungi bahan ramuan yang tidak halal mengikut hukum syarak, 16.7.2 (ii): Kesalahan Besar memiliki sijil halal palsu atau menggunakan logo halal tanpa mendapat kebenaran daripada pihak berkuasa yang diiktiraf”.
SIJIL HALAL PRODUK NIHOMA...
Dilampirkan sijil halal yang dikeluarkan oleh pihak JAKIM kepada pihak Sharp-Ware Corporation (M) Sdn Bhd
Sijil tersebut sah sehingga 16 Julai 2015
Perunding Jalanan
Sunday, June 27, 2010
KONSEP GMP KOMPLEKS KIMAR MUKIM BATU-PART 3
Buat pengetahuan semua, semasa pelan konsep KIMAR dibentangkan beberapa tahun lalu, pihak Perunding telah bersetuju tentang beberapa perkara berkaitan perkara di atas ;
1) Laluan di bahagian luar KIMAR adalah laluan sehala.
Ini disebabkan masalah bukaan jalan yang kecil. Ini bermakna kenderaan pembekal yang menghantar bahan mentah/aditif makanan/bahan pembungkus dan kenderaan syarikat/syarikat pengangkutan yang dilantik untuk mengangkut produk keluaran syarikat perlu mematuhi arah laluan dan berhenti di kawasan penerimaan/penghantaran mengikut kategori produk masing-masing
2) Hanya forklift dibenarkan berlegar di dalam Kompleks KIMAR
Selain dari faktor struktur binaan, ianya adalah berkaitan dengan ke"GMP'an Kompleks KIMAR. Forklift yang dibenarkan adalah dari jenis "battery operated" sahaja bagi mengurangkan kehadiran pencemaran dalam kawasan penimbal (Kompleks KIMAR berfungsi sebagai passbox...nak kata air lock system ketat sangat ???). kalau pengilang tak mampu beli forklift, heretlah dengan apa cara pun janji jangan lori masuk dalam kompleks, sudah !!!. Pengecualian diberikan kepada Syarikat yang ingin membawa masuk/keluar peralatan yang sememangnya tidak mampu diangkat dengan forklift dengan syarat individu terlibat mengambil langkah yang bersesuaian untuk mengurangkan kadar pencemaran. Contohnya matikan enjin semasa penerimaan/penghantaran bagi mengelak pencemaran asap kenderaan dll. Forklift untuk dalam Kompleks kalau boleh hanya dibenarkan berlegar di dalam Kompleks sahaja. Nanti takde ler tayarnya asyik tercemar aje. Banyak yang tak bersetuju kononnya tak praktikal. Mintak maaf bebanyak. Bukan saya yang cadang. Saya cuma imbas semula sahaja.
Perkara pasal GMP memang banyak yang tak logik dan tak praktikal contohnya pekerja mesti memakai kasut bertutup ikut MS1514:2009. If someone can answer me, berapa peratus pencemaran makanan disebabkan oleh kaki?. Adakah dengan memakai selipar CROCS yang bersepah jual di Uptown, pencemaran karipap anda oleh patogen meningkat. Mengapa "viewing panel" tak boleh diperbuat daripada kaca atau "tempered glass". Berapa kerapkah "viewing panel" pecah dan masuk ke dalam makanan dan lebih teruknya, pengilang tak perasanpun "viewing panel" tersebut pecah ? Adakah mereka tahu harga akrilik/polycarbonat mahal giler.
3) "Roller shutter" sentiasa ditutup kecuali ada penerimaan dan penghantaran
Yang ni tak pasti dari segi penyelarasannya samada memang ada kakitangan yang ditugaskan di bahagian penerimaan dan penghantaran dan dibayar gaji oleh pihak pengurusan atau pihak MARA. Masih boleh dibincang untuk dapat penyelesaian lebih terperinci.
4) Adakan satu laluan masuk dan satu laluan keluar bagi pekerja Kompleks
Ini bagi memudahkan pengawalan keluar masuk pekerja ke dalam Kompleks. Jadi cantik sikit ler pelan laluan pekerja Kompleks KIMAR. Kalau dapat buat jenis "U" . Atau kalau dah susah sangat, buat laluan masuk KIMAR sebagai laluan keluar dan masuk pakej. Letak CCTV senang kalau ada apa-apa kejadian yang tak diingini. Cari ler CCTV yang ada "night vision". Nanti org merompak malam, kabur jer sebab lux tak cukup. Tak guna jugakkan.
