Tuesday, May 12, 2009

Pakar Budu


Hamidah bersama budu keluaran syarikatnya.

Hamidah guna resipi tradisi warisan bapa untuk hasilkan makanan unik berkualiti tinggi, mendapat permintaan ramai

BUDU sememangnya terkenal sebagai antara satu makanan tradisi masyarakat di Pantai Timur khususnya di Kelantan sejak zaman berzaman dan bagi Hamidah Mohd Amin, 40, budu jugalah yang mengubah nasib mereka sekeluarga.

Pengusaha budu berasal dari Kampung Hujung Repek, Bachok, Kelantan, ini sudah berkecimpung dalam industri pembuatan budu sejak lebih 18 tahun lalu menggunakan resipi tradisi warisan bapanya Mohd Amin Jenal, 70, dan namanya sudah cukup sinonim dengan masyarakat di negeri itu.

“Sebelum membuka kilang budu, saya dan suami, (Mohd Asri Mokhtar, 42,) menjalankan perusahaan memproses kicap, tetapi tidak bertahan lama sebelum beralih kepada perusahaan budu.

“Berbekalkan modal awal sebanyak RM12,000, saya hanya menjalankan perusahaan ini bersama keluarga, sebelum mengembangkan perniagaan secara komersial,” katanya ketika dikunjungi Berita Minggu.

Jelasnya, bukan mudah untuk menghasilkan makanan unik ini, apatah lagi cabaran untuk mengekalkan mutu rasanya kerana jika tersilap ramuan ia boleh merosakkan keasliannya.

Sehubungan itu, bagi menghasilkan budu, ikan bilis yang siap diproses digaul dengan garam, sebelum dimasukkan ke dalam bekas khas secara berperingkat dan diperam antara tiga bulan hingga setahun.

Selepas proses itu, ikan bilis akan dikeluarkan daripada bekas khas untuk dikisar menggunakan mesin khas dan dimasak menggunakan kawah besar untuk dijadikan budu.

Biasanya budu akan dimasukkan perasa dan pewarna dibenarkan. Sebelum dibotolkan budu akan ditapis terlebih dahulu bagi memastikan ia berkualiti tinggi.

Hamidah memasak budu menggunakan cara tradisional iaitu dapur kayu bagi mengekalkan rasa budu berkualiti tinggi, kaedah sama yang digunakan sejak dulu.

“Rahsia untuk menghasilkan budu yang berkualiti tinggi adalah terletak pada tempoh ia diperam, cara memasak dan ramuan digunakan. Ramuan perlu menepati timbangan ditetapkan kerana ia akan menentukan rasa dan kualitinya,” katanya.

Bahan asas untuk menghasilkan budu berkualiti tinggi dan disukai ramai ialah menggunakan ikan bilis usang.

Hamidah berkata, syarikatnya mengeluarkan dua jenis budu yang berbeza, iaitu budu rasa asli tidak dicampur dengan perasa serta pewarna serta budu biasa. Bezanya budu asli warnanya agak kehitaman.

Kini, ibu kepada empat anak ini mampu tersenyum bangga apabila budu keluarannya turut menembusi pasaran Thailand.

Budu keluaran syarikatnya yang dikenali sebagai Pati Bilis Sejati dan Selera Kampung Cap Petai itu mendapat sambutan menggalakkan dengan kadar pengeluarannya mencecah sehingga 24,000 botol sebulan.

“Budu ini dijual dengan harga antara RM1 hingga RM1.70 sebotol. Saya bersyukur dengan perusahaan ini, saya mampu menampung kehidupan keluarga dan memenuhi impian untuk memiliki kereta dan rumah idaman.

“Lebih membanggakan, perusahaan ini sebenarnya memberi peluang pekerjaan kepada penduduk sekitar kampung ini. Sehingga kini kami mempunyai 20 pekerja, semuanya penduduk kampung ini,” katanya.

Kebanyakan pekerja adalah wanita terdiri daripada suri rumah yang ditugaskan di bahagian pembungkusan termasuk kerja mengisi budu yang siap dimasak ke dalam bot sebelum dipasarkan.

Beliau mengakui menghadapi masalah mendapatkan bekalan ikan bilis terutama menjelang musim Monsun Timur Laut atau musim tengkujuh kerana ketika itu nelayan tidak turun ke laut menangkap ikan disebabkan ombak besar dan angin kencang.

Bagi mengatasi masalah bekalan ikan tidak menentu pada musim tengkujuh, beliau terpaksa mengimport ikan bilis segar daripada negara jiran, Thailand.

Profil: Hamidah Mohd Amin

  • Umur: 40

  • Lahir: 1969

  • Suami: Mohd Asri Mokhtar, 42

  • Anak: Nor Fatma Mohd Asri, 17; Nor Hafiza Mohd Asri, 14; Nor Najihah Mohd Asri, 11; Mohd Adlin Mohd Asri, 5.

  • Pendidikan:
    • Sekolah Kebangsaan (SK) Badak, Kelantan.
    • Sekolah Menegah Kebangsaan (SMK) Bachok, Kelantan.

  • Nama produk budu:
    • Pati Bilis Sejati
    • Selera Kampung Cap Petai

Kart Food Sasar 30 Peratus Sumbangan Segmen Eksport

DARI SUDUT KUALITI DAN KESELAMATAN MAKANAN...JADIKAN KART FOOD DAN KG PASTRY SEBAGAI BENCHMARK KALAU NAK JADI PENGUSAHA MAKANAN SEJUK BEKU YANG BERJAYA...

KART Food Industries Sdn Bhd (Kart Food), pengedar dan pengeluar makanan sejuk beku, menyasar peningkatan sumbangan eksportnya sehingga 30 peratus tahun ini, dibantu peluasan produknya ke pasaran sedia ada dan penerokaan pasaran baru.

Tahun lalu, syarikat yang mengedarkan produk seperti pau, roti canai dan karipap sejuk beku itu merekodkan jualan kira-kira RM18 juta dan ia disasarkan meningkat kepada RM30 juta tahun ini.

Buat masa ini, segmen eksport menyumbang 23 peratus kepada jumlah pendapatan Kart Food, dengan pasaran eksportnya termasuk Brunei, Singapura, Indonesia, Australia, Amerika, Kanada, England, Perancis, Afrika Selatan dan Emiriyah Arab Bersatu (UAE).

Ketua Eksekutif Kart Food, Mohd Fairuz Abdullah, berkata tahun ini syarikat merancang memasuki pasaran Asia Barat, dengan Arab Saudi menjadi landasan pertama baginya meneroka rantau berkenaan.

Katanya, syarikat turut merancang meneroka pasaran di Filipina yang mempunyai potensi besar kerana penduduknya yang ramai dan cita rasa makanan penduduk di negara berkenaan sama dengan produk yang dikeluarkannya.

“Sejak tahun lalu, kami memulakan misi menembusi kedua-dua pasaran berkenaan, tetapi tahun ini kami bersedia memasarkan produk jenama Kart,” katanya ketika ditemui di Pameran Halal Antarabangsa Malaysia (Mihas 2009) di Kuala Lumpur, semalam.

Mohd Fairuz berkata, selain meneroka pasaran baru, syarikat juga berhasrat mengukuhkan kedudukannya di pasaran sedia ada, terutama Indonesia yang menjadi antara penyumbang terbesar jualannya di luar negara.

Katanya, produk syarikat berkenaan kini boleh diperoleh di semua pasar raya utama di republik itu seperti Carrefour, Makro, Giant, Diamond, Foodmart dan Hero.

“Tahun ini, kami berhasrat menembusi pasaran perhotelan di Indonesia dengan menyertai pameran ‘Food Hotel Indonesia’ bulan lalu,” katanya.

Beliau menambah, jualan produk Kart di Indonesia bagi April saja mencecah RM500,000, mencerminkan potensi luas pasaran produknya di rantau berkenaan.

Mengulas mengenai perkembangan operasi domestiknya, Mohd Fairuz berkata, produknya kini boleh diperoleh di dalam penerbangan AirAsia dan rangkaian stesen servis Petronas di seluruh negara bermula Mac lalu.

“Produk yang kami jual adalah daripada program usahawan yang dilaksanakan bagi membuka peluang syarikat tempatan memasarkan produk mereka di bawah jenama Kart,” katanya.

Antara produk berkenaan, adalah kek keju, kuih muih Melayu, pau dan begedil yang boleh didapati di stesen servis Petronas manakala karipap pusar dan apam dijual di penerbangan AirAsia.

Tahan Panas Sehingga 180 Darjah Celsius



Pinggan ubi kayu berisi makanan tahan empat jam sebelum kembang.

JIKA anda memikirkan nasib dugong, ikan jerung atau penyu yang mati terjerut selepas termakan plastik, selain sampah sarap lambat lupus atau yang tidak boleh dilupuskan, anda pasti mengutuk diri anda sendiri kerana menjadi penyumbang kepada masalah itu.

Oleh itu kehadiran pinggan yang dihasilkan daripada ubi kayu memang dinantikan kerana ia boleh menggantikan pinggan pakai buang yang turut menjadi ejen pencemaran dan penyumbang kepada sampah sarap.

Uniknya pinggan ubi kayu yang dikeluarkan Natures Harmony Industries Sdn Bhd (NHI) boleh dimakan. Ia tiada rasa, tidak mengenyangkan tetapi unik dan istimewa.

Pinggan ubi kayu mesra alam dan dapat mengurangkan penggunaan bekas makanan yang diperbuat daripada plastik dan polistrin.

Walaupun pinggan ubi kayu boleh bertahan selama dua tahun sebelum lupus sendiri, ia boleh dibiourai dengan pantas jika dicampak ke tanah dan lupus dengan mudah jika terendam dalam air manakala sisanya boleh dijadikan bahan makanan binatang ternakan.

Proses penghasilannya juga mudah. Pinggan yang diperbuat daripada 99 peratus tepung ubi kayu ini bermula sebagai tepung yang diformulasikan selama 20 minit, sebelum diuli dalam mesin uli selama 30 minit.

Selepas menjadi doh, ia akan dipotong kecil-kecil menggunakan mesin. Doh dimasukkan ke dalam acuan khas mengikut putaran mesin. Untuk menghasilkan 6,000 biji pinggan, 17 kilogram doh diperlukan. Acuan dibakar antara 220 hingga 240 darjah Celsius dengan anggaran setiap 45 saat sekeping pinggan pakai buang boleh dihasilkan.

Proses untuk menghasilkan mangkuk, bekas makanan dan talam daging juga sama hanya acuannya saja berbeza.

Mampukah pinggan ubi kayu menahan kepanasan makanan atau menyerap cairan? Melalui penyelidikan dan pembangunan, NHI menghasilkan pinggan pakai buang itu dengan formulasi istimewa yang mana ia boleh menahan panas sehingga 180 darjah Celsius atau selama empat jam tanpa menjejaskan bentuk dan ketahanannya.

Untuk makanan sejuk, pinggan ubi kayu boleh bertahan lebih dari sehari. Ini kerana antara proses akhir penghasilannya adalah melindunginya dengan salutan khas bagi menahan kelembapan.

Lapisan salutan ini sama sekali tidak menjejaskan konsep mesra alam yang dipromosikan kerana salutan itu dibuat daripada polimer terpilih yang selamat untuk penggunaannya. Ia juga adalah salutan standard digunakan dalam industri penyediaan makanan yang membantu produk ketahanan produk.

Dalam sebulan, lapan tan metrik tepung ubi kayu digunakan untuk menghasilkan 1.5 juta pinggan, tetapi dengan tempahan yang meningkat, dijangka antara 30 hingga 50 tan metrik ubi kayu diperlukan untuk menghasilkan sekurang-kurangnya 48 juta unit pinggan.

Namun, bukan sebarang ubi kayu boleh diuli untuk dijadikan pinggan pakai buang. Hanya ubi kayu jenis KU 55 boleh diproses menjadi pinggan kerana ia lebih tinggi kandungan seratnya manakala ubi kayu jenis lain kurang serat yang menyukarkan proses pembentukan pinggan.

