Wednesday, August 11, 2010

OPS NIHOMA...PENGGUNAAN LOGO HALAL PALSU

Berikutan aduan awam berkaitan penyalahgunaan logo halal JAKIM/JAIN, Unit Pemantauan dan Penguatkuasaan Bahagian Hub Halal JAKIM beserta pegawai dari Bahagian Penguatkuasaan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) Cawangan Taiping telah menjalankan serbuan ke atas sebuah premis yang menjadi pengedar cawangan sebuah syarikat yang menjual penapis air jenama NIHOMA di Taman Pengkalan Setia, Taiping Perak.

Operasi diketuai oleh Ust. Mohd Amri Abdullah telah dijalankan pada 15 Julai 2010 bermula dari jam 1.00 petang dan berakhir pada jam 7.00 malam. Dalam operasi ini juga, pihak JAKIM dan KPDNKK Cawangan Taiping telah mendapati bahawa logo halal JAKIM telah digunakan pada produk tersebut bagi tujuan pemasaran yang lebih berkesan tanpa mempunyai sijil halal yang sah atau telah tamat tempoh.

“Hasil dari pemeriksaan yang telah dijalankan, didapati pemilik produk berkenaan telah menggunakan serta mempamerkan logo halal JAKIM pada produk tanpa mendapat sijil pengesahan halal yang sah dari pihak JAKIM atau JAIN. Oleh yang demikian, syarikat tersebut didapati telah menyalahi Prosedur Pensijilan Halal Malaysia, di bawah Klausa 16.7.3 (i) Penyalahgunaan Perbahasaan Halal/BAHEIS (ii) Penyalahgunaan logo halal JAKIM/JAIN/MAIN dan Seksyen 15(1) Akta Perihal Dagangan 1972 jika sabit kesalahan boleh didenda sehingga RM250,000”.

Dengan itu pihak KPDNKK Cawangan Taiping telah mengambil tindakan dengan menyita produk penapis air tersebut sebanyak 144 unit. Seterusnya tindakan lanjutan akan dilakukan kepada pemilik syarikat tersebut. Sementara nilai anggaran sitaan tersebut adalah RM 489,312.00.

Pengarah Hub Halal JAKIM Puan Saimah Mokhtar dalam mengulas operasi water filter ini, operasi antara agensi penguatkuasaan berkaitan halal seumpama ini sememangnya dipergiatkan dari masa ke semasa bagi tujuan membendung penyalahgunaan logo halal dari berleluasa. Ujar beliau lagi, hanya logo halal Malaysia yang dikeluarkan oleh JAKIM/JAIN/MAIN sahaja diperakui sah dan diiktiraf oleh kerajaan Malaysia dan pihak syarikat adalah dinasihatkan agar tidak menggunakan logo halal JAKIM dengan sewenang-wenangnya tanpa memiliki Sijil Pengesahan Halal Malaysia yang sah. Akhirnya beliau menasihati para pengguna agar sentiasa berwaspada dan berhati-hati dengan penggunaan logo halal Malaysia yang tertera pada setiap produk yang dikeluarkan dengan menjadi pengguna, pembeli dan pelanggan yang peka serta prihatin. Sekiranya terdapat sebarang keraguan dan kemushkilan, para pengguna boleh merujuk ke laman web hub halal iaitu www.halal.gov.my.