5) One Rule, Fits All
Takde pengecualian untuk peraturan-peraturan di atas bagi mana-mana Pengarah Syarikat/Pengurus/Org yang ada duit/Orang yang ada kuasa/Halimunan/Makhluk perosak yang rasanya boleh merasuah mana-mana pekerja yang akan digajikan kelak. Be fair and square. Nanti kalau dah sorang langgar kontrak, orang lain akan mengekor. Itu sebab CCTV perlu dipasang 24 jam dalam Kompleks KIMAR terutama di semua laluan keluar masuk samada aktif atau tidak aktif bagi mengesan kemasukan Pengarah Syarikat/Pengurus/Org yang ada duit/Orang yang ada kuasa/Halimunan/makhluk perosak ke dalam Kompleks KIMAR.
6) Forklift, siapa yang akan beli/uruskan.
Isu ini juga masih tergantung. Dulu Perunding mencadangkan Management Company membeli beberapa Forklift dan menyewa kapada pengilang. Ini bermakna, sesiapa yang akan menguruskan kemudahan ini perlu memikirkan dari segi bilangan yang diperlukan, penyelarasan, nak parkir kat mana dalam Kompleks KIMAR dan perlu "allocate" satu bengkel kecil kalau rosak bagi memudahkan pembaikan. Tak messy sangat. Bagi Syarikat yang ada forklift sendiri, perkara-perkara di atas juga perlu difikirkan.
Cukup sampai di sini dulu, nanti kalau ada masa, PJ ulas lagi tentang perkara lain pulak.
Monday, June 21, 2010
KONSEP GMP KOMPLEKS KIMAR MUKIM BATU PART 2
KEPERLUAN MAKMAL BAGI KOMPLEKS KIMAR
Selamat pagi semua...baru ada masa nak coret sikit sambungan entri sebelum ini. kali ni mari kita bincangkan sikit tentang Makmal. Pada perancangan awal dulu, Perunding dan MARA terutama Dato' Othman yang pada ketika itu adalah Pengurus Projek ini telah mencadangkan Kompleks KIMAR mempunyai Makmal Sepusat (IQA Lab). Even kalau tengok kat "blue print" pelan tu memang ada dimasukkan kawasan untuk kemudahan ini.
Makmal ini akan membolehkan ahli KIMAR menghantar sampel makanan untuk menjalankan analisis yang dijalankan sekali sekala dan memerlukan pekerja dengan kemahiran yang tertentu untuk menjalankannya. Contohnya analisis mikrob, logam berat dan lain-lain analisis kimia dan fizikal yang boleh dimasukkan sebagai salah satu kandungan dalam sijil analisis produk akhir terutamanya sebagai salah satu dokumen untuk pembeli produk kita (jangan ingat pembekal jer yang perlu bagi CoA, surat jaminan dll....kita sebagai pengeluar juga perlu sekali-sekala bagi pada pembeli kita....baru ler kilang GMP selain kita sendiri yakin dengan kualiti dan keselamatan produk yang dikeluarkan???). Analisis untuk bahan mentah (anda ingat JBA nak bagi CoA potable water {kononnya boleh terus diminum...rumah org JBA lagi besar penapisnya, apa maknanya tu} yang diorang hasilkan...fikirkan semula) dan produk WIP juga boleh dibuat di Makmal ini sebagai langkah pemantauan berterusan produk keluaran Syarikat. Dato' Man dapat idea ni apabila beliau melawat kilang berbentuk Kompleks ni di Campden, Bangkok dll. Atas dasar itu, Perunding tidak memperuntukkan ruang yang besar untuk makmal internal bagi setiap kilang individu. Makmal kecik kat dalam kilang masing-masing adalah berfungsi sebagai "in-line lab" sahaja untuk menjalankan analisis rutin yang mudah seperti pH, Brix, Sensori dll. Lagi pun ikut kehendak GMP, tak mensyaratkan pula memerlukan makmal dalaman tapi analisis mengikut keperluan, itu yang lebih ditekankan.