Berbanding dengan harga pinggan pakai buang lain, pinggan ubi kayu mungkin sedikit mahal di pasaran iaitu RM3.50 untuk 10 keping.

R & D: Pasteur elektrik



HISHAMUDDIN (kiri) dan Norman menunjukkan cara menggunakan mesin Pempastur Ohmik.

Penyelidik UPM cipta mesin memanaskan makanan mesra alam, jimat kos bahan bakar

PENYELIDIK Universiti Putra Malaysia (UPM) mencipta mesin memanaskan makanan Mesin Pempastur Ohmik yang mesra alam, sekali gus memanfaatkan tenaga elektrik tanpa menggunakan dandang wap yang memerlukan bahan bakar.

Mesin itu lebih mudah dan praktikal kerana makanan dipanaskan lebih pantas serta menyeluruh menggunakan haba dalaman daripada arus ulang alik (AC) yang mengalir melalui cecair.

Ketua kumpulan penyelidik berkenaan, Prof Ir Dr Norman Mariun, berkata penggunaannya membolehkan pengusaha industri makanan dan minuman menjimatkan kos operasi antara 30 hingga 75 peratus, selain menghasilkan produk bermutu kerana berupaya mengurangkan kegiatan mikro organisma yang boleh merosakkan makanan.

"Pengusaha industri makanan dan minuman tidak perlu risau mengenai harga diesel atau gas yang tidak menentu atau kos pendandang wap yang mahal kerana ia dapat mengurangkan penggunaan bahan bakar dalam industri itu dengan memanfaatkan sistem elektrik.

"Proses pempasturan menggunakan Pempastur Ohmik mudah dan murah tetapi menghasilkan produk berkualiti tanpa menggunakan dandang.

"Makanan dan minuman dipasturkan seperti jus, susu dan sos juga boleh disimpan lama dalam suhu rendah kerana proses membabitkan kawalan suhu serta masa dapat memastikan tidak cepat rosak," katanya.

Mengulas kelebihan mesin itu, Norman berkata, ia mampu menjana haba lebih cekap iaitu pada kadar 95 peratus berbanding 40 hingga 60 peratus menggunakan dandang.

Katanya, hal itu kerana pemanas ohmik menjana haba yang perlu saja dan pengguna tidak perlu menunggu alat menjadi panas untuk digunakan, selain tiada air dandang untuk dirawat.

"Dengan menggunakannya, kos modal dapat dijimatkan antara 30 hingga 60 peratus, kos pengendalian (50 hingga 75 peratus) lebih rendah dan penjimatan bahan bakar (10 hingga 50 peratus).

"Walaupun harganya sekitar RM15,000, ia dapat menjimatkan kos operasi pengusaha bagi jangka panjang kerana melaksanakan sistem penjanaan dan penggunaan tenaga yang cekap," katanya.

Norman berkata, mesin Pempastur Ohmik boleh disesuaikan kapasitinya mengikut keperluan industri iaitu 250 liter sejam bagi syarikat kecil, 500 liter sejam untuk perusahaan kecil dan sederhana serta 1,500 liter sejam bagi syarikat besar.

Hasil inovasi bersama rakan penyelidik, Hishamuddin Jamaludin, Dr Hisham Hizam, Nurulfaezawaty Jamaludin dan Arash Toudeshki itu mendapat pengiktirafan peringkat antarabangsa apabila memenangi pingat emas Exhibition of Ideas- Inventions- New Products (iENA) 2008, di Jerman, selain Anugerah Inovatif Malaysia sempena Pameran Reka Cipta, Inovasi dan Teknologi 2008.

Bagi memasarkan mesin itu, UPM mengatur dua strategi iaitu mempromosi kepada beberapa syarikat untuk memohon Dana Tekno serta melantik perunding bagi melaksanakan kajian pasaran.

Pemegang Sijil Halal Mesti Bertanggungjawab


RAMAI kita suka memilih makanan mengikut kemampuan, keinginan dan selera masing-masing tetapi tidak ramai mengutamakan apakah makanan itu halal serta bersih menurut syariat Islam.

Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Wahai orang beriman, makanlah barang yang bersih daripada apa yang kami kurniakan kepada kamu.” (Hadis riwayat Muslim)

Baginda SAW menyebut mengenai seorang lelaki yang berjalan jauh dengan keadaan kusut-masai rambutnya dan berlumuran debu. Sementara kedua-dua tangannya menadah ke langit sambil berdoa, padahal makanannya haram, minumannya haram, pakaiannya haram, maka bolehkah diperkenankan Allah doanya.


Makanan suci dan bersih akan menjamin kesihatan yang baik. Justeru, di samping memilih makanan yang berzat dan berkhasiat, sebaik-baiknya perlu ditekankan akan kebersihan serta kesuciannya dari segi syariat agama.

Sabda Rasulullah SAW bermaksud: “Setiap daging yang tumbuh daripada makanan haram, maka api nerakalah yang layak baginya.” (Hadis riwayat at-Tirmizi)

Seseorang insan mukmin yang prihatin terhadap kebersihan dan kesucian makanan lahir cahaya keimanan dalam dirinya serta terdorong memastikan kebersihan diri secara keseluruhannya termasuk pakaian dan tempat tinggal.

Ibadat solat juga mengajar kepentingan menjaga kebersihan diri. Allah tidak akan menerima solat hambanya yang beribadat dalam keadaan kotor dan hina.

Keadaan ini sesuai maksud hadis Rasulullah SAW yang bermaksud: “Menjadi bersih kamu, kerana sesungguhnya Islam itu bersih.” (Hadis riwayat Ibnu Hibban)

Pemilihan makanan yang bersih dan halal menjurus kepada banyak perkara kerana pemakanan memberi kesan langsung kepada pembinaan sahsiah serta keperibadian.

Namun, itu bukan bermakna kita dihalang menikmati makanan cuma disuruh menjaga apa yang dimakan.

Allah berfirman yang bermaksud: “Makanlah apa yang dikurniakan Allah kepada kamu dari benda yang halal lagi bersih. Bersyukurlah dengan nikmat Allah jika kamu benar-benar menyembah Allah. Sesungguhnya Allah hanya mengharamkan kepada kamu memakan bangkai, darah, daging babi dan binatang sembelihan bukan kerana Allah. Maka, sesiapa yang di dalam keadaan terpaksa memakannya, sedang dia tidak sengaja dalam mencarinya, sesungguhnya Allah maha pengampun lagi maha penyayang.” (Surah al-Nahl ayat 114-115)

Makanan yang haram, sama ada dari bahan dicampur najis dan benda subahat atau daripada punca tidak halal, maka datang tiga bahaya besar kepada si pemakannya.

Pertama, makanan mempengaruhi jiwa seseorang sehingga dia merasa lebih gemar melakukan kejahatan dan maksiat serta bencikan kerja ketaatan.

Kedua, doanya tidak akan dimakbulkan Allah dan ketiga, menyebabkan dia akan mendapat seksaan neraka Allah pada hari akhirat kelak.

Apa juga bentuk makanan yang halal dan bersih perlu diikuti dengan peraturan memakannya. Makanan seimbang umpamanya dapat menghindarkan diri daripada dihidapi penyakit tertentu.

Rasulullah SAW menyarankan perut manusia diisi dengan satu pertiga air, satu pertiga makanan dan satu pertiga lagi adalah udara.

Daripada aspek adab pemilihan makanan, kita perlu menghindarkan diri daripada mengambil makanan yang sudah lama terbuka atau tin berkarat.

Selain adab makan dan memilih makanan, Islam turut melarang umatnya berlebih-lebihan dalam makanan dan minuman. Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Tiada bahaya yang lebih dibenci Allah daripada perut yang dipenuhi dan ketat dengan makanan halal.”

Banyak jenis penyakit bermula daripada salah pemilihan makanan termasuk makan secara melampaui batasan.

Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: “Perut adalah sumber penyakit dan berpantang adalah sebaik-baik ubat. Biasakanlah setiap tubuh dengan apa yang lazimnya.”

Allah murka kepada hamba yang suka melampau batasan termasuk dalam soal pemilihan, adab dan cara makan. Balasannya, Allah akan menurunkan pelbagai penyakit, sama ada menyerang manusia secara keseluruhannya atau individu.

Kelalaian serta kealpaan mereka menguruskan nikmat kurniaan Allah seperti makanan yang menjadi sumber tenaga untuk manusia melakukan kegiatan harian termasuk beribadat kepada-Nya.

Pembongkaran media massa mengenai penipuan penggunaan logo halal dan bahan makanan haram dijual sebagai halal di pasaran negara dari semasa ke semasa membuktikan masalah itu belum dapat ditangani dengan berkesan.

Sebenarnya isu halal dan haram ini berkisar kepada tiga perkara asas iaitu sikap pengguna beragama Islam terhadap makanan dibeli, kesedaran penjual dan tindakan penguatkuasaan untuk membendung penipuan sijil halal.

Walaupun di negara ini permohonan sijil halal adalah secara sukarela, pemantauan perlu diadakan sekerap mungkin bagi mengelak peniaga mengambil kesempatan menggunakan sijil halal yang diperoleh demi mengaut keuntungan daripada pengguna Muslim.

Menjadi tanggungjawab pihak berkuasa memastikan tahap kebersihan dan kesucian makanan menepati maksud sebenar dengan melakukan pemeriksaan berkala supaya syarikat pengeluar menjaga mutu kebersihan mengikut syarat ditetapkan.

Jangan hanya sebelum dikeluarkan sijil pemeriksaan teliti dibuat tetapi selepas itu, senyap begitu saja hingga berlaku penipuan penggunaan sijil palsu serta sijil yang sudah tamat tempoh.

Sijil halal membolehkan umat Islam meyakini kebersihan serta kesucian makanan yang dijual di premis berkenaan.

Persoalannya sekarang siapakah yang akan dipertanggungjawab jika umat Islam termakan makanan tidak halal tetapi mempunyai label halal?

Zaliah Pengusaha Kuih-Muih


ZALIAH YASSIN.


TIDAK pernah terlintas dalam hati Zaliah Yassin, 46, untuk bergelar pengusaha kerepek yang berjaya pada hari ini biarpun beliau pernah bercita-cita untuk menjadi seorang peniaga satu ketika dahulu.

Namun usaha yang dibuat secara main-main itu akhirnya membuahkan hasil apabila beliau kini muncul sebagai pengusaha pelbagai jenis kerepek, antaranya pisang, kerepek ubi, pelbagai jenis kacang, kuih-muih tradisional, bahulu dan kuih-muih moden.

Menjadikan kediamannya di No. 9A, Kampung Sri Aman Skendi, Sabak Bernam, Selangor sebagai tapak perniagaan, beliau telah memulakan perusahaan itu sejak tiga tahun lalu melalui syarikat Daily Sun Enterprise.

“Minat untuk berniaga timbul kerana saya sering mendapat tempahan daripada orang ramai, rakan-rakan dan kakitangan pejabat.

“Saya bermula menggoreng kerepek di ‘atas tanah’ sahaja kerana masa itu tempahan tidak begitu banyak dan saya pula masih bekerja sebagai pembersih makanan laut di salah sebuah syarikat di Sekinchan, Selangor,’’ kata ibu kepada empat orang anak yang berusia antara 22 hingga 28 tahun itu.

Ujarnya, memandangkan tempahan yang semakin bertambah, beberapa tahun kemudian beliau nekad berhenti kerja dan menjadi usahawan makanan ringan dan kuih-muih sepenuh masa.

Pada waktu itu, suaminya Adnan Mohamad, 52, mendapat pampasan apabila memilih untuk bersara awal daripada salah sebuah jabatan kerajaan dan ia digunakan sebagai modal untuk memperbesarkan perniagaan.

Anak ketiga daripada tujuh adik-beradik itu turut dibantu oleh ibunya Jaimah Kantan, 67, dan ayahnya Yassin Dahaman, 75.

Adnan bertindak memasarkan makanan ringan yang diusahakan itu di sekitar Kuala Selangor, Puncak Alam dan Puchong, Selangor.

