70 murid di Sungai Petani keracunan makanan
SUNGAI PETANI: Seramai 70 murid Tahun Tiga hingga Enam Sekolah Kebangsaan Taman Seri Wang, di sini, sakit perut dan muntah dipercayai kerana keracunan makanan selepas makan nasi goreng di kantin sekolah itu pagi tadi.
Dalam kejadian pada jam 10.30 pagi, beberapa murid sekolah itu mengadu sakit perut dan muntah selepas makan nasi goreng yang dijual di kantin pada waktu rehat sesi persekolahan.
Guru sekolah itu terpaksa menghantar murid terbabit ke Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH) di sini apabila mereka mengadu sakit perut.
"Kita belum mengenalpasti punca keracunan dan semua murid yang dirawat berada dalam keadaan stabil," katanya ketika dihubungi.
Seorang murid, Noor Syuhada Omar, 10, yang ditemui berkata, dia mula sakit perut ketika mahu ke kelas selepas menikmati nasi goreng di kantin.
"Beberapa rakan lain juga muntah dan sakit perut menyebabkan guru membawa kami ke hospital.
"Selepas dirawat serta diberi makan ubat, kesakitan itu berkurangan dan kami dibenarkan pulang," katanya.
Sementara itu, calon Barisan Nasional (BN) pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Selambau, Datuk S Ganesan turut meluang masa melawat kanak-kanak itu di Jabatan Kecemasan.
Beliau, yang sedih dengan kejadian itu berkata, ia tidak sepatutnya berlaku jika pihak pengendali makanan berhati-hati dalam menyediakan makanan sebelum dijual.
"Saya melihat perkara ini sebagai sesuatu yang serius kerana masalah ini boleh mengganggu pembelajaran anak-anak," katanya.