Persoalannya sekarang, siapa yang akan mengoperasi Makmal ini sekiranya diwujudkan oleh MARA kelak. Kalau tanya saya, tak payah pening kepala MARA nak buat makmal, "outsource" jer kat mana-mana makmal yang dah ada SAMM untuk buat bisness kat sini. Syaratnya untuk penghuni KIMAR ada diskaun sikit ler. Syarikat ini juga boleh menawarkan khidmat mereka pada lain-lain Syarikat dalam Industri Makanan, so takdelah sempit sangat ruang lingkup perniagaan mereka. Nak bangunkan makmal, kos tinggi woi.
Thursday, June 17, 2010
KONSEP GMP KOMPLEK KIMAR MUKIM BATU-PART 1
Salam Semua,
Setelah lama tak menjenguk rumah buruk ni, saya terpanggil untuk memberikan pandangan tentang perkara ini bagi kepentingan semua ahli KIMAR dan MARA yang telah menghabiskan berjuta-juta ringgit untuk mewujudkan projek ini . Maklumlah projek ini telah dirancangkan pada tahun 2005. Pegawai MARA yang asal dan perunding-perunding ada yang dah pencen, ada yang dah naik pangkat, ada yang merajuk dan terbaru ada yang dah tak berupaya kerana masalah kesihatan. Kalau saya tak ambil inisiatif untuk menerangkan konsep asal, maka perancangan MARA akan sia-sia. Mari kita bersikap terbuka dan anggaplah ini sebagai semakan semula agar bagi projek-projek akan datang, masalah yang sama tidak akan berulang semula Saya akan ulas satu topik dalam satu masa. Terdapat beberapa aspek yang telah dikenalpasti yang akan saya ulas mengikut keperluan. .Antara topik tersebut adalah seperti dibawah :
1) Keperluan Bilik Persalinan
2) Keperluan Makmal Utama bagi Kompleks KIMAR
3) Konsep laluan keluar masuk pekerja dan produk ke dalam Kompleks Kilang
4) Penyelenggaraan Kompleks - Siapa yang mengurus - Penyelenggaraan umum - Kawalan makhluk perosak - Kontraktor Pencucian - Waste water treatment
5) Keperluan kemudahan tambahan
- Forklift
- Klinik
- Kantin
- Surau dll
6) Keperluan tenaga manusia Pengurusan Kimar Mukim Batu
7) Keperluan LPG
8) Kaitan aspek binaan sekarang dengan kualiti dan keselamatan makanan
9) Kepincangan beberapa aspek binaan asas dan cara mengatasi
- Pest proofing
- Tandas
- Lubang dan bukaan
- Siling
10) Latihan kakitangan
11) Lain-lain aspek yang berkaitan
Untuk permulaan, saya akan ulas tentang Keperluan Bilik Persalinan. Pandangan saya tentang keperluan Badan Pengurusan Kompleks, boleh dibaca dalam entri terdahulu.
Mari kita recall semula perbincangan konsep ini 5 tahun yang lalu. Kita telah bentangkan konsep ini di Grand Season KL tapi takde orang membantah....kita maksudnya UNIPEQ dan Perunding UNIPEQ. Saya bukan Perunding masa tu....kalau ini salah, jangan tuding jari pada saya...Kalau siapa masih ingat, Perunding Unipeq bentang konsep ni pada Datuk Ali. Dato' Othman masa tu jaga projek ni. Ingat lagi Noraini Cookies mengamuk pasal MARA buang duit pada projek ni dan tak bantu Syarikat individu seperti dia yang telah beberapa kali ditolak permohonan bantuan MARA then datuk Ali mengamuk sakan. It was hillarious.
Perlu diingatkan bahawa, Kimar Mukim Batu adalah Kompleks Kilang GMP. Nak sampai ke kilang individu, kita perlu melalui 2 halangan utama iaitu Pagar Kimar (Fasa 1 dan 2) sebagai halangan primer dan bangunan Kompleks Kimar sebagai halangan kedua. Masuk saja ke bangunan utama, semua individu mesti menukar amalan dan berpakaian seolah-olah memasuki sebuah kilang GMP walaupun pada dasarnya tiada pemprosesan dijalankan di luar kilang individu. Ingat ni, kompleks Kimar adalah "KAWASAN PENIMBAL". Kalau boleh, merokok pun dilarang di dalam Kompleks ini. Pada syarikat yang berangan-angan nak adakan "smoking area" kat tepi kilang masing-masing, tolong kuburkan niat murni anda.