Sebahagian besar kerepek dan kuih-muih keluaran Daily Sun Enterprise dilanggan oleh para pengedar yang akan mengedarkannya ke tempat-tempat lain.

Bagi mendalami ilmu dalam bidang kuih-muih dan masakan, Zaliah rajin mengikuti kursus-kursus yang diadakan sama ada oleh jawatankuasa kampung atau agensi-agensi tertentu.

Menjelang Aidilfitri ini, pastinya Zaliah tidak menang tangan untuk memenuhi permintaan kuih-muih dan kerepek yang dipesan oleh para pengedar dan individu.

Malah, tempahan makanan ringan dan kuih-muih telah bermula beberapa bulan sebelum menjelang hari raya. Katanya, tempahan lazimnya akan bertambah sebanyak 50 peratus berbanding hari-hari biasa.

Apa yang lebih membanggakan, dengan membuka perusahaan makanan itu, Zaliah bukan sahaja dapat berdikari sebagai seorang pengusaha makanan, malah dapat pula memberi punca pendapatan kepada orang lain.

Zaliah telah mengupah empat pekerja yang terdiri daripada ibu-ibu tunggal untuk membantunya memproses makanan ringan dan kuih-muih berkenaan.

Sekurang-kurangnya dengan upah yang didapati, golongan itu akan dapat menambah sedikit pendapatan mereka dalam meneruskan kehidupan.

Contohnya, Salmiah Rahmat, 54, yang merupakan ibu tunggal yang terpaksa menanggung lima orang anak berusia antara 23 hingga 11 tahun serta seorang ibu yang telah tua, Tarsiah Johar, 67. Salmiah telah berpisah dengan suaminya.

Biarpun upah yang didapati tidak seberapa, namun ia memberi pendapatan kepada mereka.

Begitu juga dengan Zaleha Atan, 51 yang mempunyai tujuh orang anak berusia 17 hingga 33 tahun dan Sarimah Mat Piah, 45, yang mempunyai empat orang anak berusia sepuluh hingga 19 tahun yang menaruh harapan sepenuhnya terhadap pengusaha kerepek berkenaan sebagai punca rezeki.

Kepada mereka yang berminat untuk memesan kuih-muih dan makanan ringan daripada Zaliah, sila hubungi talian 03-3224 4464 atau 012-353 2286.

Di Petik Dari Utusan Online 9 Oktober 2006

Hanan Terajui Perniagaan Rempah-Ratus

MENGURUSKAN perniagaan keluarga bukannya tugas yang mudah lebih-lebih lagi dalam usaha memperkenalkan dan mengembangkan syarikat yang masih dalam skala sederhana.

Namun semua itu kecil jika dibandingkan dengan usaha dan jerit perih yang diharungi ibu beliau pada awal penubuhan Perusahaan Seri Tunjung, pengeluar aneka produk berjenama Rempah Giling SERI.

Kerjasama erat penuh keikhlasan pasangan Hanan Mohd. Adham, 30, dan Shukor Ithnin, 32, membuktikan selagi ada usaha, doa dan tawakal apa yang dicita-citakan bakal menjadi kenyataan.

Wartawan ZUARIDA MOHYIN berkesempatan menemu bual anak kedua daripada lima adik-beradik ini menerusi telefon, berkongsi perancangan beliau meneruskan kesinambungan bisnes keluarga itu.

UTUSAN MALAYSIA: Ceritakan bagaimana bisnes Rempah Giling SERI bermula?

HANAN: Rempah Giling SERI bermula kira-kira 12 tahun yang lalu iaitu pada 1994. Pada masa itu, belum ada lagi rempah basah dipasarkan secara komersial. Namun mama saya, Munirah Abdullah adalah antara usahawan yang mengeluarkan hampir 20 jenis rempah basah (giling).

Idea ini tercetus semasa beliau menziarahi kawannya di Thailand dan secara kebetulan pula, temannya itu menghasilkan produk tom yam.

Bermula dari situlah pelbagai inisiatif dilakukan oleh mama terutamanya dalam mencipta resipi tersendiri. Alhamdulillah Perusahaan Seri Tunjung yang beroperasi di Lot 1020, KM 7, Jalan Kuala Krai, Kota Bharu, Kelantan akhirnya berjaya mengeluarkan pelbagai produk makanan tempatan dan ala-Thai yang menepati cita rasa rakyat Malaysia.

Peranan saya dalam membantu bisnes keluarga ini bermula lebih kurang setahun lalu dengan dibantu oleh suami, Shukor Ithnin. Menerusi kursus-kursus yang disediakan oleh pelbagai pihak berkaitan, kami berusaha menimba seberapa banyak ilmu atau selok-belok dunia perniagaan agar lebih memantapkan lagi bisnes yang diusahakan.

Mengapakah bentuk perniagaan sebegini yang menjadi pilihan dan produk apa yang disediakan?

Memandangkan mama saya berdarah Arab ditambah pula minat mendalam beliau dalam bidang masakan di samping beliau sendiri gemar memasak, maka tercetus ilham untuk menghasilkan pes (paste). Resipi yang dihasilkan ini tidak lari daripada rasa asal masakan daripada air tangannya yang sememangnya lazat.

Sehingga kini terdapat sebanyak 18 jenis rempah giling SERI seperti; Beriani, Kuzi, Rendang, Kerutuk, Mi/Kuey Teow Goreng, Nasi Tomato, Gulai Kawah, Perencah Sate/BBQ, Kuah Sate, Tom Yam, Bihun Goreng, Sup, Kari Ikan, Kari Ayam/Daging, Goreng Berempah, Masak Lemak Lengkuas Ikan/Udang, Kurma, Sambal Tumis dan lain-lain.

Apakah keistimewaan produk Perusahaan Seri Tunjung jika dibandingkan dengan kebanyakan syarikat sama berkaitan?

Istimewanya produk kami ini ialah ia mudah dan ringkas serta senang dibawa terutamanya mereka yang bermusafir atau untuk dijadikan buah tangan bagi mereka yang jauh di perantauan. Kaedah memasak menggunakan Rempah Giling SERI amat mudah sekali. Mereka hanya perlu menggunakan pes yang disediakan malah dapat menjimatkan masa penyediaan bahan masakan tersebut.

Pengguna tidak perlu menghabiskan masa di dapur dengan mengupas bahan basah serta menumis bawang, apa yang perlu dilakukan ialah hanya keluarkan pes atau rempah SERI, masukkan lauk atau beras, santan atau susu cair dan minyak sapi bagi rempah beriani dan kuzi. Rempah Giling SERI juga mengekalkan keaslian rasa resipi tradisional tersebut.

Apakah cabaran anda dalam dunia perniagaan yang berbentuk begini?

Antara cabaran yang kami hadapi adalah seperti turun naik harga bahan mentah sedangkan harga jualan kami tetap.

Aspek persaingan dengan syarikat-syarikat besar juga merupakan salah satu cabaran bagi syarikat kecil seperti kami memandangkan mereka mampu memperuntukan sejumlah besar bayaran untuk tujuan promosi, sama ada menerusi iklan elektronik atau media cetak di samping menggunakan barisan artis popular untuk memperkenalkan produk mereka sedangkan kami hanya usahawan industri kecil dan sederhana (IKS).

Apakah perancangan masa depan anda dalam bidang perniagaan ini?

Perancangan kami banyak di antaranya memperkenalkan produk Rempah Giling SERI ke seluruh negeri-negeri di Malaysia dan melebarkan sayap promosi ke pasaran luar negara.

Buat masa ini kita sudah ada pengedar di Lembah Klang malah produk kami juga boleh didapati di Pasaraya Mydin, Subang Jaya, Selangor.

Selain itu, banyak juga syarikat-syarikat besar sedang dalam proses berunding dengan Perusahaan Seri Tunjung untuk memasarkan produk kami ke luar negara. Ada juga syarikat dari Brunei dan Singapura telah datang sendiri berunding dengan pihak kami untuk tujuan pemasaran di negara masing-masing.

Buat masa ini kami mempromosikan produk menerusi penganjuran ekspo pelbagai pihak kerajaan kerajaan seperti Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA), Jabatan Pertanian, Majlis Amanah Rakyat (Mara), kerajaan negeri dan Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (MECD).

Kami juga melibatkan diri dengan persatuan-persatuan seperti Konsortium Usahawan Makanan dan Industri Asas Tani (Komita) dan Wawasanita.

SERI juga dalam proses penukaran logo dan bungkusan baru yang dibantu oleh SIRIM melalui program GROOMBIG anjuran MECD dan SIRIM. Melalui kerjasama dengan agensi-agensi inilah, kami bergerak memandangkan modal kami yang agak terhad.

Di samping itu, kami turut sedang mencari pengedar di seluruh Malaysia. Mereka yang berminat bolehlah menghubungi talian 012-454 6898 atau 019-994 9968.

Sebagai seorang usahawan Muslim berniaga bukan sahaja bermatlamat untuk diri tetapi dalam rezeki itu ada hak orang lain. Bagaimana saudara melihat akan hal ini?

Matlamat kami sebagai usahawan Muslim ialah berniaga untuk memperoleh keuntungan dan ini adalah hak kami. Kami berniaga pada harga yang berpatutan dan rempah yang bermutu serta produk yang dijamin halal, aspek ini pula adalah hak pengguna.

Apakah kepuasan yang diperoleh dalam melakukan urusan perniagaan dan apakah prinsip yang dipegang dalam bergelar usahawan?

Kepuasan ialah apabila produk kami dapat sambutan orang ramai tidak kira bangsa dan sama ada di dalam dan luar negara.

Prinsip kami berniaga sehingga berjaya dan memberi kepuasan kepada pengguna kerana setiap pujian daripada pengguna menjadi doa untuk kami terus berusaha dan mencapai kejayaan.

Komen sedikit tentang 9/10 punca rezeki adalah menerusi perniagaan.

Seperti yang muslimin dan muslimat tahu hadis saranan Baginda Rasulullah s.a.w. bermaksud: Sembilan per sepuluh sumber rezeki adalah daripada perniagaan merupakan satu hadis yang sahih dan ada kebenarannya. Ini dibuktikan dengan senario sekarang yang mana ramai usahawan yang berjaya dan ada yang bergelar jutawan semuanya hasil daripada perniagaan.

Di Petik Dari Utusan Online 1 Disember 2006

Cuka Epal Banyak Khasiatnya


MUNGKIN ada segelintir dari generasi kini yang yang tidak tahu bahawa buah epal juga boleh diproses menjadi cuka. Selain menjadi bahan penambah rasa dalam masakan, cuka epal sebenarnya mengandungi lebih dari 30 nutrien, 12 jenis galian dan lebih dari enam jenis vitamin, asid dan enzim.

Penemuan saintifik ini membuktikan hasil tumbuhan semulajadi yang diproses banyak memberi kebaikan terutama kepada kesihatan manusia.

Sememangnya cuka epal telah diketahui sejak berabad dahulu sebagai minuman yang dapat memberikan rasa ketenangan.

Bukti saintifik pula telah menemui 93 komponen yang berbeza di dalamnya yang boleh membantu mempertingkatkan kesihatan tubuh badan kita.

Menurut usahawan makanan tambahan kesihatan, Rozie Hamzah berkata, selain membantu melambatkan proses penuaan, cuka epal juga dikatakan mampu memecahkan pembentukan kolesterol dalam saluran darah.

‘’Kajian tentang kebaikan cuka epal telah terbukti di peringkat antarabangsa, pengambilannya dengan kadar tertentu boleh memberikan kesan yang baik terutama untuk rambut,’’ katanya ketika ditemui di pejabatnya di Ampang Point, Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Katanya, cuka epal sebenarnya mengandungi banyak faedah, antaranya membantu mengawal tekanan darah, gout, meningkatkan metabolisme badan, membersih buah pinggang, mencegah osteoporosis, menghilangkan gangguan tekak, sembelit dan kemurungan

Selain itu, kandungan anti oksidanya yang tinggi merupakan agen utama yang memusnahkan radikal bebas punca utama faktor penuaan manusia.

