KLANG - AJ Food Industries (M) Sdn. Bhd. (AJ Food Industries), pengeluar produk sos berjenama Jasma, bermula sebagai satu idea yang menyahut seruan kerajaan untuk mempertingkatkan bilangan usahawan di negara ini selepas kemelesetan ekonomi pada tahun 1998.
Menurut pengarahnya, Juriah Jasmi, risiko tersebut diambil bersama adiknya, Ainual Azahar apabila melihat masih terdapat ruang dan potensi dalam menghasilkan aneka sos Barat bercita rasakan tempatan di pasaran.
Juriah dan Ainual yang merupakan pengurus produksi dalam industri teknologi makanan ketika itu, memulakan perniagaan dengan menggunakan wang simpanan mereka.
"Modal awalan kami bernilai RM10,000 yang digunakan sebaik mungkin bagi kerja-kerja penyelidikan dan pembangunan bagi mengkaji pasaran serta memperbaiki resipi yang ada.
"Sebelum memasuki pasaran secara besar-besaran, kami membuat beberapa sampel resipi untuk diedarkan kepada beberapa pelanggan berpotensi dan setelah mendapat pasaran, baru kami menggunakan wang simpanan lain untuk membuka kilang dan pejabat ini," katanya ketika ditemui di kilangnya di sini baru-baru ini.
Dipetik Dari KOSMO 20~11~2011