Berbalik kepada persoalan Bilik Persalinan, apa yang boleh dibuat oleh MARA adalah :
1) Pilih ruang yang bersesuaian untuk kemudahan ini
MARA perlu memilih beberapa lokasi Bilik Persalinan bagi setiap kelompok kilang. Ini bermakna, sekurang-kurangnya 3 Bilik Persalinan diperlukan bagi Komplek KIMAR. (Ingat konsep asal ada 3 kelompok kilang iaitu kelompok produk kategori kering, basah dan separa basah dan kritikal???) Tak logik la pulak, pekerja masuk dari laluan utama lepas tu ke satu Bilik Persalinan sahaja untuk menukar pakaian sebelum memasuki kilang individu. Bilik persalinan mestilah sedekat mungkin dengan kilang individu dan selaras dengan bilangan pekerja bagi setiap kelompok. Dalam KIMAR majoriti pengilang masuk dalam kelompok kategori produk kering, so Bilik Persalinan kategori kering mesti lebih besar secara bandingan. Anggaran pekerja bagi Kompleks KIMAR adalah 200-400 orang (Berdasarkan kajian profil pekerja, produk dan keperluan utiliti yang dibuat oleh UNIPEQ 4 tahun dulu oleh En Zakaria Mat Tawi)
2) Naik taraf bilik ini.
Bilik persalinan mesti dilengkapi dengan kemudahan loker, bilik mandi, sinki basuh tangan dan lain-lain kemudahan yang bersesuaian.
3) Tetapkan SOP bagi pekerja yang bekerja di Kompleks Kimar Mukim Batu
"House rules" perlu ditetapkan bagi pekerja yang bekerja di Kimar Mukim Batu (Bagi tujuan perbincangan ini, kita fokus kepada Bilik Persalinan dulu). Bagi kilang yang mempunyai Bilik Persalinan yang lengkap dan tersendiri takde masalah. You can go straight to ur factory. Bagi kilang yang tiada kemudahan ini, Pekerja perlu menukar pakaian luar kepada pakaian operasi/pakaian korporat kilang sebelum memasuki kilang Individu. Sebelum memasuki kawasan pemprosesan pula, pekerja perlu memakai pakaian pelindung khusus untuk kegunaan dalam kilang sahaja contohnya menukar kasut kepada kasut yang khusus (KILANG KERING JANGAN PAKAI BOOT PUA CHU KANG OK??? TAK SESUAI. I'VE SEEN SOMEWHERE BEBERAPA HARI LALU. SELUAR PENDEK LAGI TAK SESUAI KENGKAWAN. ADA YANG PAKAI KER???) dan pakaian pelindung tambahan seperti "chef jacket", apron dan overcoat mana yang bersesuaian dengan operasi kilang masing-masing. Ini bermakna, kalau pekerja nak gi tandas atau keluar rehat, mereka kena tanggal kasut dan pakaian pelindung tambahan dan ditinggalkan pada kawasan yang disediakan bagi mengelakkan ianya tercemar. Soalannya adakah perlu disediakan bilik khusus bagi tujuan ini. Saya punya jawapan senang saja, dalam Garis Panduan GMP dan MS1514:2009, hanya menceritakan tentang keperluan bilik persalinan (tanpa menjelaskan bagaimanan rupa dan saiz bilik tersebut).
Kalau MARA dapat sediakan Bilik Persalinan Utama, memadailah disediakan loker untuk meletakkan pakaian pelindung untuk kegunaan operasi, tempat sangkut pakaian (kalau boleh bertutup, tak semak) bagi menyangkut pakaian pelindung sekiranya pekerja perlu keluar kilang, bangku untuk menukar kasut dan tempat simpan kasut. Pastikan sebelum memasuki kawasan proses, terdapat kemudahan sanitasi yang bersesuaian.