Menurut Rozie, keadaan persekitaran yang terdedah dengan udara yang kotor dan pemakanan yang tidak seimbang menyebabkan seseorang individu itu kelihatan tidak berseri dan lebih tua dari usia sebenar.

“Mengambilnya dalam jangka masa tertentu juga membantu memberi tenaga dan kecerdasan serta meredakan tekanan,’’ katanya.

Rozie menambah, khasiat cuka epal kelihatan lebih ketara apabila diambil sebelum makan dua kali sehari. Tambahnya, pengambilan cuka epal yang telah diproses boleh membantu menguatkan sistem penghadaman dan secara tidak langsung membantu memberi berat badan yang ideal kepada seseorang individu yang mengamalkannya.

“Mencegah lebih baik dari mengubati, amalan pemakanan yang betul akan mencerminkan wajah dan tubuh badan yang sihat,’’ katanya mengakhiri perbualan.

Untuk maklumat lanjut tentang kebaikan cuka epal, sila hubungi, Passion Herbs Sdn. Bhd., 92B Lorong Memanda 2, Taman Dato Ahmad Razali, 68000 Ampang, atau hubungi talian 012-9784229 atau e-mel: arh_aiman@ yahoo.com.

Di Petik Dari Utusan Online 11 Disember 2006

Anak Melayu Buka Pasar Raya Di Ireland



KAMARULZAMAN Abdul Manan bersama isteri Dr. Norma Mohamad dan anak-anak.


SEBUAH pasar raya, Hibiscus Asian Store Ltd. nun jauh di Balgaddy Road Lucan, Dublin, Republik of Ireland milik anak Malaysia merupakan pencapaian tertinggi bagi Kamarulzaman Abdul Manan atau Kamar 38, sejak bergelar perantau lebih kurang 10 tahun yang lalu.

Walaupun hanya akan beroperasi pada penghujung tahun 2007, namun pencapaian itu cukup membuktikan Kamarulzaman bermula dengan langkah kanan.

Bertemu dengannya baru-baru ini ketika kembali ke Malaysia atas urusan perniagaan dan juga menjenguk kaum keluarga di Perak dan Trengganu, beliau sempat berkongsi cerita menempa kejayaan di rantau orang.

Kamar memberitahu, tujuan awalnya ke Ireland untuk menyambung pelajaran peringkat ijazah dalam bidang perniagaan di Universiti Liverpool John Moores, United Kingdom (UK).

Sebelum itu beliau bekerja di bahagian pentadbiran dan pembantu warden sambil belajar di Kolej Premier, Yayasan Perak di Ipoh, Perak.

“Lebih kurang 10 tahun yang lalu, tujuan asal ke sana untuk melanjutkan pelajaran dan apabila tamat tiga tahun kemudian saya mendapat pekerjaan di sebuah syarikat yang membuat perniagaan halal, piza papperoni selama setahun setengah,’’ ceritanya.

Kebetulan isterinya, Dr. Norma Mohamad 32, yang berasal dari Trengganu sudah menetap di sana sejak tahun 1994 kerana melanjutkan pelajaran dan bekerja di beberapa buah hospital dan terkini di Naas General Hospital,

Ireland.

“Selama tinggal di sana saya perhatikan ramai masyarakat Asia termasuk dari Pakistan, India dan Bangladesh termasuk lebih kurang 20,000 rakyat Malaysia.

“Kebanyakannya terdiri daripada para pelajar perubatan dan perakaunan serta individu yang tinggal di sana kerana bekerja,’’ katanya yang berasal dari Lumut, Perak.

Melihat peluang perniagaan yang cerah dan boleh diterokai dengan baik, Kamar berjinak-jinak menjadi pengedar produk barangan Malaysia ke sana.

“Membuktikan saya serius dalam bidang perniagaan, saya tubuhkan syarikat ManMa atas gabungan nama saya dan isteri.

“Saya kembali ke Malaysia dan mencari produk halal yang dibekalkan oleh usahawan Industri Kecil dan Sederhana (IKS),’’ katanya.

Sambutan terhadap produk yang dibawa masuk telah mendorong Kamar menjalin kerjasama dengan pihak Majlis Amanah Rakyat (Mara) dan Kementerian Usahawan dan Koperasi (Medc) apabila beliau dilantik sebagai agen pemasaran.

“Perjanjian baru ditandatangani pada bulan Julai lepas yang memberi peluang lebih banyak produk daripada industri IKS menembusi pasaran luar negara.

“Lantikan itu juga membuka peluang kepada saya mengembangkan perniagaan dan buat masa sekarang saya menjalin usahawan dengan sebuah konsortium Usahawan Makanan dan Industri Asas Tani Sdn. Bhd. (Komita).

Menurut Kamar dibawah Komita terdapat 20 buah syarikat pengusaha makanan dan minuman yang diusahakan oleh usahawan IKS yang mengeluarkan produk bermutu tinggi seperti kuih tradisional, sos, kicap, minuman buah-buahan dan banyak lagi.

“Antara syarikat yang menganggotai Komita termasuk Muslim Best, Produk ITA, Fauziah Karim Asam Pedas, Noraini Cookies dan Brahim.

Apa yang menarik, atas usaha usahawan muda ini, produk tempatan telah memasarkan kicap kipas udang, sos Aminah Hassan, barangan Pemasaran Pertanian Persekutuan (Fama), seperti sos pedas dan kuah kacang.

“Sejak setahun yang lalu produk tersebut telah pun berada di 25 pasar raya di Ireland dan di 20 pasar raya seluruh United Kingdom,’’ katanya.

Katanya, bukan sahaja masyarakat tempatan yang mencari produk halal Malaysia, tetapi pengguna Asia seperti Filipina, Thailand, Pakistan dan Arab

juga menggemarinya.

Teruja dengan sambutan itulah yang mendorong Kamat melabur dalam sebuah pasar raya yang menawarkan produk dingin beku, buah-buahan, sayur-sayuran selain produk IKS Malaysia pada tahun hadapan.

Menyasarkan perniagaan lebih berdaya maju pada masa akan datang, melalui kerjasama Mara dan Medc, beliau turut terlibat dalam Minggu Promosi Malaysia yang bakal diadakan pada April 2006 di Ireland.

Meskipun tinggal berjauhan dengan ahli keluarga di tanah air, ayah kepada dua cahaya mata ini, Mohd Faisal 5, dan Nor Solehah 3, pulang ke Malaysia setiap tiga bulan sekali.

Kamar yang menyifatkan peluang yang diberikan oleh pihak kerjaan kepada usahawan yang baru menceburi bidang perniagaan terbuka luas dan terpulang kepada individu untuk merebutnya.

“Saya amat berterima kepada Mara dan Kementerian Usahawan dan Koperasi kerana memberi jalan dan peluang ini serta rakan-rakan perniagaan tempatan yang sentiasa bersedia memberi kerjasama.

“Jika hubungan yang baik ini berkekalan, saya percaya lebih ramai usahawan akan muncul untuk sama-sama memacu kejayaan dalam bidang perniagaan walau di mana sekali pun bumi dipijak,’’ katanya bersemangat.

Dipetik Dari Arkib Utusan Online 25 Dis 2006

Kerepek Amanah Laris


UMI Siti Amanah Sidek menunjukkan kerepek yang menjadi kegemaran orang ramai di rumahnya di Felda Air Tawar 1, Kota Tinggi, semalam.


KOTA TINGGI 1 Mac – Demam Pilihan Raya Umum Ke-12 bukan sahaja dirasai oleh calon-calon yang akan bertanding dan para pengundi, malah ia turut memberi kesan terhadap pengusaha makanan ringan di sekitar daerah ini.

Salah seorang usahawan makanan ringan, Siti Amanah Sidek, 53, berkata, sebaik Parlimen dibubarkan pada 13 Februari lalu hingga hari ini, produk kerepek yang diusahakannya menerima tempahan luar biasa.

Beliau yang mengusahakan Perusahaan Makanan Ringan Ummi di Felda Air Tawar Satu di sini, berkata, tempahan itu kebanyakannya diterima daripada parti politik.

“Ada yang menempah untuk dijadikan salah satu juadah semasa majlis jamuan dan ada juga untuk dijadikan sebagai buah tangan. Antara makanan ringan yang menjadi pilihan ialah selayang pandang pedas dan manis, pagoda lemak dan pedas, kerepek ubi dan pisang, cakar ayam, kerepek bawang dan beberapa kuih muih lain, “ katanya ketika ditemui Mingguan Malaysia di sini hari ini.

Beliau yang berniaga sejak lima tahun lepas dan mempunyai lapan pekerja memberitahu, pendapatannya meningkat ekoran permintaan mendadak itu.

“Bagi melicinkan perjalanan pemasaran, anak lelaki saya Abdul Rahim turut membantu dan dia menunjukkan kecenderungan tinggi dalam bidang ini,” katanya yang pernah menerima pinjaman perniagaan sebanyak RM60,000 daripada Jabatan Pertanian dan Felda.

Utusan Online-2 Mac 2008

Yuran Senarai Produk dan Caj Bebankan IKS - Komita


PUCHONG 2 Jun - Di sebalik janji untuk membantu usahawan industri kecil dan sederhana (IKS) tempatan terutama bumiputera, pasar raya besar tetap mengenakan yuran penyenaraian produk sebanyak RM2,000 serta caj-caj tambahan yang membebankan.

Pengerusi Eksekutif Konsortium Usahawan Makanan dan Industri Asas Tani Sdn. Bhd. (Komita), Sheikh Ahmad Dusuki berkata, yuran dan caj tersebut seperti rebat tetap dan rebat tahunan sangat membebankan golongan usahawan tempatan.

Selain itu, katanya, caj tambahan itu belum merangkumi margin keuntungan yang dikenakan oleh pasar raya besar ke atas produk itu.

"Katakan margin keuntungan ialah 25 peratus, sementara caj tambahan pula ialah lima peratus.

"Ini bermakna pasar raya besar akan mengenakan caj produk ini (sebanyak 30 peratus) kepada IKS,'' katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Mengulas lanjut contoh itu, Sheikh Ahmad berkata, bagi satu produk yang dijual RM2, pasar raya besar akan mengambil keuntungan sebanyak 30 peratus, iaitu 60 sen.

Jelas beliau, IKS tidak mempunyai peluang untuk mempertikaikan perkara itu kerana mereka tidak mempunyai keupayaan permintaan dan pembekalan.

"Produk-produk IKS ini bukannya produk-produk berjenama tersohor yang diperlukan pelanggan.

"Dalam erti kata lain, produk tersebut tidak berapa laku sehingga pasar raya besar tidak begitu berminat untuk menjualnya," jelasnya.

TuntutanSehubungan itu, menurut beliau, IKS tidak boleh membuat tuntutan tetapi hanya boleh merayu agar produk mereka dipamerkan atau disenaraikan.

Ini kerana, katanya, kebanyakan pihak IKS tidak mempunyai kewangan yang kukuh untuk melancarkan program pengiklanan dan promosi sebagaimana dilakukan oleh pasar raya besar.

Sementara itu, Sheikh Ahmad yang juga Pengarah Pengurusan, Muslim Best Marketing (M) Sdn. Bhd., mencadangkan agar kerajaan menetapkan kuota sekurang-kurangnya 30 peratus produk di pasar raya besar dikhususkan kepada produk IKS.

Selain itu, katanya, kerajaan perlu mewujudkan peraturan tidak membenarkan pasar raya besar menjual produk berjenama mereka house-branding.

"Kita tak ingin produk-produk luar membanjiri pasaran tempatan dari 'pintu belakang'. Ini adalah satu penjajahan baru ekonomi oleh pelabur-pelabur luar.

"Ini kerana mereka membawa masuk produk-produk luar ke negara ini dengan menggunakan jenama mereka (pasar raya besar)," ujarnya.

Dalam perkembangan lain, Sheikh Ahmad turut mencadangkan kerajaan mewujudkan satu Akta Peruncitan yang mengawal pasar raya besar.

Katanya, beliau difahamkan di Perancis, akta sedemikian menghalang pasar raya besar mengenakan IKS dengan caj-caj tambahan.

