Sunday, October 24, 2010

Malaysia tak import keju tercemar


Oleh NURUL ANUAR KARI
pengarang@utusan.com.my

KUALA LUMPUR 23 Okt. - Malaysia tidak mengimport beberapa produk keju keluaran syarikat B.-d Paris Creek Pty. Ltd. yang dilaporkan ditarik balik dari pasaran Australia dan Singapura akibat pencemaran bakteria Listeria monocytogenes.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Liow Tiong Lai berkata, kementeriannya telah menghubungi syarikat yang beroperasi di Australia itu serta wakilnya yang memaklumkan produk terbabit tidak dipasarkan di Malaysia dan perkara itu disahkan Sistem Maklumat Keselamatan Makanan Malaysia (FoSIM).

"Negara pengeluar semua produk keju yang diimport oleh Malaysia sebelum ini telah diwajibkan mempunyai Sijil Kesihatan dan Sijil Analisis untuk bakteria Listeria monocytogenes sejak 1 Julai 2008.

"Pemantauan pihak kementerian dengan pemeriksaan ke atas 44 sampel produk keju sebelum ini juga mendapati kesemuanya mematuhi arahan dan tidak mengandungi bakteria tersebut.

"Bagaimanapun, kementerian telah mengenakan tindakan pemeriksaan Tahap 5 (tahan, uji dan lepas) di semua pintu masuk negara untuk analisis bagi mengesan bakteria tersebut dalam produk keju yang dibawa masuk dari negara lain," katanya melalui kenyataan akhbar di sini, hari ini.

Akhbar Sydney Morning Herald dan Suruhanjaya Pengguna dan Persaingan Australia sebelum ini mengeluarkan laporan dan kenyataan akhbar mengenai penarikan balik produk tersebut pada 19 Oktober lalu melalui laman web www.recalls.gov.au/content/index.phtml/itemld/996451.

Antara produk keju syarikat dari Selatan Australia itu yang ditarik balik dari pasaran adalah keju Paris Creek Cheese Norwegino, Paris Creek Cheese Gouda, Paris Creek Cheese Tilsit dan Paris Creek Cheese Cheddar.

Menurut Tiong Lai, makanan yang tercemar dengan bakteria Listeria monocytogenes boleh menyebabkan penyakit bawaan makanan dikenali listeriosis dengan gejala seperti demam kuat, sakit kepala yang teruk, kekejangan leher dan rasa loya.

"Wanita mengandung, warga emas dan mereka yang lemah sistem ketahanan badan merupakan kumpulan paling berisiko jika mengambil makanan yang tercemar dengan bakteria ini.

"Wanita mengandung yang dijangkiti juga berisiko mengalami kelahiran pramatang, jangkitan pada bayi yang dilahirkan ataupun kematian bayi dalam kandungan," jelasnya.

Orang ramai yang ingin mendapatkan maklumat lanjut berhubung aktiviti kawalan keselamatan dan kualiti makanan Kementerian Kesihatan juga boleh melayari laman web http://fsq.moh.gov.my.