BAGI KILANG YANG MEMERLUKAN "FOOT BATH" CONTOHNYA MACAM HIKMAH, MALINJA BAGI KILANG DAGINGNYA (ADA LAGI KER PRODUK NI, BUKAN TUKAR SEMUA ROTI KEBAB???), DAN ULTRA SEPADU, KORANG BOLEH PAKAI JENIS S/STEEL PORTABLE FOOT BATH. PASTIKAN ADA PENGERING KAKI, FLOOR TRAP SUPAYA SENANG NAK DRAIN OUT AIR KLORIN (KALAU KORANG GUNA KLORIN LER) DAN PAIP UNTUK "REFILL" BALIK FOOT BATH.
Baiklah, PJ nak tidur sat...nanti PJ akan sampung ulas tentang lain-lain perkara. Harap korang dah jelas tentang perkara ini. Kesimpulannya, samada MARA sediakan Bilik Persalinan Utama atau tidak, pengilang perlu adakan bilik persalinan di dalam kilang individu (bagi kilang yang masih ada ruang untuk tujuan ini) atau sekurang-kurangnya menyediakan ruang untuk meletak kemudahan-kemudahan seperti yang disebutkan di atas
Friday, June 11, 2010
CAMPUR ADUK BABI
Lebih menjijikkan, makanan berasaskan daging babi iaitu bebola babi diletakkan bercampur aduk dengan makanan halal seperti mi, kuetiau, bebola ikan dan kek ikan di dalam peti sejuk besar.
Amalan menjijikkan itu terbongkar hasil serbuan penguat kuasa Cawangan Pemantauan dan Penguatkuasaan Bahagian Hab Halal, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) Putrajaya di kilang terbabit di Taman Sutra, Sungai Petani, Kedah, Selasa lalu.
Menurut sumber Jakim, operasi diketuai Penolong Pengarah cawangan itu, Amri Abdullah dan disertai dua pegawai Jakim serta dua pegawai Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) Cawangan Sungai Petani, Kedah.
Katanya, serbuan dilakukan selepas pihaknya menerima aduan orang ramai berhubung kemusykilan status syarikat pengedar makanan terbabit yang dikenal pasti memasarkan produk mereka kepada pengguna Islam di Kedah.
“Hasil serbuan pada jam 11.30 pagi, premis terbabit adalah kilang menghasilkan mi dan kuetiau oleh pemiliknya seorang pengusaha bukan Islam. Pemiliknya juga tidak pernah memohon sijil halal daripada Jakim.
“Pada masa sama mereka turut mengedarkan tiga makanan yang diambil daripada pengusaha lain iaitu bebola ikan dan kek ikan yang ada kelulusan halal daripada Jakim.
“Namun, kesalahan dilakukan pemilik kilang terbabit ialah mencampurkan semua produk itu dengan bebola babi yang mereka peroleh daripada pengeluar lain,” katanya.
Menurutnya, pihak Jakim dan KPDNKK menyedari kewujudan produk berasaskan daging babi itu berdasarkan pemeriksaan terhadap senarai barang jualan yang turut mencatatkan ‘pork ball’ atau bebola babi.
“Hasil pemeriksaan, kami menemui peket bertulisan ‘pork ball’ yang dicampurkan dengan produk makanan halal mempunyai logo Jakim di dalam peti sejuk besar,” katanya.
Sumber itu berkata, percampuran produk halal dengan daging babi terbabit boleh menimbulkan syubahah (keraguan) dari segi hukum syarak dan tindakan pemilik kilang itu menyalahi peraturan dan garis panduan yang tertakluk dalam syarat pemberian Sijil Pengesahan Halal Jakim.
“Malah, siasatan lanjut mendapati produk babi dan makanan halal termasuk mi dan kuetiau dicampurkan di dalam satu lori sejuk beku yang sama sebelum dihantar kepada pelanggan dan peruncit di Sungai Petani,” katanya.
Menurutnya, ketika serbuan ada kira-kira 15 pekerja termasuk pekerja warga asing Bangladesh memproses makanan berkenaan dan kebanyakannya memakai pakaian yang memaparkan logo halal.
“Pekerja mereka pakai baju dengan logo halal sedangkan pihak syarikat turut menjual babi. Tindakan itu seolah-olah mempersenda Islam,” katanya.
Menurutnya, pemilik syarikat terbabit berusia 40-an memberi alasan mudah apabila memberitahu tidak tahu ia satu kesalahan mengikut hukum Islam.