Dalam pada itu, beliau berharap kerajaan mewujudkan peraturan agar pasar raya besar menyeragamkan terma-terma perniagaan dengan semua IKS.

"Ini bermakna pasar raya menggunakan set terma perniagaan yang sama serta standard, telus dan terbuka,'' katanya.

Sementara itu, Sheikh Ahmad menyarankan agar lesen pasar raya besar diperbaharui setahun sekali agar kerajaan berkuasa berunding dan mengawal operasi mereka.

Utusan Online-3 Jun 2008

Azhar Usahawan Makanan Sejuk Beku


Azhar Hasan memasukkan popia ke dalam plastik di kilangnya di Batu 10, Kampung Bukit Batu, Senggarang, Batu Pahat, semalam.


BATU PAHAT 21 Julai - Minat yang mendalam dalam perniagaan mendorong Azhar Hasan, 36, membuat keputusan nekad berhenti kerja dan mengusahakan perniagaan menjual makanan sejuk beku tiga tahun lalu.

Azhar dari Senggarang kini boleh berbangga kerana usahanya dengan dibantu oleh isterinya, Saezah Sedek, 32, membuahkan hasil dan memberi pendapatan bulanan yang menggalakkan.

Walaupun hanya berkelulusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), namun ia tidak menghalangnya untuk berusaha gigih dengan berbekalkan modal permulaan RM500 untuk membeli bahan mentah bagi mengeluarkan makanan karipap segera berperisa daging, ayam dan sardin.

Bagi memantapkan lagi perniagaannya, Azhar mengikuti pelbagai kursus makanan dan keusahawanan anjuran Pejabat Pertanian Daerah.

Menurutnya, produknya kini didaftarkan atas nama Balqis Food yang menyediakan makanan sejuk beku antaranya karipap, pau, donat, popia, otak-otak, kuih kasturi, getuk ubi, roti canai dan puteri ayu.

Tambahnya lagi, antara produknya yang popular ialah karipap dengan pengeluaran 4,000 biji sehari, donat (2,000 biji), samosa (1,800 biji), pau dan puteri ayu (2,000 biji) dibungkus antara 10 hingga 12 biji sebungkus mengikut kategori dengan harga RM3.50 sebungkus.

Katanya lagi setakat ini produknya dipasarkan di sekitar Kuala Lumpur, Negeri Sembilan, Melaka dan Johor Bahru juga pasaran tempatan atas nama syarikat Azhar Frozen Food.

Beliau yang sebelum ini bekerja sebagai seorang kerani di Johor Bahru kini berasa puas kerana produk keluarannya mula mendapat tempat di hati masyarakat.

Isterinya yang memang minat membuat kuih memudahkan lagi perusahaan mereka kerana tanpa minat baginya sesuatu usaha itu tidak akan berjaya.

Beliau yang juga mendapat pemantauan daripada Pejabat Pertanian dan menerima bantuan bangunan kilang sebanyak RM20,000 dan RM10,000 berupa mesin meleper tepung, menguli, pemotong, sebuah meja khas untuk membuat kuih dan sebuah peti pendingin beku.

Tambah Azhar, pendapatan bersihnya ialah RM2,000 ke RM2,500 sebulan bergantung kepada jualan dan permintaan daripada pelanggan dan mengikut musim.

Utusan Online-22 Julai 2008

Biskut Raya ke Ireland


Tahun ini biskut raya buatan Malaysia bukan sahaja boleh dinikmati di negara ini tetapi juga di Ireland. Justeru itu, masyarakat Malaysia yang berada di negara itu tidak perlulah kerinduan untuk merasai biskut yang dihidangkan apabila menyambut Hari Raya Aidilfitri.

Ini kerana sebanyak lima jenis biskut raya tanpa telur seperti Orange Mousses, London Almond, Tat Nanas, Suji dan Red Pearl akan mula dipasarkan pertama kalinya di Ireland khusus untuk perayaan Hari Raya ini.

Kelima-lima biskut keluaran Ita Produk Sdn. Bhd. ini berjaya menembusi pasaran antarabangsa menjejaki kejayaan produk keluarannya yang lain seperti makanan dalam tin dan botol seperti sardin, seri kaya dan sos lada hitam yang telah memasuki pasaran Tesco United Kingdom, Giant Hong Kong dan Singapura serta Carrefour Dubai dan Paris.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Suriati Rahman berkata, jika tahun-tahun yang lalu, untuk mendapatkan kuih raya Ita Produk, pelanggan perlu pergi ke pasar raya kerana di sanalah syarikat memasarkan produk tersebut.

Katanya, namun begitu, bermula tahun ini, konsep perniagaan telah bertukar kerana syarikat tidak lagi memasarkan kuih raya di pasar raya tetapi hanya mengekalkan barangan dalam tin, botol dan produk harian sahaja.

‘‘Ini kerana kami telah pun menarik balik kontrak untuk membekal kuih raya yang bernilai RM1.6 juta setahun untuk memberi peluang kepada usahawan kecil mencari pendapatan menerusi konsep rantaian usahawan pemasar bermusim.

‘‘Melalui konsep yang diperkenalkan tahun ini, kami akan membekalkan kuih-kuih raya yang bertaraf premium iaitu 100 peratus penggunaan mentega dan bahan yang sihat kepada usahawan kecil untuk dipasarkan di bazar-bazar Ramadan, individu atau syarikat korporat.

‘‘Konsep usahawan bantu usahawan ini bagi membantu peniaga kecil mencari duit tambahan menjelang Hari Raya dengan menjual kuih raya yang bermutu tinggi dan buatan tangan,’’ katanya ketika ditemui di Seksyen U5, Shah Alam baru-baru ini.

Menurut Suriati, kini Ita Produk mengeluarkan 11 jenis biskut raya di mana lima daripadanya tidak menggunakan telur.

‘‘Tahun ini sebanyak tiga biskut raya baru diperkenalkan iaitu Bunga Cinta Lestari, Winter Sonata dan Sesame Beauty, hasil rekaan saya sendiri bagi menambahkan biskut yang ada. Insya-Allah pada tahun depan lagi sembilan biskut baru akan diperkenalkan,’’ jelas nenek kepada lima orang cucu ini.

Menyingkap penglibatan Ita Produk dalam pembuatan biskut raya, ia bermula pada tahun 2004 setelah menerima tempahan daripada pasar raya sebanyak RM1.2 juta setahun.

‘‘Dari situ, melihatkan permintaan yang memberangsangkan kepada biskut raya, maka syarikat turut mengambil peluang dalam memasarkan biskut-biskut untuk hari perayaan seperti Hari Raya Aidilfitri, Hari Raya Aidiladha, Tahun Baru Cina, Deepavali dan Krismas.

‘‘Biskut buatan tangan keluaran kami sememangnya premium kerana kekayaan kandungan dalamnya,’’ ujar ibu kepada empat anak iaitu Bakhtiar Abu Bakar, Sri Rahayu, Shahirul Safri dan Shahirul Syafiq.

Menjelaskan mengenai latar belakangnya dalam bidang perniagaan, Suriati mengaku telah lama terlibat dalam bidang perniagaan berkonsepkan dagangan.

Pengalaman itulah katanya, banyak membantunya kini dalam urus niaga Ita Produk. Berkat usahanya juga, beliau telah membantu usahawan kecil-kecilan memasarkan produk makanan ringan seperti kerepek dan biskut raya.

Wanita yang mendapat sokongan sepenuhnya daripada suami, bekas pesara guru, Hassan Omar memberitahu, walaupun banyak saingan dalam pembuatan biskut raya ini, namun syarikat mencari satu kelainan iaitu mengeluarkan biskut premium.

‘‘Sedangkan syarikat-syarikat lain mengeluarkan biskut kelas pertengahan dan kelas bawahan di mana tidak menggunakan mentega sepenuhnya dan menggunakan mesin serta mempunyai rasa yang sama.

“Tetapi pada Ita Produk, anda boleh merasai kenikmatannya,’’ kata wanita yang merupakan Setiausaha Konsortium Usahawan Makanan dan Industri Asas Tani (Komita).

Ditanya apakah prinsip yang diamalkan, beliau berkata, sentiasa yakin, setia dengan pelanggan, meletakkan mereka di keutamaan pertama, menawarkan produk terbaik dan harga yang kompetitif.

‘‘Kita harus suka dahulu produk kita sebelum memasarkan kepada pelanggan.

‘‘Bagi mereka yang ingin menambah pendapatan serta mendapat pulangan yang tinggi melalui penjualan biskut raya, bolehlah menghubungi 03-78465407,’’ katanya dengan harapan dapat membantu usahawan kecil.

Arkib Utusan Online-5 September 2008

Kini bergelar usahawan makanan laut

Walaupun isterinya masih memegang status tukang masak ‘nombor satu’ untuk keluarga Mirnawan, namun beliau tidak akan melepaskan kelapangan waktu yang terluang untuk memasak sama ada di rumah atau restoran miliknya di Wangsa Maju, Kuala Lumpur.

Mirnawan, 37, anak kelahiran Banda Kaba, Melaka dan bekas pelajar sekolah kedua tertua di negara ini iaitu Sekolah Menengah Kebangsaan Tinggi Melaka atau lebih dikenali Sekolah Tinggi Melaka (STM) sendiri tidak menyangka minat dan kebolehan mendalam dalam masak-memasak akan membawanya kepada pengendali restoran makanan laut di ibu negara.

“Sebenarnya saya mula memasak ketika bujang lagi sejak mula berjinak-jinak dalam dunia perniagaan makanan dan minuman (F&B) kerana terikut-ikut dengan kebolehan semula jadi ibu saudara yang menjual sate, mi rebus dan nasi lemak di Melaka,

“Sejak dahulu lagi, saya suka memasak pelbagai jenis makanan dalam kaedah trial & error dan kemudian mengajak kawan-kawan datang ke rumah untuk makan-makan, setakat ini belum ada yang pulang dan mengadu sakit perut,” katanya sambil ketawa kecil.

Mencuba semua jenis masakan, namun beliau selalu memberi keutamaan kepada aktiviti memasak makanan laut Cina kerana minat ke arah jenis masakan itu selain selalu berusaha untuk cuba menyediakan makanan barat seperti spagethi, pasta, fish & chip dan chicken chop jika ada masa berlebihan.

Sekarang ini, Mirnawan akan mengambil alih tugas isteri, Haryaty Zahriman, 35 sekali dalam seminggu untuk memasak bagi menghilangkan ‘ketagih’ memasak walaupun kian dibebani lebih banyak kerja terutama membangunkan restoran dan pertubuhan sukan sejak bersara dari dunia sukan hoki.

Dengan memasak, selain mengasah minda agar terus kreatif dan inovatif dalam mencorak kehidupan dan menjana pendapatan baru selepas bersara dari sukan hoki, Mirnawan juga dapat mengurangkan tekanan yang dihadapi ekoran perubahan gaya hidup setelah tidak lagi bergelar ahli sukan sepenuh masa.

Terancang

“Dahulu kehidupan saya agak terancang kerana segala pergerakan dan aktiviti mengikut jadual yang telah disediakan oleh pihak-

pihak yang bertanggungjawab namun kini saya terpaksa mengurus dan merancang masa, aktiviti dan jadual sendiri.” katanya yang turut gemar memasak dan menikmati makanan Melayu selain makanan Cina.

Bercerita lanjut mengenai restoran ‘Seri Wangsa Seafood’ yang dikendalikan beliau sekarang, Mirnawan dengan kerjasama rakan kongsinya, Nik Suhaimi Ghazali, 41 merealisasikan idea tersebut setelah bertemu seorang lagi rakan kongsi yang berpangkalan di Kuala Sepetang, Taiping, Perak beberapa tahun yang lalu.

Dengan adanya bekalan bahan mentah yang tetap dan sentiasa segar dari rakan kongsi di Kuala Sepetang itu terutamanya ikan, udang, ketam dan sotong , Mirnawan membuka restoran berkenaan dengan menyajikan resipi makanan laut yang halal dan berteraskan cara tradisional daerah.

Antara 20 menu yang disajikan di Seri Wangsa Seafood yang dibuka secara rasmi pada 1 Ogos yang lalu dan menyediakan perkhidmatan Wi-Fi itu ialah udang kertas goreng tepung sebagai pembuka selera dan hidangan nasi putih dengan pelbagai jenis lauk-pauk.

Antaranya ialah ikan bawal putih, udang, ikan senangin, ikan jenahak, ikan siakap, ikan kerapu, ketam bunga dan ketam batu serta banyak lagi hidupan laut yang boleh dimasak dalam pelbagai style selain anak sotong yang menjadi ‘kegilaan’ para pelanggannya.

Para pelanggan boleh memilih sama ada ikan dan udang dimasak cara steam halia, steam teo chew, tiga rasa, dua musim, masam manis, kam heong atau asam pedas style Cina manakala ketam bunga boleh dimasak steam halia, steam teo chew, sos Shanghai, sos Beijing, tiga rasa, masam manis, kam heong, tom yam dan beberapa style lain yang popular pada masa ini.

Selain nasi putih, pelanggan di Seri Wangsa Seafood juga boleh memesan nasi goreng, kue tiau hailam, bihun tom yam dan pencuci mulut buah-buahan sama ada dalam bentuk campuran mahupun koktail serta ais krim.

Minuman yang boleh dipesan pula ialah air buah-buahan antaranya jus oren, longan, laici, jus tembikai susu, jus epal, jus nenas, jus belimbing serta minuman panas serta sejuk seperti teh tarik, milo ais, sirap, kalamasi, kacang soya, kopi O, nescafe ais, coke, teh Cina dan tongkat ali serta 100Plus.

Menurut Mirnawan, pelaburan awal untuk menyiapkan restoran tersebut ialah sebanyak RM180,000 dan setakat ini, pihaknya mempunyai 12 pekerja Melayu yang terdiri daripada tukang masak, pelayan, juruwang dan pencuci peralatan.

Selain melayan setiap pelanggan di restoran itu, restoran Seri Wangsa Seafood yang ‘sedap mata memandang’ dari segi dekorasi luaran turut menyediakan perkhidmatan untuk majlis korporat, majlis peribadi, majlis sosial dan katering.

‘‘Restoran makanan laut ini cukup sesuai kepada keluarga kecil dan besar yang mahu meraikan apa sahaja acara termasuk hari jadi anak-anak, ulang tahun perkahwinan ataupun majlis berkumpul sanak-saudara,’’ kata bapa kepada dua puteri comel yang sedang meningkat remaja iaitu Mirsha Nurathia, 10 dan Mirsha Nurathiaqa, 7.

“Setakat ini, saya berpuas hati dengan dekorasi dalaman serta luaran restoran dan mood yang ditimbulkan restoran ini dan adalah menjadi impian saya untuk melihat Seri Wangsa Seafood mampu berkembang dengan memiliki lokasi sendiri seperti Kelana Seafood suatu hari nanti dalam masa tiga tahun lagi,” kata Mirnawan.

Restoran makanan laut tersebut yang boleh memuatkan 90 pelanggan dalam satu-

satu masa terletak di 32, Jalan Wangsa Delima 11, Wangsa Link, Wangsa Maju, 53300, Kuala Lumpur iaitu di belakang Carrefour Wangsa Maju atau pelanggan boleh menelefon ke talian 03-4143 3341 untuk membuat tempahan.

Pihaknya memilih Wangsa Maju sebagai lokasi pertama restoran berkenaan kerana populasi di kawasan persekitaran yang dianggarkan berjumlah 100,000 penduduk dengan kebanyakannya warga Melayu yang kian meminati makanan laut gaya masakan Cina.

Positif

Setakat ini, pelanggan restoran berkenaan terdiri daripada pelbagai bangsa serta jenis pekerjaan dan setakat ini, pihaknya belum menerima aduan malah pelanggan turut memberi komen positif selain mencadangkan beberapa penambah baikan terhadap menu dan bentuk layanan.

Di akhir pertemuan itu, ditanya rancangan beliau ketika umur persaraan jika masih dipanjangkan usia oleh Allah Taala, Mirnawan mahu menjadi usahawan berjaya dan mampu pergi bercuti bagi menyaksikan setiap acara Sukan Olimpik dan Hoki Piala Dunia setiap kali ia diadakan.

Selepas bersara daripada menjadi ahli sukan profesional, Mirnawan kini menganggotai panel penasihat Majlis Sukan Negara dan panel penasihat sukan Kementerian Belia dan Sukan (KBS) selain terus bergiat dalam aktiviti sukan kriket.

Sebagai menghargai jasa-jasa beliau dalam memartabatkan sukan di negara ini, Mirnawan dianugerahkan pingat Ahli Mangku Negara sempena hari keputeraan Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Mizan Zainal Abidin baru-baru ini.

Sedikit mengenai rekod cemerlang Mirnawan sebelum ini, beliau menyambut hari jadinya yang ke-27 dengan hadiah tidak ternilai apabila membuat jaringan emas tunggal untuk memastikan Malaysia ke perlawanan akhir acara hoki lelaki KL ‘98 menentang Australia.

Berdasarkan kegemilangan beliau dalam sukan hoki negara, syarikat tempatan, Car N Co Sdn. Bhd. telah mengeluarkan kayu hoki berjenama Mirnawan pada tahun 2003.

Kayu hoki komposit MN 1 dan MN 2 itu yang menggunakan kombinasi karbon dan gentian kaca itu telah mengikut spesifikasi yang ditetapkan Persekutuan Hoki Antarabangsa (FIH).

MN 1 dijual dengan harga RM95 sebatang untuk kegunaan kanak-kanak berusia 8 hingga 12 tahun manakala MN 2 dijual dengan harga RM125 sebatang sesuai untuk peringkat remaja dan dewasa.

Mirnawan adalah antara pemain hoki yang sangat dihormati di seluruh dunia dan kredibilitinya terus kukuh selaku pemain paling banyak mewakili hoki negara dalam pelbagai kejohanan di peringkat tempatan dan antarabangsa.

Beliau yang pernah dicalonkan sebagai pemain terbaik hoki dunia pada tahun 1999 mengambil keputusan untuk bersara pada tahun 2002, selepas berakhirnya acara hoki paling berprestij dunia iaitu Piala Dunia 2002 KL.

KEJAYAAN USAHAWAN MARDI DIBUKUKAN

Kejayaan 50 usahawan MARDI dibukukan


sebahagian usahawan bimbingan MARDI melihat kisah kejayaan mereka yang telah didokumentasikan.


Buat pertama kalinya Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) melalui Pusat Promosi dan Pembangunan Teknologinya mendokumentasikan kejayaan usahawan di bawah bimbingannya.

Buku berkenaan yang menonjolkan 50 usahawan berjaya berdasarkan pencapaian mereka dalam perniagaan.

Pengarahnya, Datuk Masri Muhamad berkata, buku berkenaan dihasilkan bagi mengiktiraf tradisi keilmuan MARDI yang patut dikongsi bersama-sama usahawan.

"Penghasilan buku ini juga adalah sebagai merakamkan penghargaan kepada komitmen pegawai MARDI dalam usaha membangunkan usahawan berasaskan teknologi.

"Ini memandangkan di masa akan datang persaingan bertambah sengit dan perlu bersaing di peringkat domestik dan antarabangsa," katanya semasa ditemui selepas majlis penyampaian Buku 50 Usahawan bimbingan MARDI Siri 1: Usahawan Makanan di Serdang baru-baru ini.

Masri menambah, ini juga bagi memberikan aspirasi dan inspirasi kepada barisan pelapis MARDI.

Mengenai pemilihan 50 usahawan, beliau berkata, ini berdasarkan kepada keuntungan yang tinggi, 100 peratus menggunakan teknologi MARDI dan berjaya meningkatkan taraf produk.

"Usahawan berkenaan juga amat yakin dengan teknologi MARDI dan mengambil peluang melabur bagi membesarkan usaha mereka," katanya.

Tapi apakah beza usahawan bimbingan MARDI dengan agensi lain?

Masri berkata, pihaknya membimbing usahawan secara berterusan dan ingin berkembang berasaskan teknologi dalam pemprosesan, penghasilan produk, pertanian dan penternakan.

"Pihak kami tidak membantu dari segi kewangan tetapi memindahkan teknologi sambil memberikan khidmat nasihat dan memastikan usahawan berkenaan mencapai kejayaan," katanya.

Usahawan bimbingan MARDI di bawah tiga aktiviti iaitu:

1. khidmat nasihat teknikal kepada semua usahawan menerusi surat, telefon, emel atau faks secara ringkas.

2. usahawan bimbingan untuk pasaran di pasar raya besar

3. usahawan bimbingan untuk pasaran eksport

Masri berkata, selepas ini pihaknya akan terus menerbitkan buku mengenai kejayaan usahawan bimbingan MARDI bagi memberikan motivasi bukan hanya kepada kakitangan tetapi juga bakal usahawan

NOTA KAKI : Tahniah kepada usahawan bimbingan MARDI yang juga Usahawan Bimbingan FHS Consultancy yang telah berjaya menperolehi pensijilan GMP dan HACCP. Rasa bangga jugak tengok mereka berjaya dan bangga kerana dapat menyumbang kepada kejayaan mereka. Mereka sangat rendah diri...tahniah

MINGGOMINGGO RAMLI-USAHAWAN AIS KRIM

PADA peringkat awal, tiada siapa menyokong hasratnya mahu mengusahakan perniagaan aiskrim. Ada yang menganggapnya gila kerana setiap hari bercerita mengenai aiskrim.

Baik keluarga mahupun sahabat menyangka dia mahu menjual aiskrim dengan membunyikan loceng seperti kebanyakan penjual aiskrim lazimnya. Walaupun menerima reaksi kurang menyenangkan dan kata-kata yang langsung tidak membina semangat, Ramli hanya ketawa.

Namun, selepas beliau berjaya membuktikan impiannya menjadi kenyataan, ramai rakan yang dulu memperlekehkan kini datang kembali kepadanya.

Siapa sangka, syarikat yang menjual aiskrim mampu memberi peluang pekerjaan kepada orang lain.

“Waktu itu tiada siapa percaya perniagaan aiskrim boleh berkembang. Orang selalu fikir, dari kecil mereka makan aiskrim, tiba-tiba saya mahu berniaga aiskrim,” kata Pengarah Urusan Kasturi Klasik (M) Sdn Bhd (KKMSB), Ramli Mazlan, 53.

Menurut anak kelahiran Jasin, Melaka ini, hendak menjadi usahawan tidak semudah dilafaz, malah sukar untuk meyakinkan orang lain supaya mengikut jejak langkahnya.

Pengasas aiskrim lembut Mingomingo ini tidak mengenal erti putus asa, malah itulah resipi yang digunakannya untuk menjadi usahawan berjaya.

“Saya mahu anak bangsa mengikut jejak langkah ini. Sejak kecil kita suka makan aiskrim dan ia digemari tanpa mengenal bangsa, usia dan keturunan. Apapun, tiada satu pun anak Melayu berkecimpung dalam perniagaan aiskrim. Ini yang kita terlepas pandang,” katanya.

Memulakan perniagaan sebagai penjual aiskrim secara kecil-kecilan dengan resipi sendiri, kini beliau menjadi pengilang, pengedar dan penjual aiskrim jenama Mingomingo di seluruh negara. Beliau dibantu rakan kongsi, Malik Mizam yang bertindak sebagai pengurus besar.

Idea mahu mengusahakan perniagaan aiskrim tercetus apabila Ramli melihat orang beratur panjang di sebuah pasar raya di Kuala Lumpur untuk membeli aiskrim. Beliau ikut berbaris untuk membeli dan ketika menikmati aiskrim berkenaan yang dijual dengan harga RM1, Ramli terfikir ini satu peluang perniagaan yang mampu berdaya maju kerana menjual barang murah tetapi digemari ramai.

Beliau membuat penyelidikan dan pembangunan daripada segi mendapatkan bahan dan bekalan mesin pembuat aiskrim lembut selama setahun.