“Susulan itu, KPDNKK merampas lebih 20 peket bebola babi berkenaan untuk tindakan lanjut. Siasatan turut mendapati syarikat terbabit tidak mempunyai lesen dari pihak berkuasa tempatan (PBT) untuk beroperasi,” katanya.
Dipetik dari Harian Metro 11 Jun 2010
Thursday, June 10, 2010
Thursday, May 27, 2010
Enak Tapi Tak Sah
KUALA LUMPUR: Nasi ayam dihidangkan enak bukan kepalang, namun berpuluh-puluh pelanggan yang sedang menjamu selera di sebuah kedai nasi ayam terkenal di Bukit Bintang, di sini, semalam tersentak apabila premis terbabit tiba-tiba diserbu pegawai penguat kuasa agama kerana didapati menggunakan logo halal palsu Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim).
Tindakan tidak bertanggungjawab pemilik kedai nasi ayam terkenal itu bagaimanapun berakhir apabila sepasukan pegawai Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) Putrajaya dan pegawai Jakim melakukan pemeriksaan mengejut sekitar jam 11 pagi semalam.
Sumber KPDNKK berkata, pemeriksaan dilakukan selepas pihaknya menerima aduan awam yang ragu terhadap status halal dan logo Jakim yang dipamerkan secara berlebih-lebihan di premis menjual nasi ayam berkenaan.
Menurutnya, pegawai KPDNKK dan Jakim yang melakukan pemeriksaan mendapati pemilik kedai nasi ayam terbabit menggunakan logo halal Jakim tanpa kebenaran.
“Pemeriksaan mendapati pemiliknya sengaja memasang logo halal Jakim bersaiz besar di hadapan dan sisi tepi restoran terbabit bagi menarik perhatian orang ramai. Siasatan lanjut mendapati kedai nasi ayam terbabit sebelum ini pernah diberikan pentauliahan sijil halal Jakim beberapa tahun lalu.
“Malangnya pemilik kedai terbabit gagal mematuhi syarat pensijilan halal Jakim menyebabkan sijil halal Jakim yang diberikan itu ditarik semula pada Oktober tahun lalu,” katanya.
Menurutnya, pemilik premis terbabit pernah diberikan notis supaya menurunkan logo halal terbabit, namun dia didapati ingkar dan masih menggunakan logo halal Jakim semata-mata untuk meraih keuntungan daripada pelanggan Islam.
“Tindakan menarik semula sijil halal diberikan sebelum ini berpunca sikap pemilik premis tidak menggunakan pekerja beragama Islam seperti disyaratkan sebalik menggunakan pekerja Myanmar serta Nepal untuk memasak dan menyajikan makanan.
“Malah, ketika serbuan dilakukan hari ini (semalam), pemilik kedai menjual nasi ayam itu masih enggan akur dengan nasihat Jakim apabila terus menggunakan khidmat lebih 10 pekerja warga asing bukan Islam di restoran berkenaan,” katanya.
Operasi terbabit yang diketuai Penolong Pengarah Bahagian Penguat Kuasa KPDNKK Putrajaya, Ismail Hamzah dan dibantu Penolong Pengarah Cawangan Pemantauan dan Penguatkuasaan Bahagian Hab Halal Jakim, Amri Abdullah kemudian bertindak tegas mengarahkan semua logo halal Jakim palsu itu ditanggalkan serta-merta.
Menurutnya, arahan tanpa kompromi itu dilakukan bagi memastikan logo halal Jakim terbabit tidak terus dimanipulasi bagi tujuan keuntungan perniagaan pihak tertentu. “Operasi yang berakhir sekitar jam 1.30 tengah hari itu dianggap berhasil apabila dua logo halal Jakim yang dipasang secara kekal berjaya dicabut. Malah, pemilik premis bersetuju memanggil kontraktor bagi melakukan kerja menanggalkan logo halal Jakim yang dipasang terlalu hampir dengan kabel elektrik.
“Pemilik premis terbabit yang berusia 50-an akur dengan kesalahan dilakukan itu dan berjanji untuk memohon semula sijil halal Jakim serta mematuhi syarat ditetapkan mengikut perbahasan halal,” katanya.
Dipetik Dari Harian Metro 27 Mei 2010




