“Saya tidak mampu membeli mesin pembuat aiskrim yang diimport dari Amerika Syarikat kerana harganya terlalu mahal iaitu RM50,000 sebuah. Rakan memberi pandangan supaya saya ke China untuk mendapatkan mesin seumpamanya tetapi dengan harga lebih murah.

“Sekembalinya dari Ghuangzhou, China, saya mengumpul modal perniagaan dan membeli 10 mesin pembuat aiskrim lembut dengan harga RM10,000 setiap satu dengan cadangan awal untuk diletakkan di sekolah,” katanya.

Lokasi pertama aiskrim jenama itu dipasarkan ialah di kiosk yang ditempatkan di pasar raya Mydin berhampiran bangunan Kotaraya, Kuala Lumpur. Seterusnya aiskrim Mingomingo dijual di perkampungan Hadhari di Kota Bharu, ketika konvokesyen Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) dan Universiti Malaya (UM).

Sehingga kini, Mingomingo ada di kebanyakan konvokesyen universiti, malah kenduri kahwin, kenduri untuk mengerjakan haji dan majlis sambutan hari jadi. Beliau belajar membuat aiskrim di Johor Bahru dan menambah pengetahuan dengan melantik konsultan dari Arab Saudi bagi memahirkan membuat bahan berkenaan.

Menyentuh mengenai nama Mingomingo, Ramli berkata, nama berkenaan berasal daripada mangga atau manggo dalam bahasa Inggeris.

“Peringkat awal, seminggu saya tercari-cari nama yang sesuai bagi aiskrim ini. Nama syarikat saya kasturi yang bermaksud buah limau dan ia ada unsur kemelayuan. Jadi saya cuba namakan aiskrim ini papaya dan banana tetapi tidak sesuai. Saya nampak nama mangga, tapi ia tidak sesuai lalu saya ubah kepada Manggo. Apabila nama itu digandakan dan disebut selalu, ia jadi sedap. Monggo-monggo dalam bahasa Jawa pula bermaksud ‘silakan’,” katanya.

Berbekalkan modal kecil, beliau menguruskan perniagaan aiskrim seorang diri daripada mengangkat bahan mentah ke tingkat atas bangunan dan menjual produk. Pada hari minggu, ketika orang lain enak tidur, beliau keluar rumah sejak awal pagi untuk berniaga.

“Rintangan paling kritikal ialah masalah mesin pembuat aiskrim serta ketiadaan lori bagi mengangkut alat perniagaan. Saya akui tiada pengalaman dalam perusahaan aiskrim. Apabila berlaku kerosakan mesin, saya hampir putus asa. Untuk menghasilkan aiskrim lembut memerlukan mesin khusus, tetapi apabila dipam dalam 10 kali, ia jadi cair,” katanya.

Walaupun kecewa dengan situasi itu, Ramli menguatkan semangat dengan menganggap setiap penyakit ada ubatnya. Beliau ke China untuk menukar alat ganti dan akhirnya operasi berjalan lancar. Daripada 10 mesin, kini beliau memiliki 500 mesin yang dianggarkan bernilai RM5 juta.

“Ketika berniaga di ekspo, saya terpaksa menyewa lori. Apabila tamat perniagaan, saya tunggu lori datang jam 1 pagi dan sampai rumah jam 3 pagi. Saya tahu perniagaan ini dari A hingga Z kerana bukan tiba-tiba menjadi bos, sebaliknya bermula dengan segala susah payah,” katanya yang kini mempunyai 200 pekerja.

Kini KKMSB menjalankan perniagaan melalui kiosk statik di pasar raya, kiosk bergerak dan kiosk boleh ubah, di upacara seperti karnival, pasar malam, rumah terbuka, majlis perkahwinan dan kantin sekolah.

Bercerita mengenai latar belakangnya, Ramli berkata, beliau ditanamkan semangat keusahawanan oleh ibunya dengan menjual kuih dan cendol selepas selesai menjalani peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

“Saya pernah menjalankan pelbagai perniagaan seperti membekal perabot, menjual penyembur cili untuk mengelak penjenayah serta berniaga barang kemas. Sehingga kini, memasarkan aiskrim Mingomingo adalah perniagaan paling berjaya dalam hidup saya dan ia adalah kemegahan bangsa,” katanya yang kini mampu memiliki kilang dan bangunan pejabat sendiri.

Ketika ditemui di Wisma Kasturi miliknya, Ramli berkata, beliau bersyukur kerana impian untuk membangunkan empayar perniagaan tercapai, selain melahirkan usahawan muda.

“Sekarang orang mula buka mata. Apapun saya belum berjaya ke tahap maksimum, tetapi boleh membantu anak Melayu dan bersaing dengan bangsa lain. Insya-Allah kami akan berpindah ke kilang baru di Batu Caves,” katanya. KKMSB sebelum ini beroperasi di Taman Keramat Permai, Kuala Lumpur, manakala kilang di Damansara.

Kini ada kira-kira 30 perisa berasaskan makanan aiskrim seperti banana split dan cendol aiskrim manakala perisa utama ialah vanila, coklat, strawberi dan mangga.

KKMSB kini dalam usaha mengetengahkan aiskrim dalam bekas plastik (hard icecream) yang ketika ini dipasarkan di bistro Mingomingo serta aiskrim kayu.

PROFIL

NAMA: Ramli Mazlan

UMUR: 53 tahun

ASAL: Jasin, Melaka

JAWATAN: Pengarah Urusan Kasturi Klasik (M) Sdn Bhd.

ISTERI: Asni Ali

ANAK: Nadia (25); Nornikman (22), Mohammad Zaki (20) dan Norfarahin (13)

KISAH SAUDAGAR BURGER

"PENIAGA burger seperti kami memang tidak dipandang tinggi apatah lagi dikaitkan dengan imej selekeh selain dianggap sebagai golongan tidak mempunyai masa depan cerah.

"Tetapi itu semua tidak menjadi halangan kerana apa yang penting, kami mencari rezeki halal dan kehadiran peniaga seperti kami sememangnya terkenal serta mewarnai lagi sesuatu kawasan atau jalanan," kata belia berwawasan, Nazri Ismail, 31, dari Tampoi, Johor Bahru, Johor.

Nazri yang juga juara pertandingan memasak burger anjuran Lady's Choice, menceburi perniagaan berkenaan selepas terdorong untuk mengubah taraf kehidupan keluarganya.

Menurutnya, selepas tamat peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), dia mencuba pelbagai pekerjaan termasuk sebagai budak penghantar barangan serta pekerja am di beberapa pasar raya di sekitar Johor Bahru.

Ketika itu, waktu kerjanya mengikut waktu pejabat dan pada sebelah malam, dia membantu di gerai burger rakannya.

Pada mulanya, ia hanya sekadar suka-suka untuk membantu rakan tetapi lama kelamaan, selepas melihat sendiri potensi serta keuntungan diperolehi, dia mengambil keputusan untuk membuka sendiri perniagaan berkenaan di kampungnya sendiri iaitu di Kampung Pasir dengan modal permulaan sebanyak RM150 daripada simpanannya.

"Sebagai remaja yang baru berjinak-jinak dengan dunia perniagaan, saya memang bermula dengan kosong dan hanya bertawakal kepada Allah. Mujurlah, ketika kecil, saya sering menemani arwah ayah berniaga makanan dan pengalaman berkenaan sedikit sebanyak digunakan ketika membuka gerai burger berkenaan.

"Pada awalnya, saya hanya menggunakan meja lipat dan hanya menjalankan perniagaan selepas waktu bekerja iaitu dari jam 7.30 petang hingga 12 malam.

"Pendapatan yang diperoleh pada tiga bulan pertama memang tidak memberangsangkan tetapi masuk bulan keempat, perniagaan burger saya mula dikenali ramai dan memperoleh keuntungan lumayan," katanya ketika ditemui pada majlis pelepasan Kembara Kejayaan Lady's Choice di ibu negara, baru-baru.

Hadir sama, Pengarah Sumber Manusia dan Perhubungan Korporat Unilever, Nik Mustapha Nik Muhammad; Pengarah Urusan Unilever FoodSolutions, Victor Warren serta dua pemenang pertandingan memasak burger yang terdahulu iaitu Faizal Muhammad dan Ruddy Ibrahim.

Kini, diam tak diam, sudah hampir 11 tahun Nazri berkecimpung dalam dunia perniagaan berkenaan dan kini semakin dikenali selepas memenangi pertandingan memasak burger, dua tahun lalu.

Nazri kini memiliki empat gerai burger serta mampu menggaji pekerja dengan pendapatan bulanan cukup lumayan dan mampu membeli apa juga yang diimpikan selama ini.

Menurut Nazri, apa yang dikecapinya hari ini adalah rezeki yang dikurniakan Allah sebagai balasan kepada usaha yang tidak pernah mengenal jemu selama ini.

Biarpun berstatus usahawan kecil, dia yakin perniagaan berkenaan mampu memberikan keselesaan dan kesenangan kepada keluarga.

"Tiada apa yang mustahil untuk dicapai jika kita rajin dan cekal berusaha. Bagi remaja yang baru berjinak-jinak dalam perniagaan burger ini, ingatlah, rezeki tidak akan datang bergolek, sebaliknya kita perlu bekerja keras untuk mendapat pulangan yang diinginkan.

"Namun, apa yang penting, hati perlu ikhlas dan buang sikap mudah putus asa kerana masa depan kita, hanya kita yang dapat menentukannya," kata bapa kepada tiga anak yang kini terbabit mengikuti program jelajah bersama Faizal dan Ruddy ke seluruh negara.

Nik Mustapha berkata, program kembara berkenaan memberi tumpuan kepada usaha untuk menjelajah ke pelosok Semenanjung Malaysia bagi berkongsi kejayaan serta petua perniagaan dengan rakan seperjuangan sekali gus membantu pemilik perniagaan burger untuk membesarkan lagi perniagaan mereka.

"Program ini adalah salah satu cara untuk kami membalas budi baik masyarakat dengan menyediakan saluran untuk peniaga burger ini menimba kemahiran berjaya daripada rakan mereka.

"Usahawan muda seperti peniaga burger ini sememangnya mewakili segmen pasaran serta berpotensi untuk dimajukan.

"Untuk itu, Nazri, Faizal dan Ruddy akan mengadakan sesi lawatan gerai burger terpilih dalam masa 30 hari. Kami berharap, peniaga burger akan mengambil peluang ini untuk memperoleh sebanyak mana pengetahuan daripada tiga juara burger ini dan menjadikan mereka sebagai contoh untuk berjaya dalam perniagaan berkenaan," katanya.

Usah Sorok Kes Keracunan Makanan

KOTA BHARU: Semua Pejabat Pelajaran Daerah (PPD) diingatkan supaya tidak menyembunyikan kes keracunan makanan pelajar di sekolah daripada pengetahuan semua pihak bagi membolehkan ia dihebahkan sebagai pengajaran.

Pengarah Jabatan Pelajaran (JPN) Kelantan, Mohd Ghazali Ab Rahman, berkata pihaknya tidak akan bertolak ansur terhadap mana-mana PPD yang cuba berbuat demikian kerana kes terbabit dianggap serius dan perlu diketahui umum.

Katanya, berhubung kes terbaru di Kuala Krai, Rabu lalu, pihaknya masih meneliti dakwaan bahawa ada pegawai pelajaran daerah cuba menghalang wartawan membuat liputan kes keracunan terbabit.

“Kita dapat tahu lelaki terbabit bukan PPD yang dimaksudkan dan ia mungkin pegawai lain yang ada di situ.

“Bagi JPN, kes keracunan makanan pelajar sekolah tidak boleh disorok dan semua PPD diingatkan supaya tidak berbuat demikian.

“Sehingga kini kita tidak dapat mengenal pasti siapa yang dimaksudkan dalam laporan akhbar sehari selepas kejadian itu (Khamis lalu) yang cuba menghalang wartawan membuat liputan kes itu,” katanya ketika dihubungi di sini, semalam.

Dalam kejadian itu, 75 pelajar Sekolah Kebangsaan Yahya Petra 1 mengalami cirit-birit, muntah, pening kepala dan pengsan, dipercayai keracunan makanan selepas menikmati ‘hidangan basi’ di kantin sekolah itu.

Kejadian kira-kira jam 10.30 pagi itu disedari guru sekolah selepas melihat beberapa pelajar mengalami tanda keracunan, termasuk muntah dan pengsan.

Bagaimanapun, usaha wartawan untuk mendapatkan komen pengurusan sekolah berhubung kejadian itu gagal kerana mereka sibuk menguruskan pelajar supaya rawatan boleh diberi secepat mungkin.

Seorang lelaki yang juga Pegawai Pelajaran Daerah (PPD) kemudian menghampiri wartawan dan bertindak kurang sopan apabila cuba menghalang mereka membuat liputan.

Sementara itu, Mohd Ghazali berkata, Jabatan Kesihatan menyita kantin terbabit selama 14 hari selain mengambil sampel makanan.

“Selepas mengambil sampel itu, mereka akan membuat laporan kes. Selain tindakan sita, pengusaha kantin diberi tiga hingga empat hari untuk mengikuti cadangan yang diberi Jabatan Kesihatan,” katanya.

My Metro Ahad -10 Mei 2009

Susu sekolah dibekal semula Jun ini

KEMENTERIAN Pelajaran Malaysia (KPM) ingin merujuk kepada surat pembaca bertarikh 5 Mei 2009 2008 oleh Bapa Prihatin, Kuala Lumpur bertajuk Kembalikan program susu sekolah untuk murid miskin.

Isu keracunan susu yang dibekalkan ke sekolah-sekolah di bawah Program Susu Sekolah (PSS) pada tahun 2007 telah menjadi satu isu nasional dan telah dibincangkan dalam beberapa siri Mesyuarat Jawatankuasa Kebersihan, Kesihatan dan Keselamatan (3K) yang dipengerusikan oleh Timbalan Menteri Pelajaran.

Program ini juga telah ditangguhkan pelaksanaannya sepanjang tahun 2008.

Bagi mendapatkan satu mekanisme yang terbaik supaya perkara seumpama ini tidak berulang, KPM dengan kerjasama Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) telah membuat semakan semula secara menyeluruh ke atas program tersebut.

Hasil semakan menyeluruh tersebut, beberapa kriteria tambahan telah dikenakan terhadap pembekal dan pengeluar susu ke sekolah-sekolah iaitu:

* Mengemukakan hasil ujian makmal sampel susu setiap gudang setiap tiga bulan kepada KKM untuk pemantauan.

* Mempunyai Sijil Pengesahan Halal dan Veterinary Inspected Malaysia.

* Wajib mematuhi ciri-ciri yang telah ditetapkan dalam Garis Panduan Pengendalian Susu mengenai stor atau gudang penyimpanan susu; dan

* Pengeluar susu perlu Mematuhi Akta Makanan 1983 dan Peraturan-peraturan Makanan 1085 dan Mempunyai Sijil Hazard Analysis and Critical Control (HACCP); dan

* Mematuhi Garis Panduan amalan Pengilangan Yang Baik (GMP).

Sebagai makluman, tawaran Tender Membekalkan SUSU UHT Berperisa Ke Sekolah-sekolah Rendah Di Semenanjung Malaysia, Sarawak dan Wilayah Persekutuan Labuan bagi tahun 2009/10 telah dikeluarkan. Sekolah-sekolah dijangka menerima bekalan susu yang pertama mulai bulan Jun 2009 melibatkan peruntukan sebanyak RM 31, 473, 800 kepada 621, 773 orang murid sekolah rendah seluruh negara.

Utusan Online-11 Mei 2009

Bahaya bekas plastik biasa



bijak memilih bekas plastik yang ingin digunakan, bakal memberi keuntungan kepada kesihatan.


WANITA memang terdedah dengan pelbagai penyakit, hinggakan jika meminum air dari botol plastik sekalipun boleh menjadi punca kanser payu dara.

Kenyataan ini bukan sengaja diada-adakan tetapi hakikat yang diakui oleh selebriti antarabangsa, Sheryl Crow. Dia mengakui salah satu punca dia mengalami kanser payu dara ialah tabiatnya meminum air mineral yang diletakkan di dalam keretanya. Crow mengatakan demikian ketika tampil dalam satu rancangan bual bicara, Ellen Show tidak lama dahulu.

Pakar perubatan juga bersepakat menyatakan bahawa hawa panas yang memanaskan bahan plastik di dalam botol memiliki bahan kimia tertentu yang dapat menyebabkan kanser payu dara.

Dalam satu kajian yang dijalankan oleh Profesor Madya Rahmat Awang dari Pusat Racun Negara, Universiti Sains Malaysia tidak lama dahulu mendapati bahan kimia yang terdapat dari plastik mempunyai kemudaratan.

Beliau berkata, ramai tidak menyedari bahaya plastik serta komponen-komponen kimia yang terkandung di dalamnya.

Walaupun banyak maklumat disebarkan oleh pihak berwajib mengenai kesan kimia yang hadir akibat tindak balas makanan di dalam bahan pembungkusan namun penggunaannya masih berleluasa.

Kebenaran itu memang tidak boleh disangkal, malah penulis juga seringkali membeli makanan di dalam bungkusan plastik. Malah untuk menyimpan makanan di dalam peti sejuk atau bekalan pasti bekas plastik menjadi pilihan.

Sebenarnya banyak alternatif yang boleh kita gunakan selain penggunaan botol atau bekas plastik biasa untuk tujuan menyimpan makanan atau minuman.

Kini telah banyak inovasi plastik. Cuma pengguna perlu bijak memilih bekas yang boleh menghindarkan perkara itu daripada berlaku.

Di atas kesedaran bahawa bekas plastik membahayakan kesihatan, pemilik premis jualan Tupperware, Sahliah Kasmani mengambil inisiatif mengadakan ceramah mengenai bahaya plastik.

"Plastik seperti yang umum ketahui diperbuat daripada pelbagai bahan kimia. Jika kita meletakkan makanan di dalam bekas plastik ini secara tidak langsung akan memberi mudarat apabila dimakan makanan tersebut.

"Bagaimanapun, kesan agak berlainan sekiranya pengguna menggunakan produk keluaran Tupperware.

"Ini kerana Tupperware diperbuat daripada bahan berkualiti yang tidak mengandung racun. Ia selamat digunakan sebagai bekas untuk menyediakan, menghidang dan menyimpan makanan.

"Ia juga memang dikenali sebagai tempat menyimpan makanan untuk tahan lebih lama," ujarnya ketika ditemui dalam majlis pelancaran premis jualan Tupperware di Aman Suria, Kelana Jaya, baru-baru ini.

Sementara itu, pengurus komunikasi pemasaran Tupperware Brands Malaysia, Wong Ee Ling berkata, manusia dan penggunaan plastik memang tidak dapat dipisahkan.

"Sebagai pengguna, kita perlu mengenalpasti tentang jenis plastik yang kita gunakan. Jika arahan kepada plastik tersebut hanya untuk digunakan sekali, maka janganlah kita menggunakannya berkali-kali. Sebab apabila kita tidak mematuhi arahan, sudah tentu ia akan mendatangkan mudarat kepada diri," ujar beliau ketika dihubungi baru-baru ini.

Mengambil contoh bekas minuman, Ee Ling memberitahu, bekas air Tupperware memang telah disahkan oleh badan kesihatan sedunia boleh digunakan berkali-kali, tidak kira dalam suhu panas atau sejuk.

"Walaupun begitu, tidak semua produk Tupperware boleh digunakan dalam ketuhar gelombang. Ini kerana ada bahan kimia yang tidak sesuai dikeluarkan dari bekas yang melalui proses pemanasan gelombang. Untuk penggunaan bekas plastik dalam ketuhar, disarankan menggunakan bekas yang dikhaskan untuk ketuhar gelombang sahaja.

"Terdapat juga pengeluar bekas plastik yang mendakwa bekas plastik mereka selamat, namun tidak sesuai digunakan digunakan di dalam ketuhar, oleh itu pengguna harus berhati-hati dan mendapatkan ilmu serta informasi yang betul tentang penggunaan bekas plastik ini," ujarnya.

Pada majlis tersebut, Sahliah yang telah hampir 20 tahun melibatkan diri dalam perniagaan jualan langsung Tupperware turut mengalu-alukan individu yang ingin mendaftar menjadi ahli dan sekali gus menjadi pengedar.

"Inilah peluang keemasan bagi mereka yang ingin memasuki di alam perniagaan dan sesuai sekali untuk golongan yang telah diberhentikan kerja atau tiada pekerjaan,'' katanya yang mendapat sokongan penuh daripada suami, Abdul Wahid Manan.

Menurutnya, dengan hanya mendaftar sebanyak RM290, ahli akan mendapat kit produk dan boleh menganjurkan parti Tupperware di rumah dengan tunjuk ajar dari pengarah dan ketua organisasi teratas.

"Apa yang penting ialah minat dan semangat, kerana tidak mustahil bagi kita untuk memperolehi jualan sebanyak empat angka sebulan jika kita pandai membina rangkaian dan jualan," ujarnya.

Utusan Online 12 Mei 2009

Saturday, May 9, 2009

MINUMAM MALT TANPA ALKOHOL DI MIHAS


KUALA LUMPUR 7 Mei - Malt adalah salah satu ramuan dalam pembuatan minuman beralkohol.

Biarpun begitu, anda berpeluang untuk menikmati Istak, minuman malt yang disahkan 100 peratus halal tanpa alkohol di Pameran Halal Antarabangsa 2009 (Mihas 2009).

Ketua Pengarah Malaysian Iranian Corporation (MIC) Sdn. Bhd., Mahdi Bagherian berkata, minuman malt yang dibuat di Iran itu mempunyai 10 perisa termasuk perisa asli malt, epal, mangga, nenas, lemon, buah pear, strawberi dan delima.

"Kami berbangga kerana syarikat ini merupakan satu-satunya wakil tunggal eksklusif di Asia Pasifik yang bertanggungjawab memasarkan Istak yang dihasilkan oleh Arpanoosh Industrial Company, syarikat pembuatan Iran.

"Istak diproses di Iran menggunakan Bavarian malt dan teknologi terkini dari Jerman," katanya ketika ditemui pemberita di sini hari ini.

Sementara itu, Ketua Eksekutifnya, Qutren Nada Ahmad berkata, Malaysia dipilih sebagai hab pemasaran antarabangsa bagi memasarkan Istak.

"Malaysia ialah sebuah negara Islam moden yang mempunyai lebih 13 juta penduduk Islam. Kami melihat Malaysia sebagai destinasi terbaik untuk memasarkan Istak ke negara jiran berhampiran termasuk Brunei dan Indonesia.

"Selain itu, konsep halal juga diterima oleh semua Muslim dan bukan Muslim di negara ini," katanya.

Qutren Nada menambah, konsep pemasaran yang dibawa Istak adalah Drink & Drive yang mana pemandu tidak perlu risau untuk memandu sekiranya meminumnya kerana ia tidak memabukkan.

"Malah, Istak kaya dengan vitamin, dapat mencegah pembentukan batu karang, mengurangkan tekanan, membina tenaga, membakar lemak dan mengurangkan 10 hingga 15 peratus kolesterol dalam darah," jelasnya.

Sehubungan itu, MIC akan menaja pasukan rali SR Motorsport dalam Malaysian Rally Championship yang dijadualkan berlangsung di Perlis selama dua hari bermula 30 Mei ini sebagai usaha untuk meningkatkan publisiti Istak.

Mihas 2009 berjaya menarik penyertaan 30 buah negara termasuk Iran, China, Palestin, Indonesia, Singapura, Thailand, Mesir , Afrika Selatan, Amerika Syarikat (AS) dan United Kingdom.

Esok, pengunjung berpeluang menonton Mihas Apprentice Chef Competition, sebuah pertandingan memasak antarabangsa yang julung kali diadakan bagi mencari bakat-bakat tukang masak terbaik dunia.

Pemenang utama bakal membawa pulang Silverspoon Award dan hadiah wang tunai bernilai AS$5,000 (RM18,000).